AKTIVITI BERBASIKAL & E-SUKAN LEBIH RANCAK DI TAHUN BARU CINA


Pelajar Semester 5 Diploma Komunikasi Korporat Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM KL) baru-baru ini menganjurkan sebuah program berbasikal dan e-sukan secara serentak iaitu COMMFEST: CYCLESCAPE 21’ dan COMMFEST: XSCAPE21’. Penganjuran kedua-dua buah program ini mengambil inisiatif secara atas talian seiring dengan keadaan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini.

Melihat kepada jumlah penyertaan tertinggi yang direkodkan ketika cuti sambutan Tahun Baru Cina dengan 289 peserta, secara tidak langsung membawa impak positif seiring dengan objektif kedua-dua program iaitu untuk mewujudkan kesedaran dalam masyarakat mengenai pentingnya untuk kekal cergas secara fizikal dan mental walaupun ketika berada di rumah.

Program berbasikal COMMFEST: CYCLESCAPE 21’ yang dijadualkan berlangsung selama 44 hari mendapat penyertaan pelbagai peringkat umur termasuklah warga veteren di mana peserta boleh memilih jarak berbasikal pada jarak 50 km, 70 km mahupun 100 km. Peserta boleh memilih jarak dan perlu menamatkan dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh penganjur, bergantung kepada kemampuan peserta. Lebih menarik, peserta bebas memilih lokasi untuk berbasikal di kawasan radius had pergerakan masing-masing.

Pemilihan tempat berbasikal adalah 100% bergantung kepada peserta mengikut kepada keselesaan mereka. Sebagai bukti, peserta perlu merekodkan jarak berbasikal dengan menggunakan apa jua aplikasi berbentuk cycling tracker yang sedia ada dalam Apps Store atau Google Play Store dan menghantar rekod kepada penganjur. Bagi 10 peserta terawal yang berjaya menghabiskan jarak berbasikal mereka berpeluang untuk mendapat hadiah menarik daripada pihak penganjur termasuklah layak untuk menyertai cabutan bertuah ‘roadbike’ bernilai RM2000.

Manakala, bagi program e-sukan CommFest: X-Scape 21’ - Mobile Legends Bang Bang Tournament dibahagikan kepada 32 kumpulan, disertai 5 hingga 6 peserta sepasukan. Kesemua kumpulan ini akan berentap secara atas talian bermula 30 Januari 2021 sehingga 14 Febuari 2021.

Program gabungan ini diharap dapat memupuk jati diri dan sikap berdaya saing yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutamanya peminat sukan berbasikal serta e- sukan yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

Program ini juga telah mendapat sokongan penuh dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan dilihat sebagai satu program yang dapat meningkatkan kesedaran untuk kekal cergas dalam kalangan masyarakat.

Bagi menyemarakkan lagi program ini, pihak penganjur turut mengadakan cabutan bertuah kepada para peserta dengan menawarkan sebuah ‘roadbike’ yang bernilai RM2000 sebagai hadiah utama. Ini dilihat sebagai salah satu tarikan utama kepada masyarakat untuk turut serta dalam program ini. Bukan itu sahaja, terdapat juga hadiah-hadiah lain yang ditaja oleh jenama pengeluar ‘pocket bike’, smart watch dan sebagainya.

Bayaran pendaftaran bagi peserta yang beminat untuk menyertai program ini adalah RM120 di mana peserta yang berjaya menamatkan kayuhan akan menerima jersi basikal, medal, sijil penyertaan dan juga barang tajaan dari pihak penaja.

Selain itu, program gabungan ini turut menjalinkan kerjasama dengan Carisbrook Malaysia iaitu pengeluar dan jenama pakaian sukan terkemuka negara. Walaupun dikenali sebagai pengedar utama pakaian sukan ragbi negara, ini tidak menyekat pihak Carisbrook untuk bekerjasama dan melebarkan sayap dalam kategori sukan yang lain.

Penaja utama bagi kedua-dua program ini adalah REALME MALAYSIA iaitu jenama telefon pintar dan produk aksesori AIoT dengan menawarkan ‘realme watch’ dan juga telefon pintar kepada pemenang bertuah. Kerjasama daripada pihak realme adalah selari dengan tagline ‘Dare to Leap’ mereka iaitu berani melonjak ke hadapan yang sedikit sebanyak memberi impak positif dalam kalangan generasi muda untuk kekal aktif dan cergas sepanjang masa.

Tidak ketinggalan, kedua-dua program ini juga mendapat tajaan dari Libresse Malaysia, The Fresh Company, Cucisikal, Amazin Graze Malaysia, Plan A KL, IGS Protech, Madani Bikes, Cosry, Pro Pax Freight Forwarders Sdn. Bhd., Fruity Dream, Eeva Beauty, Bekal Sama Sdn. Bhd., Khee San Berhad, Wide Agro Ventures Sdn. Bhd., Khalyra Enterprise, My Fit Box Nutrition, Aeon Molly Fantasy, Medina Store Baby Pian, Cotton Home, Thrifty Shwifty, CNR Global dan Kintry.Co. 

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA