ULASAN FILEM: PETAKA - SYURGA INI MILIKMU (ASTRO FIRST)

 

SINOPSIS:

Petaka mengisahkan Sham, seorang jejaka kampung berkorban menjaga ibunya yang uzur dengan mengambil upah kerja kampung. Apabila ditawarkan kerja sebagai pemandu oleh pemilik syarikat perabot, Haziq, Sham menerimanya tanpa bersoal panjang walaupun gaji yang diberikan adalah agak lumayan berbanding dengan kerja yang perlu dilakukan. Tanpa disedarinya, Sham telah dipergunakan sebagai keldai dadah untuk menyeludup dadah dari sempadan.


Kemewahan yang didapati daripada hasil kerja yang tidak berkat pastinya tidak berpanjangan. Hidup Sham ditimpa petaka akibat perbuatannya, malahan sehingga melibatkan keluarganya. Dapatkah Sham pulang ke pangkal jalan?



ULASAN:

PETAKA berkisar tentang kesungguhan Sham yang mahu keluar daripada belenggu kemiskinan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia menerima pekerjaan sebagai “runner” di sebuah syarikat perabot yang memberikannya gaji yang lumayan dengan tanpa usul periksa. Akhirnya, kehidupan sekeluarganya terjerat kerana kerja sebenarnya adalah sebagai keldai dadah yang membawa barangan larangan tersebut dari sempadan Thailand. 


Cara penceritaan PETAKA adalah berbentuk linear dan mudah dicerna dengan mesej muktamad – dadah membawa binasa. Setiap perbuatan jahat walaupun tanpa disedari pasti ada pembalasannya.

Filem ini yang disokong oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menonjolkan betapa mudahnya seseorang itu terjerumus ke dalam kancah penyeludupan dadah apabila didorong oleh kemiskinan. Walaupun habuannya besar, tetapi risikonya juga besar. Janganlah mata kita dikaburi dengan wang ringgit tanpa memikirkan akibatnya. Bukan sahaja diri akan merana, malahan keluarga yang tidak berdosa juga akan terlibat.


Dari segi lakonan, kesemua pelakon berjaya membawakan watak-watak yang memerlukan emosi dengan baik sekali. Pujian harus diberikan kepada PU Azman yang berani menyandang watak seorang “penjahat”, berbeza sekali dengan imej penceramah selebritinya. Penampilan sulung Coki dalam PETAKA juga tidak mengecewakan. Kehebatan pelakon “heavyweight” seperti Azman, Nabila Huda dan Wan Maimunah tidak perlu lagi dibincangkan lagi.

Kesimpulannya, kekuatan filem PETAKA ini terletak pada penyampaian mesej yang efektif dan disokong oleh pelakon-pelakon yang mantap, menjadikannya sebuah filem yang harus ditonton oleh mereka yang gemarkan filem-filem drama berat yang berunsur teladan.




Nama Filem: Petaka - Syurga ini Milikmu

Siaran: Astro First

Tarikh Mula Tayangan: 4 Februari 2021

Cerita Asal: Azman Ahmad

Arahan & Penulis Skrip: Azhari Zain

Pelakon: Azman Ahmad, Jaja Iliyes, Nabila Huda, Wan Maimunah, PU Azman dan Coki.

Terbitan: Arie Zaharie Production Sdn Bhd & AA Success Pictures

Saksikan kisah menyayat hati filem Petaka - Syurga ini Milikmu melalui Astro First 4 Februari 2021. Langgan sekarang di Astro First Saluran 480 atau sewa di On Demand Store! Sambungkan PVR Box ke Wi-Fi, kemudian sewa & strim pada bila-bila!


Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM