CIIF & LEADWOMEN BERKOLABORASI UNTUK KETENGAH ISU-ISU WANITA


Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF), telah berkolaborasi bersama LeadWomen Sdn Bhd (LeadWomen), untuk mewujudkan platform mencetuskan inspirasi dan perubahan di dalam corak pemikiran masyarakat sambil mengenalpasti kelemahan yang perlu diatasi untuk menghasilkan persekitaran bekerja yang selamat dan inklusif. 

Ini adalah penting untuk memenuhi keperluan bisnes yang berprestasi tinggi serta menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan dari segi Persekitaran, Sosial dan Pentadbiran (ESG) di Malaysia.

Sebagai permulaan, CIIF dan LeadWomen baru-baru ini telah menganjurkan sesi perbincangan meja bulat dan percambahan minda mengenai penglibatan diversiti dan kepimpinan wanita di dalam semua sektor. Topik ini telah dicadangkan oleh kedua-dua LeadWomen dan CIIF sebagai pemangkin diskusi justeru mengenalpasti jurang-jurang yang dihadapi golongan yang berkaitan. Usaha pengenalpastian ini adalah salah satu langkah untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang berkaitrapat dengan isu kritikal tersebut.

Dihadiri oleh pemimpin-pemimpin berkaliber di dalam industri kewangan Islam dan pelbagai industri lain, topik diskusi merangkumi persoalan seperti: ‘Apa yang masih tiada atau kekurangan di dalam dialog berkaitan isu diversiti dan kepimpinan wanita?’. Sesi diskusi ini telah difasilitasikan oleh Anne Abraham, selaku Pengasas dan Ketua Pengerusi LeadWomen. Ahli-ahli CIIF daripada pelbagai institusi kewangan dan organisasi yang berkaitan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik, Pengurus, serta Rakan Kongsi di firma-firma besar merupakan antara peserta berprofil tinggi yang hadir di sesi tersebut. Sepanjang sesi dijalankan, peserta-peserta telah memainkan peranan yang penting secara aktif di dalam diskusi melalui perkongsian pengalaman, pandangan dan idea mereka berkenaan topik yang dibincangkan.

Antara isu tersebut termasuklah tentang peri penting kesaksamaan gender, adakah ekuiti perlu diberikan lebih fokus berbanding dengan kesaksamaan di antara lelaki dan wanita, dan perlukah adanya data empirikal untuk mengkaji dengan lebih lanjut nilai yang disumbangkan oleh golongan yang berkaitan di tempat kerja kepada syarikat-syarikat yang terbabit. Perbincangan juga mengupas topik-topik berkaitan dengan polisi dan penggubalan polisi, peluang yang disediakan oleh teknologi digital kepada wanita untuk mengejar kejayaan yang sama dengan golongan lain di tempat kerja, serta cadangan untuk mencontohi negara-negara lain yang menjayakan inisiatif-inisiatif yang memberi perhatian kepada isu diversiti dan kepimpinan wanita.

Dr. Azura Othman, Pegawai Ketua Eksekutif CIIF

Dr. Azura Othman, Pegawai Ketua Eksekutif CIIF di dalam ucapannya berkata “Penajaan untuk pengasas wanita sangat kurang berbanding dengan pengasas lelaki di dalam syarikat ‘start-ups’ walaupun mereka begitu layak serta mampu untuk mengetuai sesuatu syarikat atau organisasi. Setelah kita mengkaji mengapa wanita tidak dapat melangkah jauh sebagai pemimpin di dalam syarikat-syarikat dan sektor bisnes, kita dapati bahawa ini adalah kerana wanita tidak mempunyai rangkaian yang cukup untuk menyokong mereka supaya lebih maju di dalam karier. Di CIIF, kami bersedia untuk membantu mana-mana syarikat untuk mengkaji cara-cara membantu wanita dan kumpulan minoriti yang lain mengembangkan rangkaian mereka dengan lebih luas, serta mencari jalan untuk menaiktaraf karier mereka menerusi peluang-peluang ini”.

Anne Abraham

Semasa menjawab soalan dan mempengerusikan perbincangan, Anne Abraham yang juga memainkan peranan utama sebagai Pengasas Bersama Eksekutif, Kelab 30% cawangan Malaysia, sebuah kempen global yang berusaha untuk meningkatkan jumlah perwakilan wanita di dalam lembaga pengarah di syarikat-syarikat awam yang tersenarai menekankan bahawa, “Wanita terpaksa melalui pelbagai halangan unik di dalam perjuangan mereka untuk mencapai ekuiti sosial dan politik. Penggunaan terma ’wanita dan isu berkaitan diversiti’ untuk mengenalpasti halangan-halangan serta persekitaran yang tidak adil yang mereka alami boleh membantu dalam menghasilkan lebih visibiliti terhadap cabaran-cabaran yang dialami oleh kumpulan ini, berbanding dengan kumpulan-kumpulan yang lain. Walaupun isu ini merupakan isu hak manusia tetapi dengan menggunakan terma spesifik, kita boleh membantu kumpulan-kumpulan yang terpinggir, terutamanya yang tidak mampu bersuara untuk mendapatkan lebih banyak perhatian”.

Pada hujung sesi tersebut, peserta-peserta diskusi telah menyenaraikan soalan-soalan tambahan yang memerlukan lebih penelitian. Antara soalan-soalannya adalah:
  1. Apakah peranan ‘mentor’ dan ‘pembimbing’ supaya wujudnya lebih ramai pemimpin wanita serta menggalakkan inklusiviti di dalam semua sektor?
  2. Bagaimana ahli lembaga syarikat boleh memastikan perancangan di dalam penerusan warisan atau legasi mereka di dalam organisasi?; dan
  3. Apa yang perlu dikenalpasti untuk memastikan golongan wanita profesional boleh mencapai keseimbangan yang optimal di dalam kehidupan dan kerja mereka?
Perancangan seterusnya bagi LeadWomen dan CIIF adalah memastikan hasil penemuan daripada diskusi yang telah dijalankan dapat diubah kepada saranan-saranan yang boleh dilaksanakan.


Feature photo by: Islamic photo created by rawpixel.com - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

ASTRO ORIGINALS PERSEMBAHKAN ‘FRAMED’ GANDINGAN MEERQEEN DAN MIMI LANA BERMULA 3 MEI DI ASTRO PREMIER