PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH 1442H MENGGUNAKAN APLIKASI TULUS
Pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq dan sedekah kini mampu disempurnakan pembayarannya melalui kaedah secara digital dengan begitu mudah, hanya di hujung jari.
Berikutan pandemik yang melanda dunia pada masa kini telah menyebabkan pembayaran zakat melalui kaedah yang diamalkan sebelum ini telah terkesan. Pelbagai kekangan serta SOP yang perlu dipatuhi telah menyebabkan lebih banyak organisasi lebih selesa untuk melaksanakan urusan zakat serta sumbangan secara dalam talian.
Sehubungan dengan itu, aplikasi Tulus sebagai sebuah platform pembayaran beretika yang mematuhi asas syariah dibangunkan oleh Tulus Digital Sdn Bhd (Tulus Digital), memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.
Menurut Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, aplikasi mudah alih berkenaan memberikan kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi mereka dengan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.
“Istimewanya di bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi 9 negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan dan WP Labuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis.” katanya.
Di samping itu, Tulus juga menjalin kerjasama strategik dengan Touch 'n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat di bulan Ramadan ini. Pihak Tulus Digital juga menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai di atas termasuk negeri Perak.
Aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store. Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang https://tulus.app
Menurut Dr. Mohd Daud, syarikat juga optimis untuk membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan tahun ini.
“Bagi perancangan masa hadapan, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya,” katanya.
Aplikasi Tulus dibangunkan oleh Tulus Digital (dahulu dikenali sebagai SnapNPay Digital Sdn Bhd), iaitu syarikat Islamik fintech berteraskan pembangunan kewangan sosial yang menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui dua aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia.
Bertemakan “Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerlah!”, Tulus Digital mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersama-sama menggunakan aplikasi ini sebagai salah satu cara untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital.
Comments
Post a Comment