NIKMATI KEUNIKAN BALI DALAM PERSEMBAHAN PRAGINA: EMOSI
Pelancongan ke luar negara masih tertunda? Marilah bersama menikmati suasana Bali di Kuala Lumpur dengan pragina : EMOSI. Dipersembahkan oleh The Actors Studio Seni Teater Rakyat, pertunjukan tarian Bali dan kontemporari ini akan berlangsung bermula 26 hingga 30 Mei 2021 di Pentas 2, klpac.
Bali sememangnya merupakan salah satu tempat di seluruh Asia Tenggara yang gemar dilawati pelancong asing terutamanya bagi menikmati keunikan budaya serta kepentingan yang diberikan kepada seni tradisional.
Walaupun terdapat pelbagai bentuk seni tradisional, tarian Bali merupakan salah satu aktiviti yang sering menarik perhatian pelancong untuk menyaksikan persembahan seperti tarian Barong atau tarian Kecak oleh penari-penari lelaki melaungkan "chak" tanpa henti semasa matahari terbenam di Uluwatu. Walau bagaimanapun, ini hanyalah dua dari pelbagai bentuk tarian kuno dari Bali yang dibawa oleh dua individu dalam pragina : EMOSI.
Emi, penari Jepun yang bertempat di Malaysia dan dibesarkan di Indonesia telah mempelajari tarian Bali sejak berusia empat tahun. Selain berguru di Jakarta dan Bali, beliau telah berlatih di Institut Seni Indonesia (ISI). Emi juga terlibat dalam pertunjukan fesyen KENZO di Jepun, terlibat dalam Bali Art Festival, Singapore International Festival of Arts dan persembahan penutup untuk Jakarta Fashion Week.
Sebaliknya, pengarah produksi, Zhafir Muzani merupakan seorang aktivis telah berkunjung ke Indonesia hanya untuk mempelajari tarian Bali serta tarian Jawa dengan harapan dapat berkongsi pengalaman dan menyebarkan ilmu tarian Indonesia di Malaysia. Dia merupakan seorang koreografer / penari di bawah pertubuhan The Actors Studio Seni Teater Rakyat. Zhafir telah memenangi lima anugerah untuk persembahan tarian Bali dalam pertandingan SHORT+SWEET Dance Malaysia.
Dengan ini, Zhafir bersama Emi akan berganding bahu sebagai koreografer untuk pragina : EMOSI (pragina bermaksud penari), di mana mereka akan mempersembahkan lima karya dengan empat penari berbakat Ealbie, Lilys, Shafiq Yussof, dan Yeeteng.
Pembukaan pertunjukan dimulai dengan persembahan tarian "Puspa Mekar" oleh Emi sebagai tanda menyambut dan menghormati kehadiran penonton. Selain itu, persembahan tarian "Legong Kraton", yang diakui UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (Intangible Heritage). Tarian ini meliputi pergerakan tangan, kaki, dan jari serta ekspresi wajah yang ekspresif. Duet klasik ini mengarang kisah Raja Lasam dalam perjalanan ke perang ketika baginda diserang oleh seekor burung gagak.
Para penonton juga dapat menikmati tarian-tarian Bali yang lain seperti, "Kebyar Duduk", tarian interpretatif karya I Mario yang diperkenalkan pada tahun 1925. Dipersembahkan oleh Zhafir sambil berposisi duduk dan separuh duduk.
Seterusnya, Zhafir juga akan mempersembahkan sebuah karya kontemporari baru, "Kebyar Mula", berdasarkan pengalamannya mempelajari tarian Bali di bawah pengajaran Ibu Kadek di Sewon Asri, sebuah kampung yang indah di Jogjakarta.
Persembahan kontemporari yang terakhir adalah "EMOSI: 2020" yang merupakan refleksi tahun pandemik yang menimpa seluruh dunia dengan pelbagai cabaran. Di samping itu, pragina : EMOSI turut menampilkan sebuah persembahan muzik khas, "ROH" yang dibawa oleh pemain seruling terkenal Malaysia, MK Ridzuan yang merupakan sebahagian daripada kumpulan muzik terkenal, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan tarian-tarian Bali yang begitu elegan serta unik. Walaupun beberapa persembahan berbentuk tradisional, yang turut digarap ke kontemporari, ianya harap dapat memperluaskan pemahaman para penonton terhadap kesenian "Nusantara", agar dapat mengekal dan membawa tradisi ini ke generasi hadapan.
Produksi ini disokong oleh The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan MyCreative Ventures. Malam pra-tonton (26 Mei 2021) berharga RM34 di mana penonton juga dapat merasai suasana penggambaran produksi ini.
Tiket untuk pertunjukan biasa (27 - 30 Mei 2021) bermula dari RM50 hingga RM100. Pembelian melalui www.proticket.com.my atau hubungi 03 4047 9000. Jualan atas kaunter tidak dibenarkan.
klpac mempunyai langkah-langkah komprehensif termasuk pemakaian topeng adalah wajib, pemeriksaan kesihatan, langkah-langkah penjarakan fizikal, pembersihan dan pembasmian kuman, pendidikan pengunjung, sistem tiket atas pertalian (e-tiket) dan latihan kepada staf.
Untuk SOP Covid-19 terkini layari, http://bit.ly/klpac_covid19_updates
Kerugian The Actors Studio Seni Teater Rakyat dan klpac akibat Covid-19 berjumlah hampir RM2 juta. Setiap tiket yang dijual bertujuan untuk memastikan mereka tetap bertahan dan membayar kakitangan, artis dan kru. Mereka harus mengumpulkan RM3.3 juta menjelang 2021 Disember untuk terus bertahan.
Orang ramai didorong untuk menjadi sebahagian daripada pemulihan mereka dengan membeli tiket atau membuat sumbangan melalui https://www.klpac.org/donations/.
Comments
Post a Comment