KENYATAAN MCDONALD'S MALAYSIA TENTANG PEMBOIKOTAN JENAMANYA

 


Apa yang terjadi di Timur Tengah sememangnya sesuatu yang amat memilukan, lebih-lebih dalam suasana kemuliaan bulan Ramadan, ditambah pula dengan dunia yang sedang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19. Walaupun begitu, ini tidak bererti tohmahan yang tidak berasas dan berunsur fitnah boleh dilemparkan begitu sahaja.

McDonald's Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami. Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah.

Fakta yang perlu anda tahu ialah McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak tahun 2017, dimana ekuiti syarikat kami dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.

Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami ingin menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun.

Pada tahun 2017, kami telah menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini dan kenyataan tersebut telah dikongsi secara meluas oleh orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka. Kenyataan kami juga telah diterbitkan oleh saluran media arus perdana, media dalam talian dan juga blog (lihat pautan di bawah untuk rujukan).







Secara khusus, pihak McDonald’s Malaysia telah membuat laporan polis terhadap individu- individu dan kumpulan-kumpulan yang membuat dakwaan palsu dan menyebarkan mesej tidak berasas melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain untuk memboikot restoran-restoran McDonald’s di Malaysia. Hal ini juga telah dimaklumkan kepada pihak SKMM untuk membuat tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak-hak dan kepentingan syarikat kami serta lebih 15,000 warga tempatan yang bekerja dengan kami.

Pada tahun yang sama, pihak kami juga telah mendapatkan pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menyatakan bahawa:-

1. Seruan “Wajib boikot” hanyalah sah jika ianya diperintah oleh umara’/pemerintah negara. Dalam konteks ini, pemimpin negara Malaysia dan juga mana-mana pihak autoriti Islam dalam Malaysia tidak pernah mengeluarkan apa-apa perintah memboikot McDonald’s Malaysia. Maka, sebarang seruan untuk wajib boikot McDonald’s adalah salah dalam perspektif Islam.

2. Boikot tanpa fakta yang sah boleh dianggap sebagai fitnah dalam hukum Islam, oleh itu tuduhan ke atas McDonald’s Malaysia adalah dianggap fitnah.

3. Pihak McDonald’s Malaysia berhak untuk menuntut ganti-rugi daripada pihak yang telah memboikot -- sesuai dengan kerugian dari segi kewangan ke atas syarikat dan kehilangan pekerjaan yang dialami akibat daripada boikot tersebut.

4. Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menyarankan supaya pihak individu/NGO yang telah memboikot dan/atau membuat tuduhan palsu ke atas McDonald’s Malaysia agar mengeluarkan kenyataan awam/terbuka untuk menarik balik kesemua tuduhan yang pernah dibuat ke atas McDonald’s Malaysia.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa sebagai entiti perniagaan, McDonald’s Malaysia tidak pernah terlibat dalam sebarang agenda yang menyokong Israel. Malahan, penjelasan kami berhubung isu ini telahpun diterima baik oleh badan-badan NGO utama seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia.



Pihak McDonald’s Malaysia akan terus berdoa untuk keamanan Palestin dan semoga penindasan dan keganasan yang berlaku akan segera berakhir.

Kenyataan oleh:

Azmir Jaafar
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan
McDonald's Malaysia
17 Mei 2021

Comments