DISNEY+ HOTSTAR BAKAL BAWAKAN CLUB MICKEY MOUSE MUSIM 4

 

Disney+ Hotstar hari ini mengumumkan, Musim 4 Club Mickey Mouse Malaysia merupakan terbitan aksi langsung Original pertama yang akan disiarkan di Malaysia dan Asia Tenggara. 

Dengan penerbitan dan penggambaran penuh di Malaysia, rancangan aneka ragam bagi seisi keluarga ini dijadualkan untuk tayangan perdana eksklusif di platform penstriman Disney+ Hotstar tidak lama lagi. Musim terbaharu ini bukan sahaja akan menampilkan lima Mouseketeer yang asal (Wafiy, Erissa, Gabriel, Faiz dan Ellya), tetapi juga dua wajah baharu.

Turut menyertai barisan artis tersebut sebagai Ketua Mouseketeer baharu ialah Eric Lau Lofstedt, 22, yang mencipta nama sebagai pemenang empat kali Pingat Emas Wushu Antarabangsa KL. Warga Malaysia lahiran Sweden yang berasal dari Melaka ini menyemarakkan lagi keterujaan musim baharu dengan kemahiran parkour serta keakrabannya dengan ahli-ahli Mouseketeer lain sebagai ketua kumpulan mereka.

Di samping itu, Melynna Rose, 14 dari Wizards of Warna Walk Disney bakal membuat penampilan julung kali sebagai Mouseketeer paling muda. Selaku pemenang Club Mickey Mouse Star Search pada August 2020, Melynna memiliki pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang nyanyian dan teater yang diterapkan begitu mudah ke dalam persembahannya.

Ahmad Izham Omar, Pengarah Eksekutif Kandungan & Kreatif, Disney+ Hotstar, Asia Tenggara berkata, “Club Mickey Mouse Malaysia bukan sahaja menikmati kejayaan memberangsangkan bagi tiga musimnya, tetapi diiktiraf untuk nilai hiburannya yang tinggi. Kami berbangga bahawa Musim 4 yang difilemkan sebelum pelaksanaan sekatan COVID-19, dijalankan dengan barisan artis dan kru yang semuanya dari Malaysia. Malahan, ia akan menjadi terbitan aksi langsung Original pertama yang bakal disiarkan di Malaysia dan Asia Tenggara. Kami teruja untuk mengumumkan lebih lagi pelancaran terbitan Original tidak lama lagi.”

Tambah beliau lagi, “Kami amat teruja dengan penyertaan Eric sebagai Ketua Mouseketeer baharu dalam Musim 4 Club Mickey Mouse. Semangat positif dan kreativiti beliau telah membawa dinamik baharu kepada pasukan Mouseketeer. Kami juga tidak sabar untuk memperkenalkan Melynna sebagai Mouseketeer yang paling muda, dengan bakat vokalnya yang cukup mantap walaupun berusia muda. Kedua-dua personaliti ini merupakan tambahan menarik kepada Mouseketeer, dan kami yakin para peminat akan menghayati nafas baharu yang dibawa oleh mereka.”

Eric Lau Lofstedt berkata, "Saya tidak sangka, pergerakan parkour saya di media sosial akhirnya akan membawa saya kepada watak Ketua Mouseketeer di pertunjukan Club Mickey Mouse yang ikonik. Musim baharu ini sarat dengan permainan, lagu, tarian dan banyak aksi ‘backflip’! Saya berbesar hati dapat bergandingan dengan barisan penghibur berbakat ini yang telah menjadi kawan saya, dan saya tidak sabar untuk berkongsi keseronokan kami dengan para peminat."

Melynna Rose berkongsi, “Zaman kanak-kanak saya tidak terpisah daripada rancangan Disney dan sukar hendak percaya saya kini telah menjadi salah seorang ahli persembahan Club Mickey Mouse. Saya mendapat sambutan yang mesra sejak hari pertama dan telah belajar banyak perkara dari Mouseketeer lain yang begitu peramah. Kami telah bekerja keras untuk menjadikannya satu pertunjukan yang menakjubkan, dan mula menghitung hari untuk berkongsi musim mengujakan ini dengan para peminat.

Club Mickey Mouse telah menghiburkan kanak-kanak dari generasi ke generasi dengan barisan muzik, komedi, permainan serta penampilan tetamu selebriti. Musim 1 hingga 3 kini kini tersedia untuk penstriman di Disney+ Hotstar, manakala episod-episod baharu Musim 4 akan disiarkan setiap minggu, dengan setiap episod memaparkan tema dan muzik yang asli dan berlainan.

Pengguna boleh melanggan perkhidmatan Disney+ Hotstar menerusi DisneyPlusHotstar.my atau memuat turun aplikasi Disney+ Hotstar pada peranti Android atau iOS untuk menikmati penstriman dengan RM54.90 selama tiga bulan. Di samping itu, pelanggan Astro Movies Pack boleh mengaktifkan hak istimewa mereka di astro.com.my/Disney dan mula menikmati rancangan kegemaran mereka di Disney+ Hotstar. Pakej khas dengan Disney+ Hotstar juga tersedia untuk pelanggan Astro lain di astro.com.my/Disney.

Tarikh pelancaran Musim 4 Club Mickey Mouse di Disney+ Hotstar akan diumumkan tidak lama lagi. Ikuti @clubmickeymousemy dan @disneyplushotstarmy di Instagram untuk maklumat lebih lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI