EMART24, KEDAI SERBANEKA KOREA LEBARKAN SAYAP KE MALAYSIA


‘Terkini’, ‘bergaya’ dan ‘artisan’ merupakan antara istilah yang boleh dikaitkan dengan kedai serbaneka Korea yang baru dibuka di Malaysia. Melancarkan kedai “Reserve” pertamanya di Bangsar Selatan, emart24 berazam untik menyuntik nafas baharu kepada stereotaip kedai serbaneka berdinding putih. Dengan konsep gaya hidup, ia menawarkan makanan jalanan Korea yang segar, kopi yang harum, makanan ringan Korea eksklusif daripada labelnya tersendiri, ‘I’m e’ dan ‘No Brand’, serta rangkaian kecantikan K-beauty yang luas.


Sejak diasaskan pada tahun 2014, emart24 telah berkembang pesat kepada lebih 5,500 kedai dalam hanya 7 tahun, sekaligus menempa nama sebagai kedai serbaneka Korea yang berkembang paling pantas. Dipacu gelombang ‘Hallyu’, kedai baru berkenaan merupakan yang pertama antara 300 kedai disasar untuk dibuka di Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang.


Vuitton Pang, Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Malaysia berkata, “Bagi mengiktiraf semangat kecintaan rakyat Malaysia terhadap segala trend dari Korea, bersama dengan pelabur ekuiti swasta kami, Karrin Associates, emart24 Malaysia bertekad menawarkan pengalaman tiada bandingan dalam landskap kedai serbaneka negara. Jenama ini terkenal dengan pendekatan berpaksikan pelanggan, dan amat berpadanan dengan pasaran Malaysia. Kami yakin sekarang masa yang tepat untuk pendekatan yang lebih progresif terhadap kedai serbaneka di negara kita.”


Di Korea, emart24 dikendalikan oleh peruncit terbesar di negara berkenaan, Shinsegae Group, dan merupakan jenama kedai serbaneka pertama di Korea yang memperkenalkan kedai serbaneka tanpa pekerja manusia, yang terus maju ke hadapan dengan penerapan teknologi.


Kumpulan ini terus meneroka peluang untuk menaik taraf perkhidmatannya menerusi pelbagai idea inovatif, seperti kios pembayaran sendiri dan penjejakan pembelian yang bertujuan mempertingkatkan pengalaman pelanggan. “Lebih-lebih lagi pada masa ini, perniagaan dan pengguna lebih cenderung memilih pembayaran tanpa sentuhan. Berbekalkan kemajuan teknologi emart24 di Korea, matlamat jangka panjang kami adalah untuk memperkenalkan inovasi ini secara berperingkat di Malaysia,” jelas Vuitton.


Inovasi turut menjadi faktor pemacu konsep kedai ‘Reserve’ emart24 - menampilkan ruang yang lebih besar, rekaan dalaman yang diperibadikan, serta ciri-ciri keunikan untuk setiap kedai. Semua ini membuka peluang kepada pengenalan idea baharu, baik dari segi penawaran produk mahupun reka bentuk kedai, sekaligus menghasilkan pengalaman yang unik. Meskipun ia menawarkan pilihan lebih luas berbanding Kedai ‘General’, pelanggan dapat menikmati kualiti yang konsisten tidak kira di mana kedai sekalipun. Kedai ‘General’ yang pertama akan mula beroperasi di Hartamas tidak lama lagi dan menampilkan tawaran tersendiri seperti makanan jalanan Korea.

Aneka pilihan makanan jalanan Korea

Dari segi keselamatan dan kualiti makanan, emart24 komited memastikan semua bahan yang digunakan untuk makanan segar dan makanan sedia dimakan bersumberkan pembekal-pembekal yang diiktiraf Halal. Selain makanan, pelanggan juga dapat menikmati beraneka pilihan kosmetik, penjagaan diri serta wangian, disediakan menerusi kerjasama strategik dengan OnlyKorea, iaitu pengedar sah produk kecantikan Korea yang bakal menjadi antara kumpulan peruncit kecantikan Korea yang terkemuka di Asia.


Mengulas lanjut, Vuitton menambah bahawa pengembangan emart24 di Malaysia adalah berasaskan slogan, Hello, neighbour! “Kami merupakan kedai serbaneka terbaru yang membawakan pengalaman peruncitan Korea yang mudah lagi mampu dimiliki ke kawasan kejiranan anda. Kami percaya keselesaan dalam kehidupan harian harus sinonim dengan trend masa kini.”

Untuk promosi terkini dan maklumat lanjut, layari www.emart24.com.my atau ikuti laman Facebook emart24 Malaysia di www.facebook.com/emart24.my/ serta Instagram di www.instagram.com/emart24.my/.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

KECUT PERUT, PECAH PERUT DENGAN ‘DON DUKUN’: ZUL ARIFFIN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN

TOURISM SELANGOR MENGADAKAN SELANGOR TRAVEL FAIR SEMPENA TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025