PIALA SUPER MUSIM PANAS SIRI IKON WILD RIFT JADI REBUTAN

 


Siri Ikon 2021 Asia Tenggara (SEA) anjuran Riot Games, bakal berakhir dengan kejuaraan serantau pertamanya bagi tahun ini, iaitu Piala Super Musim Panas. Sepanjang litar kejohanan ini, pasukan-pasukan telah bertarung dalam League of Legends: Wild Rift, iaitu versi mudah alih permainan arena pertempuran dalam talian berbilang pemain (MOBA) yang mencatat lebih 660,000 muat turun di Malaysia, serta lebih 12 juta muat turun di seluruh SEA dan Hong Kong.

“Tibanya masa untuk Asia Tenggara menakluki Rift! Susulan kejayaan dalam pertandingan pra-musim dan serantau, kejohanan terulung ini merupakan batu loncatan untuk menonjolkan kehebatan para pemain dan pasukan kami sebagai antara golongan elit di persada e-sukan antarabangsa. Berganding tangan dengan rakan-rakan kerjasama kami, kami teruja untuk mempersembahkan tawaran terhebat dari Asia Tenggara, dan menggalakkan semua peminat Wild Rift dan e-sukan untuk menonton, menyokong dan bersorak untuk pasukan kegemaran anda,” demikian kata Chris Tran, Ketua E-Sukan untuk Riot Games Asia Tenggara, Taiwan, Hong Kong dan Macau.

Siri Ikon Wild Rift SEA - Piala Super Musim Panas dibawakan oleh Philippine Pro Gaming League (PPGL), iaitu liga e-sukan multi-permainan terbesar di negara berkenaan, yang dimiliki bersama oleh organisasi esports terkemuka, Mineski Philippines dan rakan telekomunikasi jangka panjangnya, Globe Telecom. Kejohanan ini turut ditaja oleh syarikat peranti pintar antarabangsa OPPO, yang merupakan peranti mudah alih rasmi Piala Super Musim Panas. Dari lebih 800 peserta yang layak, hanya 16 pasukan akan mara ke kejohanan serantau Wild Rift, iaitu pasukan No.1 dan No.2 dari lapan wilayah: Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan Vietnam. Mereka akan bersaing merebut gelaran juara Piala Super Musim Panas yang pertama serta hadiah berjumlah USD 150,000 (~ RM620,850)

“Bersama rakan kongsi kami, Mineski, yang merupakan penganjur e-sukan terbesar di Asia Tenggara, kami di Globe berbesar hati mendapat peluang keemasan ini bagi menyerlahkan bakat dan kemahiran para peminat e-sukan Filipina kami dengan membawakan kejohanan serta pengalaman e-sukan yang mengujakan kepada jiran-jiran kami di Asia. Tambahan pula, seiring kebangkitan Wild Rift di negara, Globe telah memberikan sokongan padu kepada landskap persaingan ini,” kata DC Dominguez, Ketua Permainan dan E-sukan Globe.

Dua jaguh tanah air yang bakal mewakili Malaysia dalam pertempuran ialah Berjaya Dragons dan Geek Fam. Berjaya Dragon telah mendominasi peringkat kumpulan ESL Mobile Open 2021 Summer: Malaysia, dengan keputusan 6-0 dan mengungguli kejuaraan serantau dan hadiah wang sebanyak $4,845 USD (~RM20082), setelah mengalahkan Geek Fam 4-1 dalam pusingan Grand Final. Sebagai pemenang tempat kedua, Geek Fam telah membawa pulang wang hadiah sebanyak $2,422 USD (~RM10039).

Pasukan bakal menyertai pusingan kelayakan terdiri daripada MVP dan QWQ dari Hong Kong, Onic Esports dan Bigetron Infinity dari Indonesia, Amihan Esports dan Team Secret dari Filipina, ONE Team dan Flash Wolves dari Taiwan, EVOS Esports TH dan Buriram United Esports dari Thailand, Alliance dan Impunity Esports dari Singapura, serta SBTC Esports dan CERBERUS Esports dari Vietnam.

Siri Ikon Wild Rift SEA - Piala Super Musim Panas dibahagikan kepada dua peringkat, bermula dengan Peringkat Kumpulan yang bakal berlangsung dari 19 hingga 22 Jun dan peringkat ‘Playoff’ dari 25 hingga 27 Jun. Grand Final juga akan berlangsung pada hari terakhir.

Peringkat Kumpulan akan berdasarkan format ‘double round-robin’. Semua pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang masing-masing terdiri daripada empat pasukan, dengan maksimum 2 pasukan No. 1. Dalam peringkat ini, tiada pasukan dari negara yang sama yang akan bertarung antara satu sama lain. Sebanyak 12 perlawanan akan berlangsung setiap hari sehingga tiga pasukan teratas dari setiap kumpulan ditentukan. Kemudian, pasukan-pasukan yang menang akan mara ke pusingan ‘Playoff’ berdasarkan siri ‘Best of Five’ dalam satu format penyingkiran tunggal. Pasukan-pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir, manakala yang lainnya akan bertanding untuk kedudukan masing-masing. Seperti Peringkat Kumpulan, tiada pasukan dari negara yang sama yang akan bertarung antara satu sama lain dalam pusingan kelayakan. Selepas itu, penyingkiran tunggal akan diteruskan sehingga tinggal dua pasukan teratas sahaja yang akan bersaing merebut gelaran juara Piala Super Musim Panas Asia Tenggara dan penakluk Rift.

Buktikan kemampuan anda. Serlahkan kekuatan anda. Tunjukkan semangat juara takkan gentar. Lakarlah Lagenda anda!



Nikmati penstriman langsung eksklusif Siri Ikon Wild Rift SEA-Piala Super Musim Panas di saluran rasmi PPGL.



Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO