APLIKASI ALIMENTS CETUS ‘REVOLUSI’ DALAM INDUSTRI F&B

 

Aliments hari ini mengumumkan ciri-ciri dan penampilan baharu bagi aplikasi mudah alihnya yang akan memartabatkan kedudukan platform pemesanan makanan. Pelancaran aplikasi baharu yang dinaik taraf ini amat tepat pada masanya bagi memenuhi selera rakyat Malaysia yang tiada batasnya, bahkan ketika mereka terus ‘berkurung’ di rumah akibat perintah ‘lockdown’. Pelancaran berkenaan sejajar dengan azam Aliments bagi menyatukan perniagaan F&B dan pelanggan secara sempurna, sekaligus membolehkan mereka menikmati hidangan kegemaran mereka dari restoran-restoran pilihan mereka, tidak kira dine-in, bawa pulang, pandu-lalu, mahupun penghantaran.

Aliments yang bermaksud ‘makanan’ dalam bahasa Perancis ditubuhkan pada tahun 2018, ketika beberapa pengasasnya, Jason Hor, Kelvin Kwek, Rex Ong, Manik dan Lee Teng, mengilhamkan satu produk berdaya maju minimum (MVP) dengan ciri pesanan QR meja untuk sebuah kafe. Lama-kelamaan, Aliments semakin berkembang dan merangkumi lebih banyak ciri seperti pesanan penghantaran dalam talian, bawa pulang dan pandu-lalu. Pada hari ini, Aliments telah mencapai lebih 200,000 muat turun pengguna di App Store dan Google Play Store.

Aplikasi mudah alih Aliments yang diperbaharui menampilkan beberapa ciri menarik, dengan pengalaman dan ganjaran lebih hebat bagi mendorong kesetiaan dan pengekalan pelanggan. Antaranya ialah ciri keahlian PRIME, iaitu keahlian digital yang membolehkan pelanggan membuat pesanan ‘bundle’ atau pesanan pukal untuk makanan mereka. Ciri ini memberi manfaat kepada pelanggan setia yang kini dapat memesan makanan kegemaran mereka secara berulangan dengan diskaun menarik.

Bayangkan, anda cuma perlu bayar satu harga untuk kopi kegemaran anda dan ia akan dihantar kepada anda setiap hari, sehingga anda mencapai jumlah maksimum yang ditawarkan! Ciri keahlian PRIME juga membolehkan perniagaan F&B menawarkan baucar atau promosi keahlian bagi terus mengujakan pelanggan setia mereka.

Selain itu, aplikasi mudah alih yang diperbaharui ini juga secara rasminya memperkenalkan ciri pandu-lalu baharu yang amat bertepatan dengan permintaan semasa di Malaysia. Pelanggan hanya perlu membuat pesanan dan memasukkan maklumat kenderaan pada aplikasi sebelum bertolak ke kedai F&B pilihan mereka. Aplikasi ini kemudian akan memaklumkan kedai F&B apabila pelanggan tiba, dan menugaskan seorang kakitangan untuk menyerahkan makanan.

Papasan Canteen, sebuah restoran gabungan di Kuala Lumpur, merupakan antara perniagaan yang paling awal menerapkan ciri ini, dan kemudian menyaksikan peningkatan pesanan setinggi 944%. Bagi meringkaskan proses pembayaran, aplikasi mudah alih Aliments bekerjasama dengan rakan-rakan penghantaran yang boleh dipercayai, di samping menerima kad Visa, Mastercard, dan e-dompet utama seperti GrabPay, Boost, Touch ‘n Go, Alipay, UnionPay, dan sebagainya.

Pasukan Pengasas Bersama Aliments: Jason, Kelvin, Rex, Manik, dan Lee.

Kelvin Kwek, Pengasas Bersama Aliments berkata, "Selari dengan peningkatan trend transaksi tanpa tunai, kami telah mengadaptasikan platform kami kepada keperluan pelanggan. Urus niaga tanpa tunai juga merupakan pilihan yang lebih selamat dalam tempoh pandemik, kerana mengurangkan pertukaran wang kertas dengan tangan. Sebab inilah kami telah menyediakan banyak kaedah pembayaran di aplikasi mudah alih Aliments. Kaedah-kaedah pembayaran ini juga memastikan perniagaan F&B dapat mengikuti arus teknologi dan mampu mengadaptasi kepada norma baharu pembayaran dalam talian."

Berpegang teguh pada visinya untuk melakar masa hadapan lebih cerah bagi industri F&B di Malaysia, Aliments berjaya mendapat kepercayaan banyak jenama makanan terkemuka yang telah menerapkan platform Aliments sepenuhnya. Pelanggan kini dapat menikmati hidangan kegemaran mereka dari Bar.B.Q Plaza, Salad Atelier, Suki-ya, Pasta Panas & KGB dan lebih banyak lagi. Selain itu, Aliments juga bekerjasama dengan Central i-City untuk memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan dan kutipan sendiri di pusat membeli-belah buat julung kali di Malaysia, yang membolehkan pelanggan membayar hanya satu caj penghantaran untuk beberapa pesanan.

Tambah Kelvin lagi, “Dengan menitikberatkan keselesaan pelanggan, kami berbangga untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu yang membolehkan pengguna membeli makanan dan minuman mereka dengan hanya beberapa sentuhan melalui satu antara muka yang mudah dinavigasi. Disebabkan sekatan terhadap ‘dine-in’ serta pergerakan rentas daerah dan negeri, banyak perniagaan F&B menghadapi cabaran untuk mencapai pelanggan mereka. Jadi, tentunya ramai pelanggan yang amat merindui hidangan kegemaran mereka yang kini di luar capaian mereka. Semoga aplikasi mudah alih Aliments dapat merapatkan jurang ini dan memberikan sinar harapan kepada semua untuk mengharungi tempoh mencabar ini.”

Sebagai antara platform pesanan makanan pertama di negara yang mendapat pengendorsan daripada Cradle, Aliments akan berusaha melebarkan sayap ke seluruh negara menjelang hujung 2021 dan ke serantau menjelang 2022. Sementara merealisasikan visinya untuk memodenkan pengalaman makan, Aliments giat mencari pelabur bagi menyokong impiannya dalam mewujudkan pengalaman jamu selera yang terunggul, di samping menyatukan perniagaan F&B dan pelanggan mereka secara sempurna.

Untuk maklumat lanjut tentang Aliments, sila layari https://aliments.my/ atau muat turun aplikasi mudah alihnya di Google Play Store dan App Store.


Feature photo by: Girl photo created by tirachardz - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO