ATLAS VENDING LANCAR KEMPEN SAPOT SME SEMPENA HARI MALAYSIA


ATLAS Vending, pembekal mesin layan diri terbesar di Malaysia akan menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna dengan kempen terbaru mereka, Sapot SME yang menampilkan kerjasama pelbagai jenama melibatkan 13 PKS dari setiap negeri di Malaysia. 

Dalam kerjasama bersama ATLAS Vending, setiap PKS akan meletakkan produk kegemaran tempatan yang disahkan Halal di dalam mesin ATLAS Vending di Balai Perlepasan KLIA Ekspres di Terminal Udara Kuala Lumpur. PKS berkenaan boleh menggunakan mesin layan diri tersebut tanpa perlu membayar sewa dengan perkhidmatan isian semula percuma selama tiga bulan mulai pertengahan bulan September. Kempen Sapot SME ini adalah fasa pertama konsep ATLAS Minit Mart terbaru yang akan dilancarkan oleh ATLAS Vending bagi menawarkan rangkaian produk yang lebih meluas melalui mesin layan diri.


Inisiatif ini selaras dengan usaha ATLAS Vending bagi membantu PKS tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Dalam kerjasama ini, 13 PKS terpilih boleh menggunakan mesin layan diri ATLAS Vending untuk mengembangkan lagi akses pasaran mereka, menjangkau kumpulan pengguna yang lebih luas dengan menawarkan kemudahan untuk membeli produk mereka pada bila-bila masa melalui mesin layan diri tersebut. Bagi melindungi pengguna yang berulang-alik menerusi hab perjalanan KL Sentral semasa pandemik ini, ATLAS Vending telah memasang lampu UV yang berupaya menghapuskan 99.99% kuman di atas papan kekunci yang kerap disentuh pengguna. Bagi melindungi para pelanggan daripada terdedah kepada sinar UV, ciri lampu UV itu akan terpadam secara automatik apabila alat pengesan gerakan mengesan ada orang menghampiri mesin layan diri tersebut.

Jenama-jenama yang menyertai kempen ini ialah Madina Food (Perlis), Nature's Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN (Selangor), myEureka (Melaka), Rehan (Negeri Sembilan), Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak).


“Sempena Hari Malaysia, kami di ATLAS Vending mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik ini. Kami dapati bahawa ramai usahawan tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka, akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi. Oleh itu, kami bercadang untuk menawarkan mesin layan diri kami sebagai saluran jualan berautomasi bagi membantu meluaskan lagi jangkauan mereka. Kami memilih Sapot SME sebagai tema untuk kempen ini kerana Persatuan PKS Malaysia mendapati bahawa 100,000 PKS telah menutup perniagaan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 dan 50,000 lagi PKS berisiko untuk gulung tikar jika PKP 3.0 kali ini dilanjutkan lagi[1]. Menerusi kempen Sapot SME ini, kami berharap untuk meraikan semangat Malaysia dengan menyokong para usahawan di seluruh negara dan keazaman mereka untuk terus bertahan,” kata Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sokongan ATLAS Vending, Amy Gan.

Meluaskan Lagi Akses Kepada Produk Kegemaran Tempatan

Pandemik yang berterusan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di Lembah Klang terlepas peluang untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman kegemaran tempatan atau produk-produk lain yang biasa mereka beli semasa melancong di dalam negara. Menerusi kempen Sapot SME ini, ATLAS Vending menawarkan saluran tambahan untuk rakyat Malaysia membeli produk dari negeri-negeri yang berbeza dengan mudah, menerusi mesin layan diri yang disediakan.

Pengurus Pemasaran Lee Fah Mee Sdn Bhd, Chai Chin Siew yang berpangkalan di Sarawak berkata, “Sebagai pengeluar dan pengeksport mi kering dan mi segera yang berpangkalan di Sarawak, pandemik ini telah memperlahankan pelan pengembangan kami ke Malaysia Barat. Apabila ATLAS Vending menghubungi kami untuk kempen Sapot SME ini, kami tidak perlu berfikir panjang dan terus bersetuju untuk menyertainya. Produk kami adalah kegemaran penduduk tempatan Sarawak dan atas bantuan ATLAS Vending, mi segera dan snek kami seperti Kerepek Laksa Sarawak kini boleh diakses menerusi saluran baru, bukan sahaja oleh rakyat Sarawak yang tidak dapat pulang akibat pandemik ini, tetapi juga oleh rakyat Malaysia lain yang belum pernah mencuba produk kami! Kempen ini sememangnya satu hadiah Hari Malaysia yang hebat bagi kami.”

“Bagi sesetengah rakan PKS, mereka mungkin terpaksa mengurangkan cawangan jualan fizikal mereka kerana kehilangan pendapatan. Dengan menggunakan teknologi dan meletakkan produk mereka di dalam mesin ATLAS Vending, mereka kini mempunyai pilihan akses pasaran dan cara baru untuk mempromosikan produk mereka. Kami ingin membantu PKS meneruskan aktiviti perniagaan mereka dan menerima normal baru dalam menjalankan perniagaan. Memandangkan pandemik ini masih lagi berterusan, kami juga mahu melindungi pengguna dengan memasang lampu UV pada semua 13 mesin layan diri tersebut yang berupaya menghapuskan 99.99% kuman di atas papan kekunci yang kerap disentuh pengguna,” kata Gan.


“Kami sudah memasuki pasaran dalam talian sejak 2017 dan belum pernah mencuba saluran jualan secara fizikal sebelum ini. Keupayaan untuk menjual produk kami secara fizikal melalui mesin layan diri yang dikhaskan untuk kamii di tengah-tengah Kuala Lumpur, yang disediakan oleh ATLAS Vending, adalah satu pencapaian yang bermakna. Peluang daripada ATLAS Vending ini membolehkan kami berkembang melangkaui pasaran semasa kami, dan kami berharap ia akan meningkatkan lagi jualan kami yang akan seterusnya membolehkan kami bertahan dalam pandemik ini dan terus berkembang di masa depan,” kongsi Pengasas Tokey Sambal Hitam, Khairril Adhzaha Awahab, pembekal dan pengeluar Sambal Hitam dari Pahang.

Pengarah Epic Food Manufacturing, Tan Ai Leen, pengilang TalentCook yang berpangkalan di Pulau Pinang berkata, “Misi kami ialah untuk berkongsi makanan etnik dengan para pengguna global dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati makanan Pulau Pinang kegemaran mereka pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja. ATLAS Vending telah membawa impian kami ke satu tahap yang lebih tinggi dengan mesin layan diri mereka yang menawarkan satu lagi cara mudah untuk membuat pembelian bagi para pengguna di Lembah Klang. Kami ingin mencadangkan kepada PKS yang lain agar mempertimbangkan untuk meletakkan produk mereka dalam mesin layan diri!”

“Sapot SME hanyalah fasa pertama dalam rancangan kami untuk memperkenalkan mesin layan diri terbaru di seluruh Malaysia yang menawarkan lebih banyak lagi selain daripada minuman dan makanan ringan yang biasa dijual. Menerusi pengenalan mesin layan diri ATLAS Minit Mart ini, para pengguna di Malaysia boleh mendapatkan produk yang biasa mereka beli di kedai serbaneka dan pasar mini menerusi mesin layan diri berautomasi yang beroperasi 24 jam setiap hari. Daripada mi segera hinggalah kepada sambal, perencah dan rempah ratus yang diperlukan untuk memasak, beraneka jenis makanan ringan bergoreng tempatan, buah-buah kering dan bertih jagung serta brownies, dan termasuk juga produk lain seperti ice blended milkshakes, produk yang ditawarkan menerusi ATLAS Minit Mart ini akan mengubah konsep mesin layan diri di dalam minda rakyat Malaysia,” jelas Gan lagi.

Kempen Sapot SME ini disokong oleh Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) sebagai rakan tapak acara rasmi, yang turut membantu mengukuhkan PKS menerusi inisiatif yang amat bermakna sempena Hari Malaysia ini. Singgahlah di 13 mesin layan diri ini yang diletakkan di KL Sentral bagi mencuba pelbagai produk kegemaran tempatan yang ditawarkan oleh PKS yang mengambil bahagian dalam kempen Sapot SME. Setiap mesin layan diri turut dihiasi dengan elemen rekaan yang mencerminkan identiti negeri masing-masing. Mari kita bersama-sama meraikan Hari Malaysia dengan memilih untuk Sapot SME dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Seperti yang sering diperkatakan, #KitaJagaKita. PKS lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam kempen Sapot SME Atlas Vending ini boleh menghubungi ATLAS Vending melalui talian perkhidmatan pelanggan mereka di 1300-1300-61, Facebook atau kunjungi laman sesawang mereka bagi mendapatkan lebih banyak lagi pilihan untuk berhubung.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA