FATTAH AMIN & DIANA DANIELLE DIBUAI MIMPI 'GANJIL' DI VIU


Viu, peneraju perkhidmatan penstriman video OTT pan-serantau PCCW, bakal menayangkan siri drama serba baru Malaysia berjudul GANJIL. Sebuah kisah percintaan yang romantik, penuh fantasi. GANJIL menggabungkan dua genre untuk satu karya dalam membentuk alam yang menakjubkan.


Siri ini berkisar seorang lelaki dan wanita muda yang mendapati diri mereka bertemu insan yang mereka impikan. Amry dilakonkan oleh Fattah Amin – pemenang Anugerah Pelakon TV Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 pada 2018, yang diiktiraf sebagai selebriti popular dan penghibur Malaysia di dalam industri hiburan. Sementara itu, Nabila dibawa oleh Diana Danielle – pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 pada 2017, sebuah anugerah rasmi oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Pasangan ini bertembung di dalam mimpi mereka, pada satu malam istimewa di mana mimpi mereka bercantum menjadi satu. Ketika mereka mendapati masing-masing mungkin hanya satu watak di dalam alam mimpi, tanpa mereka sedari, kedua-duanya menjadi lebih erat, berkongsi rahsia dan berdepan dengan ketakutan bersama. Mimpi mereka adalah cara alam memberikan mereka peluang kedua, untuk menjadi insan yang lebih baik. GANJIL juga memaparkan kesulitan yang dirasai ramai untuk mencari tempat di dunia sebenar, sambil cuba mengimbangi tanggungjawab seseorang terhadap keluarga.


Diterbitkan oleh Razor’s Edge Pictures dan diarah oleh Datuk Yusry Abdul Halim, karyawan yang penuh wawasan dan terkenal dalam penggunaan kesan visualnya. GANJIL adalah kisah cinta yang mengangkat genre percintaan dan digabung dengan elemen fantasi, menghasilkan sebuah kisah dengan imej yang indah. Siri ini berlatarkan dunia sebenar dengan alam mimpi di bawah sedar Amry dan Nabila. Siri 10 episod semusim ini kemuncaknya memberikan penonton pandangan mendalam ke dalam jiwa dan keresahan mereka, menerusi alam mimpi yang mereka lalui. Siri ini turut menampilkan barisan pelakon sokongan yang kuat, iaitu Izzue Islam dan bekas pelakon kanak-kanak, Fatin Afeefa, yang masing-masingnya memainkan peranan utama di dalam kehidupan Nabila dan Amry.


Encik Kingsley Warner, Pengurus Negara bagi Viu Malaysia, berkata “GANJIL adalah siri Viu Original kami yang ketiga diterbitkan tahun ini, menyusul penerbitan Black Musim 2 dan Keluarga Baha Don Musim 3. Karya hebat GANJIL memaparkan desikasi Viu terhadap kandungan terbitan tempatan yang berkualiti tinggi. Oleh itu kami yakin bahawa GANJIL memenuhi standard sebuah drama premium yang sinonim dengan Viu.’’

Penyedia perkhidmatan komunikasi Maxis bekerjasama dengan Viu membawakan GANJIL lima hari lebih awal untuk penonton Maxis TV. Tayangan awal eksklusif drama fantasi ini akan diadakan pada 25 September, dengan lima episod pertama disiarkan lebih awal untuk pengguna Maxis TV, dengan dua episod ditayangkan seminggu. Episod berikutnya akan ditayangkan pada tarikh sama penyiaran di Viu.

Encik Rabiras Rajakrishnan, Ketua Segmen, Konsumer Hotlink, Maxis, berkata “Kami teruja untuk terus memberi ganjaran kepada pelanggan dengan kandungan eksklusif pada Maxis TV dengan Viu. Maxis TV membawakan pengalaman peribadi yang tiada tandingan, dengan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dari segi kandungan yang pelanggan mahukan, dengan cara yang mereka tersendiri. Sebagai pemain digital sepenuhnya, rakyat Malaysia boleh menikmati semua sambungan terkumpul, kandungan dan keperluan perkhidmatan di platform tersebut.’’


GANJIL akan mula ditayangkan pada 30 September, dengan dua episod ditayangkan setiap Khamis sehingga 28 Oktober. Penonton boleh menyaksikan siri ini menerusi aplikasi Viu. Hanya muat turun secara percuma melalui App Store, Google Play, dan TV pintar terpilih, atau laman web di www.viu.com.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SEBARKAN KASIH SAYANG DAN KEBAIKAN DENGAN VOLUNTOURISM