MENARA KL RAIKAN ULANG TAHUN KE-25 DENGAN PROGRAM MENARIK


Menara Kuala Lumpur akan menyambut Ulang Tahun yang ke-25 pada 1hb Oktober 2021. 

Sebagai salah sebuah mercu tanda penting dan simbol yang memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, Menara Kuala Lumpur telah menawarkan pelbagai pengalaman yang menarik dan telah memberikan memori indah kepada para pengunjung seluruh dunia sepanjang 25 tahun ini. 

Pembinaan Menara Kuala Lumpur bermula pada Oktober 1991 dan siap pada Mei 1996, manakala ianya telah dibuka kepada para pengunjung dan dilancarkan secara rasmi pada 1hb Oktober 1996 oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Tersergam indah menghiasi bandaraya Kuala Lumpur selama 25 tahun, Menara Kuala Lumpur yang merupakan Menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia ini juga amat terkenal dengan pelbagai tarikan unik serta acara-acara tahunan yang mencabar. 

Justeru itu, bersempena dengan sambutan istimewa Jubli Perak Menara Kuala Lumpur pada tahun ini, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan selama 3 bulan bermula pada Oktober hingga Disember 2021. 


Program dan aktiviti yang akan diadakan adalah berbentuk virtual dan fizikal seperti; Anniversary Giveaway, Tower Lighting, Online Games, Anniversary Greeting, Throwback Challenge, TikTok Challenge, Anniversary Postage Stamp, Virtual Treasure Hunt, Limited Edition Snapback Cap, KL Tower Replica Miniature Competition, KL Tower Kids – Colouring Contest dan KL Tower Kids – Count If You Can Contest. 

Selain itu Menara Kuala Lumpur akan mengeluarkan sebuah lagu yang dicipta khas oleh The Sky Band iaitu Pemuzik dari Menara Kuala Lumpur bersempena dengan sambutan Jubli Perak ini. 

“Sambutan ulang tahun ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada para pengunjung yang telah menyokong Menara Kuala Lumpur sejak tahun 1996. Ada pengunjung yang pernah datang ke Menara Kuala Lumpur pada 25 tahun lepas bersama lawatan sekolah, dan datang semula pada tahun ini membawa anak-anak mereka untuk berjalan-jalan dan mengimbau semula kenangan manis mereka semasa kecil disini”, kata Puan Ainol Shaharina Binti Sahar, Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. 

“Ditambah pula dengan berita baik iaitu pengumuman pembukaan sektor pelancongan secara berperingkat yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Menara Kuala Lumpur juga akan kembali beroperasi pada 1hb Oktober 2021. Berita baik ini merupakan ‘hadiah ulang tahun’ yang cukup bermakna bagi kami semua”, tambah beliau lagi. 

Seluruh rakyat Malaysia yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 (para pengunjung mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua) dijemput untuk berkunjung ke Menara Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak akan dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan domestik sekaligus mengalakkan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam negara. Menara Kuala Lumpur sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19, antaranya seperti penjarakkan fizikal, penyediaan hand sanitiser, merekod suhu badan pengunjung, kesan kontak (contact tracing), mewajibkan amalan memakai pelitup muka dan lain-lain lagi. 

Sanitasi penuh juga akan dibuat bagi memastikan kebersihan terjamin di seluruh kawasan premis, sementara pembersihan secara berkala turut dilakukan setiap 45 minit setiap hari. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial Menara Kuala Lumpur di Facebook @officialmenarakl atau Instagram @menarakl. Jumpa anda di Menara Kuala Lumpur!

Comments

Popular posts from this blog

LAGU 'BEGHAOK RAYA' MEMERIAHKAN LAGI SUASANA HARI RAYA TAHUN INI