SINOPSIS: SABALIK BAJU - TAYANGAN PERDANA AMAL PADA 16 SEPTEMBER


Diterbitkan oleh Red Communications dan dikaryakan oleh 4 penulis dan pengarah Wanita, SABALIK BAJU menceritakan tentang tarikan, kemusnahan dan pemerkasaan media sosial bagi 6 orang perempuan yang mampu mengubah kehidupan mereka untuk menjadi lebih baik atau lebih teruk.

Dibintangi Mira Filzah, Nadiya Nisaa, Juliana Evans, Elena Moujing, Kaka Azraff dan Sarancak, filem ini mempunyai semua elemen komedi, drama dan suspen yang akan menghiburkan dan mencuitkan hati.


Kisah #1: Hak Peribody

DAHLIA (Nadiya Nisaa), seorang penulis terasa kehilangan apabila syarikat majalah perempuan yang beliau bekerja telah tutup perniagaan. Beliau menyalahkan media sosial kerana ramai orang bergantung kepada media sosial dalam kehidupan seharian. Pada suatu hari, ketika Dahlia terdengar pertengkaran di antara seorang suami dan isteri, beliau mendapat inspirasi untuk memulakan perniagaan yang menjual pakaian dalam perempuan yang seksi untuk menghangatkan perhubungan antara suami isteri. “Hak Peribody” ditulis dan diarah oleh Junad Muhammad Nor.



Kisah #2: Love Clicks

HANNAH (Elena Moujing) yang sentiasa menggunakan platform digital merasakan beliau telah jatuh cinta terhadap Pengguna Nombor 721 yang beliau telah kenal di aplikasi cari jodoh, “Love Clicks”. Masalahnya adalah, beliau tidak tahu bagaimana rupa pengguna tersebut kerana mereka hanya boleh melihat avatar masing-masing sahaja. “Love Clicks” ditulis dan diarah oleh Sarah Lois.




Kisah #3: Bukan Salah Ibu Mengandung

Dalam “Bukan Salah Ibu Mengandung,” punca pendapatan blogger kecantikan MYRA (Juliana Evans) dan suami yang merupakan pengurusnya, IRFAN (Aliff Satar) kini tergugat disebabkan beliau sedang mengandung anak pertama mereka. Disebabkan hormon yang tidak stabil, Myra menghadapi alahan yang teruk terhadap bahan kosmetik yang menyebabkannya untuk mendapat amaran daripada kliennya. “Bukan Salah Ibu Mengandung” ditulis oleh Rafidah Abdullah dan diarah oleh Umie Salwana Omar.



Kisah #4: Dalam Kain

SIERRA (Sarancak) mempunyai pengikut media sosial yang ramai kerana beliau gemar berkongsi mengenai kehidupannya bersama suaminya, Hanif serta memberikan nasihat-nasihat perkahwinan. Akan tetapi, salah seorang pengikutnya telah terjumpa akaun suaminya di aplikasi cari jodoh, “Hunny Bunny” dan menyebarkan berita tersebut di media sosial. Ini telah menyebabkan Sierra dikeji oleh orang ramai. Sierra mengambil keputusan untuk mengikut rancangan rakan baiknya untuk mengetahui jika suaminya benar-benar sedang curang terhadapnya. “Dalam Kain” ditulis dan diarah oleh Sarah Lois.



Kisah #5: Angkat Kaki

“Angkat Kaki” menceritakan tentang ARIA (Mira Filzah), yang berkeinginan tinggi untuk mempunyai sebuah karier berbanding berkahwin dan mempunyai suami. Akan tetapi, bapa Aria yang merupakan seorang yang konservatif dan terlalu melindungi anak tidak bersetuju dengan keinginan Aria dan merasakan bahawa seorang perempuan tidak seharusnya bekerja dengan bersungguh-sungguh. “Angkat Kaki” ditulis dan diarah oleh Afiza Asram.



Kisah #6: Aset

“Aset” menceritakan tentang SALINA (Kaka Azraff) yang sentiasa berasa risau dan malu tentang saiz payudaranya iaitu saiz DD. Beliau berasa lebih terganggu apabila rakan sekerjanya berkongsi gambarnya di media sosial. Beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Ketika berada di dalam bas, beliau duduk di sebelah SALLY (Joanne Kam), seorang perempuan yang lantang dan peramah. Perjumpaan secara tidak sengaja ini telah menukarkan pandangan Salina terhadap kehidupannya. “Aset” diarah oleh Afiza Asram dan ditulis oleh Rafidah Abdullah.

Red Communications bakal menganjurkan tayangan perdana amal secara dalam talian pada 16 September 2021, untuk mengumpul dana bagi Sisters in Islam, sebuah NGO, untuk menyokong usaha mereka dalam memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia.

Tayangan perdana amal ini bakal dilangsungkan pada jam 5.00 petang dengan bayaran RM50 (orang ramai) dan RM20 (untuk pelajar sahaja). Semua hasil jualan tiket untuk tayangan tersebut akan disalurkan kepada Sisters in Islam.

Untuk membeli tiket dan menonton filem tersebut, sila layari https://sistersinislam.org/sabalik-baju/.


Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES