COWAY RUN 2021 CIPTA SEJARAH DENGAN SETIAP LANGKAH

Edwin Yeoh Tiong Chin, Perunding Rekod Senior Malaysia Book of Records (kiri) menyampaikan sijil rasmi kepada Kyle Choi Ki Ryong, Pengarah Urusan Coway Malaysia (kanan)

Coway Run 2021: Run for Your Region telah mencipta sejarah apabila mereka dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records bagi ‘Bilangan Jualan Tiket Larian Maya Tertinggi Dalam Sehari’. Hampir 10,000 tiket Coway Run 2021 telah habis dijual dalam masa 24 jam selepas dilancarkan dan menandakan detik kejayaan dalam sejarah Coway Run! Pencapaian ini terus mengukuhkan lagi kepentingan Coway Run kepada rakyat Malaysia, yang amat berminat untuk menyertai acara ini setiap tahun. Sama ada secara fizikal atau maya, Coway Run amat digemari oleh ramai pelari.

Dianjurkan oleh Coway Malaysia, Coway Run 2021 ialah larian maya antara wilayah yang mempromosikan keseronokan, kehidupan yang sihat dan semangat kemasyarakatan. Larian ini, yang dilancarkan pada 23 September 2021, mendorong para peserta untuk berlari pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk mencatatkan kilometer tersebut. Didorong oleh sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh peserta, acara itu yang dirancang untuk diadakan selama sebulan telah dilanjutkan sehingga 31 Oktober 2021.

“Ia adalah satu penghormatan dan pencapaian besar untuk masuk ke dalam Malaysia Book of Records berasaskan rekod bilangan jualan tiket tertinggi secara maya. Dalam pandemik semasa ini di mana segala aktiviti beralih ke dunia maya, kami gembira dengan keputusan untuk menukarkan Coway Run sebagai larian maya apabila kami tidak dapat menganjurkan larian fizikal tahun lepas. Menerusi larian maya ini, lebih ramai peserta boleh mengambil bahagian di mana-mana sahaja mengikut keselesaan dan kelapangan masa masing-masing,” kata pengarah urusan Coway Malaysia, Kyle Choi.

Beliau menambah bahawa Coway Malaysia amat menghargai sokongan luar biasa yang diterima dan gembira untuk memainkan peranan dalam usaha membantu negara kita meningkatkan tahap kesihatan rakyat. Tahun ini, Coway telah meningkatkan jualan tiket berbanding tahun-tahun sebelumnya selaras dengan rancangan mereka untuk menggalakkan kehidupan yang lebih sihat terutamanya semasa pandemik ini, yang menyebabkan orang ramai meluangkan masa di dalam rumah berbanding di luar rumah.

Tahun ini, pertandingan maya ini melibatkan setiap wilayah di negara ini, menggalakkan peserta untuk mewakili negeri masing-masing untuk menjayakan pertandingan persahabatan di seluruh negara. Pasukan-pasukan dibahagikan kepada wilayah Utara, Sentral, Selatan, Pantai Timur dan Borneo, menjadikannya peluang terbaik untuk pelari menyerlahkan keupayaan dan bersaing dengan pelari dari wilayah lain.

Untuk menjadikan acara lebih menarik, peserta diberikan platform untuk berkongsi peta laluan larian secara langsung dan pelari juga dapat mengumpulkan lencana pencapaian maya untuk setiap 5km yang dicapai. Setiap langkah diambil kira dalam usaha peserta mengumpulkan jarak kilometer dan berlari untuk memastikan kemenangan ‘pasukan’ wilayah mereka.

Selain berlari untuk kemasyhuran, pencapaian peribadi dan kepuasan diri, peserta juga berlari untuk tujuan amal. Apabila para peserta seluruh negara secara kolektif telah mencapai National Goal sejauh 200,000KM, sejumlah RM200,000 telah disumbangkan oleh Coway Malaysia kepada tiga badan kebajikan. Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan ialah EcoKnights, MERCY Malaysia dan Reef Check Malaysia. Malah, pelari yang begitu bersemangat telah mengatasi National Goal dengan mencatatkan jarak sejauh 244,672KM, dengan pasukan wilayah Tengah muncul sebagai juara dengan jarak 103,496KM.

Sama seperti tahun-tahun lepas, untuk setiap tiket yang dijual, Coway turut menyumbang RM10 kepada Happy Water Project. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membekalkan air bersih kepada masyarakat Orang Asli yang memerlukan di seluruh negara.

Sebagai inisiatif hijau yang diasaskan daripada misi Coway Malaysia, cenderahati Kit Larian tahun ini disediakan dengan unsur mesra alam. Ia terdiri daripada item yang boleh dikitar semula atau diperbuat daripada bahan kitar semula. Antaranya termasuk pingat kayu yang diperbuat daripada kayu yang ditanam semula, kotak kit larian yang diperbuat daripada kertas kitar semula, beg lipat yang diperbuat daripada kanvas yang boleh dikitar semula dan lain-lain.

Tiada larian yang lengkap tanpa hadiah-hadiah menarik! Setiap pelari terbaik yang mencatatkan jumlah kilometer tertinggi menerima hadiah istimewa manakala pertandingan cabutan bertuah telah diadakan untuk pasukan wilayah yang menang. Sejumlah 21 pemenang telah dipilih secara rambang daripada pasukan pemenang yang memenangi hadiah bernilai RM30,206, termasuk produk Coway.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, daripada peserta kepada semua kakitangan Coway Malaysia kerana menjayakan Coway Run 2021. Sambutan yang diterima memang luar biasa dan kami bersemangat untuk menganjurkan Coway Run 2022! Kami teruja dan tidak sabar untuk melihat acara yang sedang dirancang untuk tahun depan tetapi saya berjanji sesuatu yang hebat akan datang,” kata Choi.

Beliau menambah bahawa ia juga sangat berinspirasi kerana melihat personaliti-personaliti tempatan mengambil bahagian dalam larian tahun ini, seperti Bella Dally, Dini Schatzmann, Jym Chong, Mat Dan dan Sean Lee. “Memang seronok melihat orang ramai bersenam dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat, dan nama-nama terkenal ini telah mendorong peminat mereka untuk turut sama bergiat cergas. Mereka telah membantu meningkatkan kesedaran tentang kehidupan sihat, kepentingan bersenam di samping menyokong tujuan amal,” katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang larian tahun ini, sila layari: www.cowayrun.com.my

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING