ERUL OMAR BAWAKAN KISAH PAK PANDIR DALAM BOOM BADA BOOM
Erul Omar merupakan finalis program Lagu Cinta Kita musim pertama. Program itu mendapat sambutan hangat dengan rating yang tinggi sekaligus melonjakkan nama Erul Omar di dalam industri muzik tanah air. Lebih menarik apabila Erul dipertemukan jodoh dimana isterinya juga adalah peserta finalis di dalam program yang sama dan musim yang sama iaitu Naufa.
Boom Bada Boom merupakan single pertama beliau selepas keluar dari program realiti tersebut. Lagu Boom Bada Boom ini dicipta oleh kombinasi dua komposer terkenal tanah air iaitu Shazee Ishak dan Audi Mok dan liriknya juga ditulis oleh mereka. Lagu berentak Pop dan rancak ini mengisahkan tentang Pak Pandir yang menjadi sebagai pengembara masa dan beliau menyaksikan sendiri perubahan yang berlaku di kampung seiring perjalanan masa.
Lagu Boom Bada Boom merupakan runut bunyi kepada drama Diandra: Mr.Millenium yang mengisahkan tentang pasangan suami isteri Jamil (Aqasha) dan Mastora (Christina Suzanne). Pasangan ini hidup secara sederhana di sebuah kampung di zaman 60an dan tidak dikurniakan anak. Namun kehidupan mereka tetap bahagia. Jamil seorang yang kuat berangan dan sering membayangkan apa akan terjadi di masa hadapan. Satu hari, Jamil terjumpa satu gelung misteri. Tanpa berfikir panjang, Jamil telah masuk ke dalam gelung itu dan dibawa merentas masa ke zaman moden!
Jangan lupa saksikan Diandra : Mr.Millenium dan hayati lagu runut Boom Bada Boom pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 8.30 malam di TV9 bermula 7 Disember lalu. Lagu Boom Bada Boom ini juga sudah boleh didengari di semua pelantar digital kegemaran dan muzik video di tonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.
Comments
Post a Comment