SIS KETENGAHKAN ISU HAK KESIHATAN SEKSUAL PEREMPUAN


Isu pencabulan Hak Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRHR) yang semakin berleluasa dalam institusi kekeluargaan dan pendidikan pada tahun-tahun sebelum ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan seksualiti komprehensif diberikan kepada rakyat Malaysia, khususnya kaum perempuan. 

Menyedari bahawa isu ini kian meruncing, Sisters in Islam (SIS) telah bekerjasama dengan Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM) dan Inisiatif Untuk Belia Kuala Lumpur (FYI KL) untuk menganjurkan webinar bertajuk ‘Sebelum Bergelar Isteri: Apa Perempuan Perlu Tahu?’. 

Program ini bertujuan menggalakkan perbincangan mengenai hak seorang isteri berkaitan hal ehwal hubungan seks dan hak kesihatan seksual dan reproduktif perempuan. 

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Rozana Isa berkata. “Secara amnya, perbincangan mengenai pendidikan dan kesihatan seksual masih dianggap tabu di Malaysia, hal ini telah menyebabkan kesedaran perempuan tentang hak peribadi mereka adalah terhad. Ketiadaan pendidikan seksualiti komprehensif di Malaysia menekankan betapa perlunya perbincangan dan tindakan susulan oleh semua pihak berhubung dengan topik hak kesihatan seksual dan reproduktif termasuk agensi kerajaan, NGO dan pusat pengajian tinggi,” 

Selalunya, kesedaran tentang autonomi terhadap tubuh badan sendiri menjadi terhad kerana halangan sosial dan budaya. Justeru, SIS mahu mencapai dua matlamat penting menerusi webinar ini, iaitu memperkasa perempuan untuk membuat pilihan sendiri dalam soal penjagaan dan kesihatan tubuh badan mereka dan memastikan semua pihak memainkan peranan masingmasing untuk memperjuangkan hak kesihatan seksual dan reproduktif wanita. 

Banyak kejadian tidak diingini dapat dicegah atau dikurangkan jika perempuan boleh mendapatkan maklumat lengkap tentang hak mereka dalam hubungan seks. Pendidikan seksualiti komprehensif akan membolehkan kaum wanita mengetahui apakah yang selamat dan wajar bagi mereka dan cara untuk mengelakkan paksaan, kehamilan yang tidak dirancang, penyakit kelamin, perkahwinan kanak-kanak, gangguan seks dan pelbagai masalah kesihatan dan sosial lain. 


Menangkis tanggapan negatif tentang persoalan hubungan intim 

Pendidikan seksualiti komprehensif boleh menghalang isu yang lebih kritikal seperti pembuangan bayi, penyakit kelamin dan gangguan seks, namun, institusi pendidikan dan politik negara masih keberatan untuk mendidik kaum perempuan.

Mendidik kumpulan masyarakat lebih luas 

SIS menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar melaksanakan dasar-dasar mengenai hak kesihatan seksual dan reproduktif yang menyeluruh berasaskan bukti saintifik, demi keselamatan dan kebaikan perempuan di Malaysia. Sokongan daripada pihak yang berkaitan seperti pertubuhan bukan kerajaan juga kritikal untuk memperkasakan masyarakat berhubung isu ini. 

Rozana berkata, “Menerusi usaha yang bersepadu oleh pihak berwajib, ibu bapa, pendidik, penggubal dasar dan masyarakat secara keseluruhannya mesti memulakan perbincangan tentang topik ini. SIS percaya kita boleh memberikan maklumat lengkap tentang hak kesihatan seksual dan reproduktif kepada perempuan dalam semua peringkat usia, termasuklah anak-anak perempuan kita. Mereka ada hak dan patut tahu bila untuk menuntut hak tersebut. Apabila kita memperkasakan seorang perempuan, kita memperkasakan seluruh negara. Walau bagaimanapun, tanggungjawab untuk memperkasakan SRHR tidak seharusnya diletakkan di atas bahu perempuan sahaja, kaum lelaki juga wajib melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan SRHR supaya wujud rasa hormat dan tanggungjawab terhadap diri sendiri, juga kepada kaum perempuan secara keseluruhan. 

Justeru, subjek pendidikan seksualiti komprehensif dengan kandungan dan pengisian yang menyeluruh wajib diperkenalkan dan diterapkan di institusi pendidikan kita. 

Sumber bantuan 

Bagi sesiapa yang sedang menghadapi masalah, isu atau mempunyai apa-apa soalan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif, anda boleh menghubungi talian berikut: Talian Bantuan RRAAM menerusi WhatsApp: +60183687950 (rraamalaysia@gmail.com), Isnin hingga Ahad, 10pg hingga 5ptg atau Talian Bantuan FRHAM: 03-5633 7514, Isnin hingga Jumaat, 8 pg hingga 5 ptg (frham@frham.org.my / tanyalahkami@frham.org). 

Untuk maklumat lanjut tentang hak kesihatan seksual dan reproduktif, sila tonton webinar SIS bertajuk, ‘Sebelum Bergelar Isteri: Apa Perempuan Perlu Tahu?’, di akaun Facebook rasmi Sisters in Islam: https://fb.watch/9NFL0JgirI/

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!