EKSKLUSIF: GERAI CIK NORLIA - DARI GERAI KE PERNIAGAAN ONLINE

Gerai Cik Norlia di Medan Selera di Seksyen 14, Petaling 

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai diri anda dan apakah yang menyebabkan anda mengambil alih perniagaan keluarga?

Nama saya Norziana Binti Ahmad dan berumur 46 tahun. Saya berasal dari Petaling Jaya, Selangor dan mempunyai enam orang cahaya mata. Saya mengambil alih perniagaan keluarga daripada ibu saya, Semelia Binti Mohd Isa selepas dia bersara. Salah satu sebab utama saya mengambil keputusan untuk mengambil alih perniagaan keluarga adalah kerana ia merupakan sumber pendapatan utama saya. Pada masa itu, kami telah pun mempunyai pelanggan setia dan kami melihat perniagaan ini berpotensi besar untuk terus berkembang. Saya juga melihat ini sebagai satu peluang terbaik untuk mendalami dengan lebih lanjut mengenai perniagaan F&B dan menjadikan diri saya sebagai seorang usahawan wanita.

Siapakah yang memulakan perniagaan ini dan bila (tahun)? Boleh anda ceritakan lebih lanjut bagaimana ia bermula?

Perniagaan ini bermula pada tahun 1985 oleh kedua ibu bapa saya dan kebiasaannya saya serta adik beradik yang lain akan membantu. Pada mulanya, kami hanya beroperasi secara kecil-kecilan. Kami membuka sebuah gerai kecil berhampiran Jaya Supermarket atau di kawasan medan selera. Pada tahun 90-an, kami berjaya beroperasi di Medan Selera di Seksyen 14, Petaling Jaya dan sejak itulah kami mula beroperasi di sini.


Apakah hidangan yang terkenal atau yang paling mendapat sambutan pelanggan?

Antara menu yang paling popular termasuk Nasi Lemak, Lontong dan Nasi Campur. Pelanggan setia kami juga peminat hebat Daging Dendeng, Ayam Goreng Berempah, Sambal Sotong Kering, Rendang Daging dan Limpa, Asam Pedas, Tempoyak Ikan Patin dan Daging Salai Masak Lemak Cili Api.

Di manakah kawasan yang sering anda menghantar makanan anda?

Kami sering menghantar makanan kami ke kawasan Petaling Jaya dan juga Kuala Lumpur.

5. Sepanjang pandemik bagaimanakah perniagaan anda terjejas? Adakah permintaan berkurangan dan bagaimana anda dapat mengekalkannya?

Semasa pandemik, pernaigaan kami sangat terjejas. Kami mengalami kerugian besar kerana “dining in” tidak dibernarkan dan para pelanggan terpaksa membungkus makanan ataupun membuat pesanan secara dalam talian. Dengan sekatan ini, para pelanggan terpaksa memilih kaedah yang lebih mudah atau memasak sendiri, di mana ia memberi kesan besar kepada perniagaan kami. Semasa pandemik, waktu operasi turut dihadkan dan ini mengurangkan jumlah pelanggan yang datang.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang saya daripada meneruskan perniagaan. Sebaliknya, saya membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan dan mengekalkan resipi keluarga terutamanya Daging Dendeng. Saya turut mengutamakan kualiti makanan berada di tahap terbaik semasa menghidangkan kepada pelanggan dan mematuhi peraturan ketat berkaitan waktu operasi. Pada masa ini juga saya memutuskan untuk meneroka dan bekerjasama dengan platform penghantaran makanan seperti foodpanda. Ini memudahkan para pelanggan membuat pesanan diaplikasi dan “pick-up” atau memilih delivery.

Sepanjang pandemik, saya kekal positif dan optimis. Berputus asa bukanlah satu pilihan kerana saya mahu meneruskan legasi keluarga. Saya percaya kami mampu bertahan kerana menjadi keutamaan saya untuk kekal jujur dan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan semua pelanggan. Saya juga sentiasa menyapa mereka dengan mesra dan layan mereka dengan baik supaya mereka sentiasa gembira untuk berkunjung ke gerai saya lagi. Akhir sekali, saya juga memastikan bahawa saya adalah pemilik perniagaan yang boleh dipercayai yang melayani pelanggan dengan baik.

Berapa ramaikah pekerja yang anda ada? Dan adakah anda dapat mengekalkan kesemuanya ketika pandemik melanda?

Buat masa ini saya mempunyai 10 orang pekerja. Syukur kerana sepanjang pandemik, saya dapat mengekalkan kesemuanya tanpa perlu ‘melepaskan’ seorang pun. Saya dapat mengekalkan situasi ini dengan beroperasi setiap hari secara dalam talian dan juga melalui penghantaran tunai. Tawaran menarik dan penjimatan hebat menggalakkan para pelanggan membuat belian di gerai kami dan mengulanginya.

Apakah yang menyebabkan anda menyenaraikan restoran anda di foodpanda dan bagaimana keadaannya sejak itu? Apakah faedah yang anda perolehi dengan menyenaraikan di platform penghantaran makanan?

Saya memilih untuk menyenaraikan perniagaan di foodpanda semasa pandemik kerana saya berpandapat kami dapat menjangkau lebih pelanggan dan meningkatkan jualan secara dalam talian. Selain itu, saya juga merasakan dengan menyenaraikan perniagaan di platform penghantaran makanan seperti foodpanda merupakan strategi pemasaran yang efektif kepada para pelanggan dan mereka dapat membiasakan diri dengan tawaran kami. Selepas menyenaraikan perniagaan di foodpanda, saya melihat peningkatan dalam pesanan dan saya dapat menjangkau pelanggan di luar kawasan Petaling Jaya. Justeru saya percaya lebih banyak perniagaan harus memanfaatkan peluang seperti ini yang lebih menguntungkan. Pandemik membuktikan terdapat banyak cara dan platform yang boleh kita gunakan untuk maju ke hadapan dan kita tidak lagi perlu bergantung kepada cara perniagaan tradisional seperti kedai fizikal.

Apakah cabaran yang dihadapi untuk memindahkan perniagaan secara tradisional kepada dalam talian?

Pada mulanya, saya tidak begitu yakin apabila memindahkan perniagaan kami secara dalam talian tetapi saya berkata kepada diri bahawa saya perlu kekal tenang dan positif. Oleh kerana saya tidak biasa menjalankan perniagaan secara dalam talian, saya bermula dengan membuat research tentang perniagaan secara dalam talian. Saya membuat kajian terlebih dahulu mengenai menu, harga dan pembungkusan. Kemudian apabila sudah selesa, saya menyenaraikan perniagaan di foodpanda. Saya juga menyertai semua promosi dan tawaran yang dianjurkan oleh foodpanda bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Satu lagi cabaran yang saya hadapi ialah memastikan kami mempunyai bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dan pesanan para pelanggan yang semakin meningkat. Untuk ini, saya perlu menguruskan bekalan dan permintaan dengan lebih berkesan dan cekap. Setakat ini langkah-langkah ini telah terbukti membuahkan hasil dan menguntungkan kami. Saya tidak sabar untuk meneruskan perjalanan digital ini dengan foodpanda dan teruja untuk melihat apa yang ada untuk kami.

Puan Norziana Binti Ahmad

Adakah anda mempunyai sebarang nasihat atau kata-kata semangat untuk usahawan wanita lain di luar sana?

Sebagai seorang wanita, kebolehan kami sering dipandang rendah tetapi itu adalah cabaran untuk saya memberikan komitmen penuh bagi memastikan perniagaan berjaya. Saya percaya wanita mempunyai kuasa yang luar biasa justeru kita tidak harus cepat berputus asa dan terus berjuang untuk mencapai impian dan matlamat.

Dari perspektif perniagaan dan sebagai usahawan, kita perlu merancang perniagaan untuk jangka pendek dan panjang. Selain itu, kami perlu yakin dan percaya dengan semua keputusan yang telah dibuat. Saya percaya segalanya akan menjadi yang terbaik jika anda bekerja keras dan berusaha. Selebihnya, anda perlu percaya kepada Tuhan dan percaya bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar. Bagi saya, saya sangat percaya dengan pepatah, “Jadilah pemimpin, bukan pengikut” dan saya sentiasa hidup dengan kata-kata semangat ini sehingga hari ini.

Sekarang perniagaan anda dilihat berkembang dengan stabil, adakah anda mempunyai perancangan untuk mengembangkan atau mempelbagaikan perniagaan sedia ada?

Pada masa ini, kami tidak dapat mengembangkan perniagaan kerana pandemik, untuk itu saya telah mengalihkan semua usaha dan perhatian untuk memperkenalkan sajian baharu dalam menu, meningkatkan kualiti makanan, menjaling hubungan rapat dengan para pelanggan dan memastikan kami memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua. Bagaimanapun, kami mempunyai rancangan untuk mengembangkan perniagaan dalam masa terdekat, setelah ekonomi bertambah baik dan kami rasa itulah masa yang sesuai.

Selama ini ramai yang beranggapan wanita tidak ‘dilahirkan’ untuk menjadi seorang usahawan disebabkan kewajipan keluarga. Apakah perasaan anda menjadi seorang wanita yang mengusahakan perniagaan sendiri dan ‘memecahkan’ stereotaip jantina?

Saya sangat tidak bersetuju dengan salah faham tanggapan tersebut kerana hari ini saya adalah seorang usahawan disebabkan oleh keluarga dan saya mampu menyara mereka kerana perniagaan yang kami usahakan bersama ini. Anak-anak saya yang masih bersekolah sentiasa bersedia membantu saya dan suami dalam perniagaan dan ia berjaya kerana sokongan mereka.

Selain itu, kerana makanan adalah keperluan harian, maka permintaan untuk F&B sentiasa ada walaupun di tengah-tengah pandemik. Saya bersyukur kerana saya dapat menukar cabaran pandemik kepada peluang dengan memberi tumpuan kepada perkara yang boleh kita lakukan untuk menambah baik dan menjayakan bisnes kami.

Akhir sekali, saya berasa sangat bangga apabila mengetahui saya merupakan salah seorang wanita yang berjaya memecahkan stereotaip jantina bahawa wanita tidak ‘dilahirkan’ untuk menjadi usahawan. Saya juga bersyukur kerana saya dapat meneruskan legasi ibu saya. Saya juga percaya bahawa tiada siapa yang patut meragui keupayaan seorang wanita.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!