PELAJAR MMU CYBERJAYA UNGGULI PERTANDINGAN HAMADAYA

 

Jenama kicap halal premium Jepun, Hamadaya melancarkan satu pertandingan reka bentuk untuk pelajar-pelajar Fakulti Multimedia Kreatif, MMU dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya. Pertandingan reka bentuk tersebut berlangsung selama 3 minggu dan menarik lebih 50 penyertaan secara keseluruhan.

Pertandingan reka bentuk tersebut yang tamat pada 24 Februari 2022, adalah sebahagian daripada usaha Hamadaya untuk memberikan pelajar-pelajar peluang bukan sahaja bagi mengasah kemahiran mereka yang akan meningkatkan peluang pekerjaan mereka selepas tamat pengajian, tetapi juga untuk terus memupuk minat mereka dalam bidang multimedia kreatif menerusi latihan industri dengan jenama premium Jepun tersebut. Pelajar Tahun Dua Reka Bentuk Pengiklanan, Mona Tamer memenangi tempat pertama, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000. Rekaan beliau akan menghiasi bungkusan produk Hamadaya edisi terhad Aidilfitri 2022.

Pertandingan ini memenuhi objektifnya bagi memberikan pelajar-pelajar peluang untuk melihat reka bentuk mereka pada bungkusan produk dan merasai kehidupan sebagai seorang pereka bentuk, kata Naib Presiden Pemasaran Hamadaya, Lili Ho.

“Menerusi inisiatif ini, kami ingin memupuk bakat-bakat baharu untuk memanfaatkan minat dan bakat mereka bagi menghasilkan reka bentuk bungkusan produk berkualiti unggul yang setaraf dengan piawaian antarabangsa. Daripada perspektif pemasaran, kami percaya jenama-jenama yang berada di pasaran perlu mengambil peluang daripada pemikiran kreatif bakat-bakat muda ini kerana ia bukan sahaja akan menggalakkan kepelbagaian dalam produk yang anda tawarkan, tetapi ia turut menggalakkan mereka untuk lebih sedar tentang bakat mereka sendiri. Perkara ini akan mengukuhkan nilai mereka kelak sebagai seorang individu dalam pasaran kerjaya,” kata Ho.

Reka bentuk Mona mengetengahkan gabungan berharmoni warisan Malaysia dan Jepun dalam kombinasi elemen-elemen tradisional rumah kampung serta motif dan strok Jepun, satu penzahiran kepada penjenamaan Hamadaya untuk penduduk Malaysia. Beliau juga menggabungkan warna kacang soya yang selari dengan warna pilihan Hamadaya daripada Pantone Colour of the Year.

Sebagai kesinambungan kepada inisiatif ini, Hamadaya dan MMU Cyberjaya sedang meneroka satu kerjasama pada masa depan menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU). Ia bermatlamat untuk memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar MMU, meliputi pelaksanaan latihan industri atau penempatan latihan amali eksklusif untuk pelajar-pelajar Multimedia Kreatif MMU di syarikat-syarikat kumpulan Hamadaya. Kerjasama ini bertujuan untuk menghubungkan prinsip-prinsip teori dan praktikal, mengukuhkan keupayaan teras pelajar-pelajar Multimedia Kreatif MMU dengan amalan-amalan praktikal industri dan pada masa sama membangunkan kemahiran bekerjasama dan interpersonal pelajar dengan kemahiran lain yang relevan sebagai mahasiswa jurusan Multimedia Kreatif.

Memetik laporan New Straits Times, wabak Covid-19 mencetuskan ketidakpadanan antara kebolehan-kebolehan yang diperlukan untuk pasaran pekerjaan dan bakat-bakat yang tersedia dalam pasaran. Graduan yang baru menamatkan pengajian berdepan kesukaran untuk memupuk dan mengembangkan kemahiran kreatif dan analitikal mereka untuk mereka bentuk berdasarkan permintaan bidang perniagaan yang berkembang pesat pada masa kini.

Senada dengan perkara ini, Dekan Fakulti Multimedia Kreatif, MMU Cyberjaya, Dr Lim Kok Yoong berkata, “Perkara yang paling utama dalam transformasi pendidikan ialah mengubah pendekatan kita dalam mendidik. Kerjasama antara Hamadaya dan Fakulti Multimedia Kreatif dalam projek dan penempatan latihan amali industri ialah satu aktiviti contoh yang kami mahu galakkan, kerana ia satu kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua pihak: pelajar-pelajar akan mendapat gambaran menyeluruh mengenai proses produksi, bermula daripada kaji selidik dan pembentukan idea sehingga kepada penyelesaian masalah dan aplikasi dalam dunia sebenar. Bagi pihak industri, mereka berpeluang bekerjasama dengan dunia akademik untuk melaksanakan projek-projek baharu dan mendapat akses kepada bakat-bakat yang berkemahiran. Saya berharap kita akan dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti-aktiviti yang dipacu oleh pihak industri untuk melengkapkan pelajar-pelajar kami dengan kemahiran-kemahiran yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam karier mereka.”

Sementara itu, acara penyampaian hadiah berlangsung di MMU Cyberjaya dengan dihadiri oleh Naib Presiden Pemasaran Hamadaya, Lili Ho, dan Dekan Fakulti Multimedia Kreatif MMU Cyberjaya, Dr Lim Kok Yoong.

Untuk maklumat lanjut tentang Hamadaya, sila kunjungi laman webnya di hamadayasauces.com atau laman media sosialnya di Instagram dan Facebook.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA