APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 70% kematian di seluruh dunia pada hari ini adalah disebabkan oleh Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Ini termasuklah penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit pernafasan dan diabetes; yang disebabkan oleh diet dan gaya hidup yang tidak sihat. Sehubungan itu, sempena Hari Kesihatan Sedunia, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway ingin menyokong kempen #HealthierTomorrow dengan membantu orang ramai belajar membuat pilihan makanan yang lebih baik.
“Saban hari, kita
pastinya inginkan makanan yang mudah dan cepat untuk disediakan, sekaligus
membuatkan kita kerap mengambil makanan yang diproses berlebihan. Makanan diproses
berlebihan biasanya mengandungi bahan-bahan yang tidak akan ditambah apabila kita
memasak sendiri seperti pewarna, pengawet, pemanis, penstabil dan pengemulsi.
Makanan diproses berlebihan boleh menjadi lebih murah, mudah dan sedap,” kata
Dr Teoh Wei Leng, Pakar Perunding Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway,
Bandar Sunway.
Disebabkan
rasanya yang enak dan faktor menjimatkan kos, kebanyakan orang mengambil
makanan ini tanpa memberi perhatian serius terhadap kesan buruk kepada
kesihatan mereka selepas itu.
Jenis makanan yang diproses dan potensi risiko kepada
kesihatan
Secara umumnya
terdapat 4 jenis kumpulan makanan berdasarkan cara ia diproses.
Kaedah Diproses |
Contoh makanan |
Tidak diproses
atau diproses secara minimum |
Buah, bijian,
batang, akar, daun, telur, daging, susu, organ dalaman, cendawan, alga dan
bijirin |
Bahan masakan
yang diproses |
Gula, garam,
mentega, minyak, cuka |
Makanan yang
telah diproses |
Makanan yang
diperam, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam tin, kacang masin, daging, keju
yang diproses dan roti yang baru dibuat yang tidak dibungkus |
Makanan dan
minuman yang diproses berlebihan |
Aiskrim,
sosej, kerepek, roti yang dihasilkan secara besar-besaran, bijirin sarapan
pagi, minuman berkarbonat, yogurt/minuman berperisa buah-buahan, sup segera
dan beberapa minuman beralkohol seperti wiski, gin dan rum. |
Makanan yang
diproses pada asasnya dibuat dengan hanya menambah gula, minyak, garam atau
bahan lain. Makanan diproses berlebihan sebaliknya merupakan makanan yang
mengandungi banyak bahan tambahan seperti lemak tepu, gula dan garam tambahan,
perasa, pengawet, agen pemekat atau penstabil, dan sebagainya. Pemprosesan
makanan bagi makanan yang diproses berlebihan juga mungkin melibatkan pemanasan
pada suhu tinggi yang boleh mungkin menjejaskan struktur makanan itu sendiri.
“Setiap kumpulan
makanan yang diproses mempunyai tujuan tersendiri dan tidak semua makanan yang
diproses adalah tidak sihat. Selagi nilai pemakanan dalam makanan tidak
berubah, tidak mengapa untuk dimakan. Walau bagaimanapun, makanan diproses
berlebihan secara amnya mengandungi gula, garam dan lemak yang diproses pada
kadar lebih tinggi, justeru secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap
insulin dan membuatkan kita makan dengan lebih banyak, sekaligus menyebabkan ia
diambil secara berlebihan,” jelas Celeste Lau, Pengurus Kanan Dietetik di Pusat
Perubatan Sunway, Bandar Sunway.
Tambah Dr Teoh,
pengambilan makanan dan minuman yang diproses berlebihan dengan kerap boleh
menyebabkan obesiti. Obesiti boleh menyebabkan gangguan sindrom metabolik
seperti obesiti perut, diabetes, darah tinggi, tahap trigliserida yang tinggi,
dan tahap kolesterol HDL yang rendah. Keadaan kesihatan sebegini boleh meningkatkan
risiko penyakit jantung dan strok.
“Pemerhatian ini
telah disahkan dalam pelbagai kajian, yang menunjukkan bahawa orang yang banyak
mengambil makanan diproses berlebihan mempunyai kadar obesiti yang lebih
tinggi, kualiti pemakanan yang lebih buruk dalam diet mereka, pengambilan
natrium dan gula yang lebih tinggi, serta pengambilan serat, bijirin penuh,
buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih rendah. Hal ini boleh meningkatkan
risiko untuk menghidap diabetes jenis 2," terang Dr Teoh.
Buku panduan
yang diperkenalkan oleh Sunway Healthcare Group iaitu “Know
Diabetes” juga mengesyorkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan
sayur-sayuran yang kaya serat dan mengehadkan gula tambahan dalam diet
seseorang boleh membantu mengawal diabetes.
Obesiti, diabetes dan peningkatan risiko penyakit
jantung
Dr Patrick Tiau,
Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway turut
berkongsi bahawa pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti
turut berdepan dengan risiko menghidap penyakit kardiovaskular lain yang boleh
mempercepatkan proses pengumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain dalam dinding
arteri.
"Apabila
bercakap mengenai diabetes, penghidap diabetes lebih cenderung untuk menghidap
penyakit kardiovaskular berbanding yang lain kerana diabetes mellitus, atau kadar gula dalam darah yang tinggi boleh
menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke jantung, menyebabkan
jantung kekurangan oksigen dan bekalan darah," kata Dr Patrick.
“Apabila jantung
anda tidak dapat mengepam darah dengan baik, ia boleh menyebabkan keletihan,
kesukaran bernafas dan kaki bengkak. Kegagalan jantung cenderung menjadi lebih
teruk dari masa ke masa, tetapi diagnosis dan rawatan awal boleh memperbaiki
gejala dan melambatkan perkembangan penyakit. Memandangkan pesakit diabetes
berisiko mengalami masalah kegagalan jantung, maka pencegahan awal menjadi
matlamat terapeutik yang penting dalam pengurusan diabetes.”
Dr Patrick mencadangkan agar individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti harus bersenam secara teratur dan makan makanan yang sihat dan seimbang. Adalah lebih baik jika mereka mendapatkan nasihat daripada doktor bertauliah mengenai pelan diet dan senaman yang paling sesuai berdasarkan status kesihatan semasa mereka.
Adakah makanan dan minuman yang diproses berlebihan berkait
dengan kanser kolorektal?
Beberapa kajian
berskala besar baru-baru ini mendapati bahawa peningkatan 10% dalam pengambilan
makanan dan minuman diproses berlebihan dikaitkan
dengan peningkatan risiko mendapat kanser kolorektal sebanyak lebih 10%.
Makanan dengan
kandungan serat yang tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran menawarkan
perlindungan terhadap kanser kolorektal, manakala pengambilan makanan
bernutrien rendah ini, ditambah dengan campuran bahan tambahan dan bahan lain
yang mungkin bersifat karsinogenik dalam makanan diproses berlebihan biasanya mempunyai kualiti pemakanan
yang lebih rendah. Sesetengah bahan berbahaya ini kadangkala terdapat dalam
pembungkusan itu sendiri apabila ia bersentuhan langsung dengan makanan semasa
pengeluaran, pemprosesan dan penyimpanan.
Dr Aqilah
Othman, Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway
menjelaskan, “Walaupun makanan dan minuman yang diproses berlebihan tidak diklasifikasikan sebagai
karsinogenik secara umum, ia tetap mengandungi komponen tertentu yang mungkin
berbahaya. Sebagai contoh, daging yang diproses telah diklasifikasikan sebagai
karsinogenik oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC). Apabila
dimakan, nitrit boleh ditukar kepada bahan kimia yang menyebabkan kanser,
contohnya sebatian N-nitroso atau NOC. Karagenan dan carboxymethylcellulose
(CMC) iaitu agen pemekat yang biasa digunakan telah dikaitkan dengan keradangan
usus yang kesannya boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal.
Pertukaran makanan sihat yang boleh anda lakukan untuk
keluarga anda
Tabiat gaya
hidup sebaiknya ditanam sejak awal lagi, dan ibu bapa merupakan contoh terbaik
dalam keluarga mereka, ujar Dr Aqilah.
“Kanak-kanak
mencontohi mereka yang paling rapat dan membentuk tingkahlaku dan tabiat
sepanjang hayat melalui pemerhatian dan aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, ibu bapa perlu proaktif dalam mengurangkan risiko kanser
seperti kanser kolorektal, contohnya dengan tidak merokok, makan makanan yang
kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh, mengurangkan pengambilan
alkohol dan daging merah, mengekalkan berat badan yang sihat, bersenam secara
teratur dan melakukan ujian saringan kanser usus apabila tiba masanya. Ini
boleh dilakukan dengan penyertaan seluruh ahli keluarga, misalnya melibatkan
anak-anak dalam proses pemilihan makanan semasa membeli-belah, penyediaan
makanan untuk hidangan keluarga dan merancang masa untuk aktiviti fizikal yang
menyeronokkan,” tambahnya.
Dengan menyediakan
pilihan makanan yang lebih sihat di rumah, ibu bapa dan setiap indvidu boleh memastikan
mereka dapat membuat pilihan makanan yang lebih baik untuk diri mereka dan ahli
keluarga. Contohnya, menggantikan biskut dengan roti yang baru dibakar dan keju,
jus oren yang manis dengan buah itu sendiri dan makanan segera dengan makanan
yang telah dimasak sendiri sendiri dalam kuantiti yang banyak dan dibekukan
untuk hari-hari yang sibuk.
Pada Hari
Kesihatan Sedunia ini, utamakan kesihatan anda dengan melakukan saringan
kesihatan secara berkala. Pemeriksaan awal boleh mententeramkan fikiran anda dalam
memastikan kesihatan anda terjaga. Bagi individu yang ingin menilai risiko
kesihatan kendiri, mereka juga boleh melakukan pemeriksaan maya secara ringkas
menerusi fungsi pemeriksa simptom Pusat Perubatan Sunway di: https://symptom.sunwaymedical.com/.
Feature photo by: Dessert table photo created by wayhomestudio - www.freepik.com
Comments
Post a Comment