RTM SIAR PROGRAM KHAS KAAMATAN DAN HARI GAWAI
Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai disambut pada 30 dan 31 Mei oleh masyarakat Kadazandusun sebagai meraikan tuaian yang baik dan turut disambut kaum-kaum lain di Sabah. Manakala Hari Gawai pula disambut masyarakat keturunan Dayak daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Kenyah sebagai tanda berakhirnya musim menuai yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.
Kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai diraikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama-sama program khas yang diaturkan tiga hari berturut-turut mulai 30 Mei ini hingga 1 Jun 2022 menerusi saluran TV1.
Justeru saban tahun RTM menyiarkan program khas dan tahun ini diisi dengan program khas Kaamatan bermula dengan program “Menguyas Norutip” pada 30 Mei ini, pukul 12.05 tengah hari. Program terbitan RTM Sabah mengisahkan seorang wartawan, Jovenea menyertai Pesta Kaamatan di perkampungan masyarakat suku Etnik Dusun Tobilung.
Esoknya, 31 Mei, pukul 12.05 tengah hari disiarkan program “Nung Humozou Zikoi”, juga rancangan hiburan RTM Sabah yang membawa maksud ‘Apabila Kita Menyanyi’ yang mengetengahkan tiga orang jelitawan Unduk Ngadau tahun 2017, 2018, dan 2019 bukan sahaja memiliki rupa yang cantik tetapi sangat berbakat dalam bidang nyanyian.
Mereka adalah Keewon, Leticia dan Kerinah yang berkongsi kisah diri serta kehidupan sebelum dan selepas bergelar Unduk Ngadau dan juga bagaimana mereka mula menyanyi. Program ini turut disiarkan hari sama pukul 9.00 malam di TV Okey.
Pada 1 Jun depan, pukul 12.05 tengah hari pula menemui penonton program khas meraikan Hari Gawai dengan tayangan “Gawai Burung Bujang Berani”. Ikuti kisah lelaki bernama Bujang yang mengadakan Pesta Gawai Burung bagi meraikan mimpinya yang melihat Raja Senggalang Burong (seorang Pahlawan Iban) turun ke bumi. Program ini terbitan RTM Sarawak.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
Comments
Post a Comment