ADAKAH ANAK SAYA TERLALU PENDEK? FAKTOR-FAKTOR TUMBESARAN ANAK-ANAK YANG IBU BAPA HARUS KETAHUI


Tiada ibu bapa yang mahu mengesyaki bahawa anak mereka mengalami masalah perubatan atau gangguan kesihatan. Namun begitu, menyedari tanda-tanda awal akan membawakan perbezaan antara rawatan optimum berbanding dengan keadaan di mana mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu anak mereka.

Situasi ini benar terutamanya berkenaan dengan ketinggian yang tidak mencukupi atau terbantut.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, satu daripada lima (21.8%) kanak kanak di Malaysia yang berumur lima tahun ke bawah termasuk dalam golongan yang terbantut tumbesarannya, dan ia merupakan kondisi yang menjadi semakin ketara.

Memandangkan ketinggian mempunyai ukuran yang berbeza-beza dalam sesebuah populasi, maka ia agak sukar untuk ibu bapa mengenal pasti sama ada anak mereka adalah pendek secara semula jadi atau mengalami masalah tumbesaran.

Dalam hal ini, terdapat tiga perkara yang ibu bapa boleh perhatikan apabila mengawasi dan memantau tumbesaran anak mereka.

Yang pertama ialah jangkaan ketinggian anak berdasarkan jantina dan umur mereka.

Ini boleh diukur dengan carta tumbesaran piawai yang boleh didapati dalam bentuk persentil atau sisihan piawai.

Jika ketinggian anak anda berada di bawah persentil ketiga bagi umur atau lebih daripada dua sisihan piawai di bawah norma carta tumbesaran yang sepatutnya, maka mereka boleh dianggap sebagai pendek.

Carta tumbesaran ini boleh didapati dalam talian (online) daripada organisasi bereputasi seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), serta doktor pediatrik anak anda. Carta ini juga boleh didapati daripada laporan sekolah anak anda pada masa permulaan sekolah rendah.

Faktor kedua ialah potensi ketinggian genetik.

Ketinggian anak anda bergantung pada gen yang diwarisi daripada anda dan pasangan anda.

Oleh itu, jika anda dan pasangan anda adalah pendek, ketinggian anak anda mungkin juga adalah pendek.

Namun begitu, jika anda berdua adalah tinggi manakala anak anda pula pendek, maka ia mungkin satu petanda terdapat sesuatu yang menghalang anak anda daripada mencapai potensi penuh ketinggian mereka.

Yang ketiga ialah kepantasan tumbesaran anak anda, iaitu berapa pantas anak anda membesar.

Jika anak anda membesar pada kadar biasa kemudian tumbesarannya menjadi perlahan, ini adalah satu kebimbangan. Keadaan ini boleh diperhatikan dengan menjejak tumbesaran mereka pada carta tumbesaran berdasarkan jantina dan umur yang bersesuaian.

Tumbesaran anak anda sepatutnya dalam kadar yang stabil; iaitu lebih kurang dalam persentil atau sisihan piawai yang sama sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja.

Tumbesaran yang menuju ke persentil lebih rendah merupakan satu petanda kadar tumbesaran menjadi semakin perlahan dan perlu disiasat.

Faktor dan Jenis-Jenis Tumbesaran Terbantut

Terdapat banyak sebab mengapa kanak-kanak tidak meninggi, tetapi ia boleh dikelaskan dalam tiga kategori.

Yang pertama dan yang paling biasa dijumpai ialah varian normal bertubuh pendek. Mereka yang tergolong dalam kategori ini kebanyakannya adalah pendek secara semula jadi.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh potensi genetik mereka iaitu ibu bapa mereka adalah pendek, atau atas sebab yang tidak diketahui (idiopati). Kanak-kanak dalam kelas ini selalunya sihat, tetapi cuma lebih pendek berbanding kanak-kanak yang lain.

Mereka yang “kembang lewat” atau “lewat matang” juga termasuk dalam kelas varian normal bertubuh pendek ini. Dikenali sebagai gangguan konstitusi (constitutional delay) dalam tumbesaran dan baligh, anak-kanak dalam kumpulan ini lazimnya membesar dengan stabil tetapi perlahan (selalunya bawah persentil ketiga menurut carta tumbesaran). Mereka mencapai baligh lebih lewat berbanding rakan sebaya mereka yang lain. Walaubagaimanapun, mereka akan terus membesar walaupun selepas rakan sebaya mereka yang lain telah melengkapkan tumbesaran mereka. Jadi, mereka akan dapat mengejar ketinggian rakan sebaya mereka.

Kategori kedua terdiri daripada bertubuh pendek intrinsik iaitu dilahirkan dengan punca tubuh anda pendek.

Sebab lazim keadaan ini berlaku ialah gangguan sindrom yang selalunya merupakan hasil ketaknormalan genetik atau kromosom. Dalam hal sebegini, bertubuh pendek merupakan salah satu daripada gejala yang terjadi akibat daripada gangguan utama.

Contoh gangguan tersebut termasuk sindrom Turner, sindrom Down, sindrom Prader-Willi, sindrom Noonan dan akondroplasia.

Jangkitan intrauterus, iaitu keadaan apabila ibu mendapat jangkitan semasa mengandung yang menjejaskan janin, juga boleh menyebabkan bayi menjadi kecil. Jangkitan tersebut selalunya boleh dikenal pasti dan didiagnosis semasa lahir, membolehkan bayi mendapatkan rawatan yang sesuai.

Bayi yang dianggap kecil untuk usia gestasi mereka juga termasuk dalam kategori ini.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh faktor yang melibatkan ibu (contohnya menghidapi penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik), bayi (contohnya kembar atau memiliki kecacatan lahir) atau plasenta (contohnya aliran darah berkurangan ke plasenta, previa plasenta atau gangguan plasenta).

Walaupun kebanyakan kanak-kanak dalam kelas ini cenderung dapat mengejar tumbesaran selepas lahir, sekitar 15% tidak dapat mengejar tumbesaran mereka dan akan kekal kecil sepanjang hidup jika tidak didiagnosis dan dirawat lebih awal.

Kategori terakhir merangkumi sebab bertubuh pendek dari punca-punca sekunder (secondary).

Terdapat beberapa sebab dalam kategori ini, tetapi sebab yang paling biasa di Malaysia ialah kekurangan nutrisi termasuk malnutrisi protein-kalori, kekurangan zat besi dan vitamin D.

Kekurangan vitamin D biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak memandangkan ramai kanak kanak kini cenderung menghabiskan masa di dalam rumah dan kurang terdedah pada cahaya matahari.

Cahaya ultra ungu B (UVB) daripada matahari adalah komponen penting dalam penghasilan vitamin D di badan kita. Vitamin D pula penting bagi penyerapan kalsium untuk membina dan mengekalkan tulang. Apabila berlaku kekurangan vitamin D, maka tulang akan menjadi lembut dan lemah terutamanya di anggota bawah yang menanggung berat badan, justeru mengakibatkan masalah tubuh pendek..

Sebab-sebab sekunder yang lain bagi tubuh pendek termasuk gangguan sistemik seperti masalah usus, penyakit jantung atau sistem imun yang lemah, dan juga kekurangan hormon seperti kekurangan hormon tumbesaran.

Bertindak pantas

Sekiranya ibu bapa mempunyai sebarang keraguan tentang tumbesaran anak mereka, ia adalah penting untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor yang berkaitan – sama ada pakar endokrinologi pediatrik atau doktor pediatrik am.

Jangan tunggu dan berharap anak anda akan dapat kejar ketinggiannya nanti. Diagnosis yang lewat akan memendekkan tempoh masa untuk pemulihan kerana tulang akan matang sejajar dengan masa. Apabila tulang telah matang sepenuhnya, tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu anak-anak menjadi lebih tinggi. Selain itu, jika anak anda mempunyai masalah perubatan yang menghalang tumbesaran mereka, kelewatan diagnosis dan rawatan mungkin akan menjejaskan kualiti hidup mereka dan kemunculan komplikasi yang berkaitan.

Oleh itu, jika anda memerhati bahawa anak anda tidak membesar dengan sepatutnya, dapatkan bantuan daripada pakar perubatan dengan segera. Jangan berlengah. Anda mungkin dapat mengubah masa hadapan anak anda.

Mengukur tumbesaran anak anda adalah sangat penting maka ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memantau ketinggian anak mereka. Alat digital yang mudah digunakan seperti aplikasi mudah alih Growth JourneyTM yang diperakui oleh Persatuan Pediatrik Malaysia boleh membantu ibu bapa merekodkan tumbesaran anak mereka dan mendapatkan ukuran bersiri untuk memastikan tumbesaran mereka berada di landasan yang betul.



Oleh Dr Wu Loo Ling 
Perunding kanan pediatrik dan endokrinologi pediatrik 
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC









Feature photo by: Little kids photo created by jcomp - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING