SYAZWAN SHUHAIMI KEMBALI DENGAN BALADA MERUNTUN JIWA - 'CINTA TAK MENGERTI'


Penyanyi lelaki bersuara lunak dan pelantun lagu ‘Sang Purnama’, Syazwan Shuhaimi akhirnya kembali dengan single keduanya berjudul ‘Cinta Tak Mengerti’ setelah hampir setahun tidak hadir dengan mana-mana single. Single baharu ini adalah ciptaan komposer terkenal dari seberang iaitu Agie Prakasya, yang merupakan pencipta lagu paling tular se-nusantara iaitu ‘Belum Siap Kehilangan’, manakala terbitan oleh label hiburan paling sensasi, Rocketfuel Entertainment.

“Setelah hampir setahun tidak muncul dengan lagu baharu, kini saya kembali membawa buah tangan terbaharu buat penggemar muzik tempatan. Mungkin ramai tertanya ke mana saya pergi, saya masih lagi aktif menyanyi dengan memenuhi jemputan program yang diatur oleh pihak pengurusan dan masih mempromosikan lagu Sang Purnama kerana penerimaannya yang positif.

“Secara jujurnya saya tidak mahu tergesa-gesa untuk mengeluarkan lagu baharu kerana bukan mudah untuk mencari material lagu yang sesuai dengan jiwa saya memandangkan saya masih belum menulis lagu sendiri,” kata Syazwan.

Lagu Cinta Tak Mengerti terhasil atas nasihat Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, yang menentukan ke mana arah tujunya muzik Syazwan, serta Pak Azad, abang iparnya sendiri.

“Ketika itu, Pak Azad ada menghantar DM (direct message) kepada Agie Prakasya, pencipta lagu Belum Siap Kehilangan yang tular ketika itu, dan dalam banyak-banyak demo yang diberikan, hanya satu lagu yang melekat di ingatan saya iaitu Cinta Tak Mengerti.

“Lagu ini adalah adaptasi dari kisah peribadi penulis lagu sendiri yang menceritakan tentang cintanya yang tidak kesampaian, dia menaruh harapan yang tinggi terhadap seorang wanita tetapi wanita tersebut hanya menganggapnya sebagai sahabat baik sahaja sehingga di-friendzone,” tambah Syazwan lagi.

Menariknya tentang proses rakaman single ini yang hanya memakan masa selama 2 jam di studio rakaman Astro, ia dilakukan secara atas talian tanpa pertembungan fizikal di antara penyanyi dan juga pencipta, jelas Syazwan, “Setelah menerima demo lagu ini, Agie dan Aldi Nada Permana, kami terlebih dahulu mengadakan sesi bengkel secara online sebanyak 3 kali bagi mengenali latar belakang lagu, mengadakan latihan vokal serta cara mendalami maksud lagu ini. Ini juga merupakan pengalaman pertama bagi saya sebelum proses rakaman dilakukan.

“Bayangkanlah sesi rakaman juga turut berlaku secara online, walaupun agak sukar pada mulanya dengan penggunaan bahasa yang agak berbeza, lama-kelamaan proses tersebut beransur baik.

Di usia menjengah 36 tahun, Syazwan mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu, katanya, “Setiap penyanyi seperti saya inginkan variasi dalam repertoir, jadi sebab itu saya ingin pelbagaikan mood dan tempo dalam katalog lagu-lagu saya.

“Muzik yang saya bawakan mencerminkan keperibadian saya, tidak terlalu ringan dan tidak juga terlalu berat untuk diterima ramai. Ia perlu kedengaran ‘matang’ sesuai dengan usia saya sekarang, jadi saya juga cuba untuk mengetengahkan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang puitis dan boleh diterima ramai pendengar.

Selain single, video muzik (MV) Cinta Tak Mengerti turut menyajikan jalan cerita yang menarik, sebagaimana lagunya, MV ini adalah refleksi kepada lirik lagu itu sendiri yang menceritakan tentang kisah cinta yang tidak kesampaian dengan konsep yang agak melodramatik.

“Saya sangat takjub bagaimana muzik mampu menghubungkan manusia, walau saling tidak mengenali, kita boleh berbicara melalui lagu dan melayani perasaan menerusi lagu-lagu yang kita nyanyikan.

“Namun begitu, bukan mudah untuk kekal relevan dan membuat orang sedar akan kehadiran kita, dengan kepantasan teknologi digital dan pelbagai platform di sosial media, seseorang artis itu mudah tenggelam dengan pelbagai konten lain yang mempunyai sifat tular yang sangat tinggi,” luah Syazwan.

Encik Erick Yew, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Syazwan adalah seorang penyanyi yang sangat berdedikasi dalam setiap penghasilan yang diusahakannya. Dia tidak kisah mengambil masa yang lama untuk menyempurnakan sesebuah karya kerana apa yang penting adalah mutu dan kualiti dalam setiap lagu yang dihasilkannya.

“Dengan sentuhan tenaga pakar dari seberang, saya percaya lagu ini dapat diterima oleh pendengar tempatan dan mungkin menjadi siulan tidak lama lagi.

Akhiri Syazwan: “Harapan saya supaya lagu ini dapat didengari oleh sejauh dan seramai pendengar yang boleh, semoga lagu ini juga berada dekat di hati ramai pendengar sekaligus dapat memperkenalkan siapa Syazwan Shuhaimi yang sebenarnya.


Lagu ‘Cinta Tak Mengerti’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KULIT LEBIH CERAH DAN LEBIH DILINDUNGI DENGAN PELINDUNG MATAHARI SAFI PERFECT WHITE 3X ADVANCE BRIGHTENING SPF 50+ PA ++++ YANG BAHARU