AKADEMI KEYAKINAN LAURIER BANTU PELAJAR PEREMPUAN KEJAR CITA-CITA DI PERINGKAT PENDIDIKAN TINGGI


Menekankan bahawa keyakinan merupakan faktor penting dalam pembangunan dan kejayaan wanita, KAO Laurier Malaysia telah melengkapkan Fasa Satu siri memperkasakan wanita iaitu Laurier School of Confidence (Akademi Keyakinan Laurier) yang melibatkan 65 sekolah di kawasan tengah ini. Di majlis anugerah yang menandakan tamatnya Fasa Satu, KAO Laurier Malaysia telah memberi ganjaran berjumlah RM12,000 kepada lapan ‘graduan’ Akademi Keyakinan Laurier, untuk mula membina dana pendidikan Simpan SSPN Prime dalam kegigihan mereka mencapai cita-cita melanjutkan pengajian ke menara gading.

Berpandukan falsafah Kirei yang dipegang KAO untuk menjadikan hidup lebih indah, Akademi Keyakinan Laurier memberi peluang kepada peserta untuk meneroka potensi masa depan mereka jika mereka berusaha dengan penuh yakin. Siri ini mengandungi lima topik semasa yang disampaikan oleh enam wanita-wanita muda penuh inspirasi yang telah menempuh segala cabaran untuk mencapai cita-cita masing-masing, termasuk menangani masalah buli dalam talian dan meningkatkan keyakinan terhadap badan sendiri, menggalakkan perbincangan tentang kebersihan haid, mengejar dan mencapai impian, menyesuaikan kemahiran untuk bidang keusahawanan, di samping meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM).

“KAO Laurier Malaysia menyedari kepentingan meningkatkan penglibatan wanita dan gadis daripada pelbagai latar belakang, dan menggalakkan mereka meneroka potensi masing-masing yang tidak terbatas. Kami berharap Akademi Keyakinan Laurier dapat menyediakan wadah untuk anak-anak gadis meningkatkan keyakinan diri mereka dan memupuk amalan menimba ilmu dalam pelbagai bidang, tanpa sempadan, di samping belajar daripada insan yang memberi inspirasi kepada mereka,” kata Presiden KAO (Malaysia), Itou Hirofumi.

Dengan matlamat untuk meningkatkan keyakinan gadis-gadis di seluruh Malaysia, Fasa Satu siri pemerkasaan wanita ini telah disertai oleh 600 pelajar. Siri ini turut merangkumi unsur penglibatan yang memerlukan pelajar menjawab soalan di penghujung setiap modul. Lapan gadis cemerlang telah menambat hati KAO Laurier Malaysia dengan kisah cabaran peribadi mereka untuk membina keyakinan diri, menyemai sikap positif terhadap badan mereka, mengatasi masalah pertuturan dan menceritakan bagaimana siri ini memberikan sinar harapan kepada mereka terhadap masa depan. Mereka telah dipilih sebagai para pemenang untuk kawasan tengah.

Para pelajar, ibu bapa dan guru-guru telah berkumpul untuk meraikan barisan pemenang Akademi Keyakinan Laurier (Kawasan Tengah) di majlis anugerah. Presiden KAO Malaysia, Itou Hirofumi dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, menyampaikan sijil kecemerlangan kepada setiap pemenang dan RM1,500 dalam bentuk akaun simpanan Simpan SSPN Prime.

Akademi Keyakinan Laurier ialah usaha sama antara KAO Laurier Malaysia dan PTPTN sebagai satu langkah untuk menaik taraf kehidupan wanita muda sambil mereka menangani segala cabaran hidup pada masa kini dan masa depan. Sebagai bukti kejayaan siri ini, seorang peserta berkata, “Akademi Keyakinan Laurier telah membantu saya berubah ke arah yang lebih baik. Saya kini ada keyakinan untuk tampil dan menyampaikan pembentangan di hadapan kelas dan menyuarakan pandangan saya.”

Semasa berucap di majlis anugerah tersebut, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid menyuarakan harapannya untuk para peserta muda ini, “PTPTN berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam inisiatif yang menaik taraf dan memperkasakan gadis-gadis muda di Malaysia. Kunci kejayaan membina keyakinan diri ialah mengambil langkah pertama, dan inilah idea di sebalik siri tersebut, yang bakal menjadi batu loncatan bagi anak-anak gadis ini demi masa depan mereka. Pendidikan ialah kunci untuk membuka pintu potensi masing-masing dan kami amat gembira kerana KAO Laurier telah menghadiahkan akaun simpanan sebagai ganjaran kepada para pemenang muda untuk mula membina dana pendidikan tinggi mereka.”

Sarah Alesya Hani binti Mohd Fazli, 14 tahun, dan Nur Sabrina Auji binti Mohd Zamri, 16 tahun, berkongsi pandangan tentang keyakinan dalam kalangan gadis muda dan pesanan yang patut diberikan kepada rakan-rakan mereka yang masih berdepan dengan masalah membina keyakinan diri.

“Barisan pembicara yang menginspirasi dalam Akademi Keyakinan Laurier telah menanam satu semangat baru untuk saya menjadi seorang insan yang lebih baik sambil mengekalkan identiti diri,” kongsi Sarah. Dengan harapan agar rakan-rakan sebayanya juga terinspirasi dan membina keyakinan diri, Sarah berkata, “Jangan takut dengan persepsi orang sekeliling tentang diri kita. Sebagai masa depan ekonomi negara, kita seharusnya lebih fokus untuk menggilap dan menyerlahkan bakat kepada dunia, untuk membuktikan kaum wanita juga boleh memimpin.”

“Keyakinan bagi saya ialah kebolehan untuk menghadapi cabaran dengan kebolehan unik diri sendiri. Itu juga merupakan mesej utama yang saya peroleh melalui kelima-lima modul Akademi Keyakinan Laurier,” kata Sabrina. “Saya terutamanya amat terinspirasi oleh Nalisa Alia Amin kerana beliau merupakan seorang penggiat sikap positif terhadap badan dan merupakan seorang yang sentiasa berusaha untuk menambah baik diri. Saya percaya kepercayaan serta keyakinan terhadap diri adalah antara ciri-ciri yang perlu ada untuk berjaya dalam hidup,” kongsi Sabrina, meluahkan kekagumannya terhadap Nalisa Alia Amin, salah seorang pembicara di Akademi Keyakinan Laurier.

Sedang program pendidikan kebersihan haid ESG KAO Laurier Malaysia berlangsung di 290 sekolah rendah dan menengah di kawasan tengah, siri Akademi Keyakinan Laurier memberi tumpuan kepada 65 sekolah menengah dalam tempoh dua bulan lepas. Siri ini bertujuan memberi inspirasi kepada gadis-gadis remaja untuk terus berusaha gigih dan berkembang maju menjadi wanita generasi akan datang yang yakin, perkasa dan maklum, yang berjaya dalam bidang yang diceburi dan memainkan peranan aktif dalam usaha membina masyarakat dan negara. Berikutan kejayaan Fasa Satu, Akademi Keyakinan Laurier akan terus memberi inspirasi dan motivasi kepada lebih 168,999 gadis remaja di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia sehingga Jun 2023.

Menerusi program ESG jangka panjangnya, KAO Laurier Malaysia telah menjadi teman setia anak-anak gadis Malaysia selama 27 tahun, iaitu sejak 1994, dengan usaha untuk menyokong dan mendidik mereka tentang penjagaan kebersihan wanita. Setakat ini, KAO Laurier Malaysia telah melibatkan penyertaan lebih dua juta pelajar, dari lebih 8,000 sekolah menerusi program ini.

Untuk maklumat lanjut tentang KAO Laurier Malaysia, ikuti @KaoLaurier di Facebook dan @lauriermy di Instagram.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

MULAKAN PAGI ANDA DENGAN PENUH BERTENAGA: ACARA IKONIK MILO® MALAYSIA BREAKFAST DAY KEMBALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 MILO® DI MALAYSIA