WARGA EMAS DIGALAKKAN UNTUK MENERAPKAN 'MENCEGAH INFLUENZA PADA USIA MENJANGKAU 65 TAHUN' SEBAGAI AMALAN PENUAAN YANG SIHAT


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 baru-baru ini, program Immunise4Life (IFL) telah melancarkan kempen 'Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun' dengan seruan lantang, "Pencegahan Influenza, Akan Ku Laksanakan".

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Yang Berhormat Dato' Dr Haji Noor Azmi Bin Ghazali. Beliau membentangkan ‘7 Amalan Kunci untuk Penuaan yang Bahagia & Sihat’ yang mana pencegahan flu (influenza) turut tersenarai sebagai salah satu tabiat gaya hidup yang disyorkan untuk warga emas, bagi membantu mengekalkan kesihatan, kebolehan mereka untuk berdikari serta kualiti hidup mereka.

Bak kata orang, umur hanyalah nombor. Oleh itu, warga emas haruslah beraspirasi untuk menjalani kehidupan yang panjang dan memuaskan dengan melakukan perkara-perkara yang diminati, menyumbang kepada komuniti, dan menikmati masa bersama keluarga serta rakan-rakan. Walau bagaimanapun, semua itu hanya boleh tercapai jika seseorang menjaga kesihatan.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr Haji Noor Azmi menekankan kepentingan mengamalkan pemakanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal secara kerap, mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, mempelajari kemahiran-kemahiran baharu, dan bergaul dengan orang tersayang dan rakan-rakan.

Selain itu, beliau menggesa warga emas untuk mencegah influenza dengan mendapatkan vaksin terhadap penyakit tersebut setiap tahun. Memetik pernyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, beliau berkata bahawa vaksinasi influenza ialah salah satu cara terbaik untuk mengurangkan risiko penyakit teruk, penghospitalan dan kematian. Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP mengikut kesesuaian seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap dan menjauhi mereka yang menunjukkan simptom-simptom penyakit pernafasan.

Influenza ialah sejenis penyakit pernafasan yang boleh menyerang orang tua dengan teruk dan secara tiba-tiba. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS), sehingga 70% penghospitalan dan sehingga 85% kematian yang berkaitan dengan influenza berlaku dalam kalangan pesakit yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, berkata: “Seiring dengan peningkatan usia, sistem imun kita akan menjadi lemah dan fungsi paru-paru kita juga akan merosot. Keadaan ini meningkatkan kecenderungan kita untuk mengalami penderitaan atau kematian daripada kesan-kesannya."

Beliau menjelaskan, “Influenza mungkin menyebabkan pening yang boleh mengakibatkan seseorang kerap rebah, mengalami gangguan pernafasan dan komplikasi (seperti radang paru-paru, keradangan otak, kegagalan pelbagai organ atau sepsis, iaitu tindak balas sistem imun yang melampau terhadap jangkitan).

Profesor Zulkifli menambah bahawa influenza boleh menjadi masalah terutama sekali kepada warga emas yang mempunyai kesihatan kronik sedia ada.

Beliau menerangkan, “Berbanding dengan orang yang tidak menghidap diabetes, penghidap penyakit diabetes adalah 6 kali ganda lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan 3 kali ganda lebih berkemungkinan untuk mengalami kematian akibat komplikasi yang berkaitan dengan influenza. Influenza juga boleh memburukkan lagi keadaan diabetes seseorang dan mencetuskan kecemasan diabetes (kencing manis).

“Penyakit influenza sama teruknya untuk jantung kita. Ketika melawan jangkitan influenza, tindak balas keradangan badan boleh menyebabkan pembekuan darah, kenaikan tekanan darah, dan juga bengkak atau parut di dalam jantung.

“Bagi orang dewasa yang berumur lebih 40 tahun tanpa sejarah penyakit kardiovaskular, keadaan-keadaan tersebut boleh mencetuskan serangan jantung atau strok dalam tempoh 3 hari pertama jangkitan influenza. Jika individu yang lebih tua mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung atau penyakit jantung yang lain, serangan influenza boleh menjadi terlalu teruk untuk dilawan."

Namun, ada harapan. Profesor Zulkifli memaklumkan: “Bagi orang yang lebih tua, vaksinasi influenza tahunan telah terbukti dapat mengurangkan risiko penghospitalan dan kematian yang berkaitan influenza sebanyak lebih 40%. Suntikan tahunan juga memberi manfaat kepada mereka yang menghidap diabetes dengan mengurangkan risiko strok (sebanyak 30%), kegagalan jantung (22%) dan serangan jantung (19%). Bagi pesakit jantung, vaksinasi influenza mengurangkan kemungkinan peristiwa kardiovaskular utama (sebanyak 36%). Kemungkinan mengalami kematian berkurang sebanyak 18% dalam kalangan orang yang mengalami kegagalan jantung. Individu yang baru sahaja mengalami sindrom koronari akut dapat mengurangkan risiko kesan buruk sebanyak 45%.

Profesor Zulkifli menasihati warga emas supaya mengamalkan sikap yang proaktif dan berkata, “Pencegahan influenza; akan ku laksanakan!” Beliau berkata, “Jangan tunggu wabak untuk mendapatkan suntikan influenza. Sebaliknya, jadikan pengambilan vaksin sebagai komitmen tahunan. Jangan memandang rendah terhadap influenza kerana hanya satu jangkitan sahaja boleh menyebabkan anda dan orang yang anda sayangi mengalami kesan jangka panjang yang teruk."

Golongan emas yang terpaksa berehat di atas katil untuk jangka masa yang panjang akibat serangan influenza mungkin kehilangan otot dan kekuatan, serta berisiko terdedah kepada jangkitan-jangkitan lain. Mereka juga mungkin mengalami kemerosotan fungsi yang tidak dapat dipulihkan dan memerlukan bantuan untuk melakukan tugas harian yang mudah. Mereka mungkin akan mengalami kemurungan akibat kehilangan kebolehan untuk berdikari dan tujuan hidup.

Sementara itu, keluarga mereka terpaksa menanggung kos penghospitalan dan penjagaan – iaitu beban bagi mereka yang sudah pun bergelut mencari punca pendapatan.

Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata bahawa Malaysia harus mencontohi negara lain dalam menawarkan vaksin influenza percuma kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk warga emas. Kebaikan yang boleh diperoleh termasuk penurunan ketara penghospitalan dan kematian berkaitan influenza, dan ini akan diikuti dengan peningkatan kualiti hidup.

Beliau menambah, “Sementara itu, mari kita menyokong generasi yang lebih tua dalam pencegahan influenza melalui pendekatan keseluruhan-masyarakat. Marilah kita mengingatkan ibu bapa kita yang sudah tua untuk mendapatkan suntikan influenza setiap tahun. Pekerja kesihatan di luar sana, dapatkan vaksin untuk diri anda dan pujuklah pesakit anda untuk melakukan perkara yang sama.”

Pelancaran ‘'Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun’ akan diikuti dengan beberapa siri aktiviti pendidikan bertepatan dengan Hari Jantung Sedunia, Hari Warga Emas Antarabangsa, Hari Diabetes Sedunia dan musim cuti akhir tahun.

‘'Mencegah Influenza pada Usia Menjangkau 65 Tahun’ ialah fasa ke-4 dalam inisiatif 'Flu Prevention is an Act of Love' (AOL). Kempen ini telah dilancarkan pada tahun 2019 oleh penaung Immunise4Life, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

AOL melibatkan kerjasama antara Kumpulan Kerja Influenza Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penuaan Sihat Malaysia, Majlis Kebangsaan Persatuan-persatuan Warga Kanan Malaysia, Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia dan Universiti Zaman Ketiga. Kempen ini disokong oleh inisiatif Vaksinasi Itu Perlindungan (VIP).

AOL telah dianjurkan di bawah program Immunise4Life (IFL) yang lebih besar dan diasaskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia.

Ketahui lebih lanjut tentang pencegahan influenza untuk orang tua di laman https://actoflove.ifl.my/seniors.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI