ANUTHRA SIRISENA DARI SMJK CHUNG HWA, TENOM MERAIH MALAYSIA TEACHER PRIZE


Anuthra Sirisena telah dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize yang pertama. Anugerah yang merupakan Global Teacher Prize versi tempatan ini telah dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation, mengiktiraf sumbangan cemerlang guru di seluruh negara dan merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 YTL Foundation tahun ini.

Malaysia Teacher Prize bermatlamat untuk memberikan sinar kepada wira-wira yang tidak didendang yang memperjuangkan dan memperkasakan generasi Malaysia yang akan datang, di dalam dan di luar bilik darjah. Sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize yang pertama, Anuthra akan membawa pulang RM50,000 sebagai pengiktirafan terhadap kaedah pengajarannya yang inovatif dan impak yang beliau lakukan yang memberikan inspirasi kepada anak-anak muridnya dan komuniti setempat. Anuthra telah disenarai pendek daripada lebih 800 permohonan yang cemerlang di seluruh Malaysia, dipilih oleh panel hakim yang dihormati yang terdiri daripada ahli akademik, pegawai Kementerian Pendidikan dan individu daripada organisasi pendidikan dan bukan pendidikan di seluruh negara.

Pemenang Malaysia Teacher Prize yang Pertama

Anuthra Sirisena dari Tenom, Sabah, yang mengajar di SMJK Chung Hwa, adalah juara di dalam dan di luar sekolahnya. Sebagai seorang guru kimia, beliau mengintegrasikan teknologi dan gamifikasi dalam bilik darjahnya yang menyumbang kepada sekolahnya berada dalam kedudukan 10 sekolah terbaik untuk subjek Kimia SPM secara konsisten di Sabah. Di luar bilik darjah, beliau merupakan pengasas bersama Tenom Innovation Centre (TIC), sebuah pusat yang telah melatih lebih daripada 2000 orang guru dan murid dari sekolah luar bandar dalam bidang robotik dan pengaturcaraan. Sebagai pemenang sulung Malaysia Teacher Prize, Anuthra berharap dapat menggunakan wang ganjaran tersebut untuk mengembangkan TIC dan membina ‘Pedalaman Makers-Hub’ yang akan menghubungkan empat daerah di pedalaman Sabah.

“Dedikasi Anuthra terhadap profesion dan dalam memastikan setiap murid di dalam bilik darjahnya mencapai potensi penuh adalah amat mengagumkan dan ia merupakan salah satu faktor utama yang mendorongnya memenangi anugerah Malaysia Teacher Prize. Kami yakin bahawa beliau akan dapat mewakili nama Malaysia Teacher Prize dengan baik dan mempamerkan usahanya kepada komuniti perguruan yang lebih besar,” kata Cheryl Ann Fernando dan Samuel Isaiah, dari PEMIMPIN GSL.

Mereka percaya bahawa permohonan yang diterima untuk Malaysia Teacher Prize tahun ini hanyalah permulaan sahaja dan terdapat ramai lagi guru hebat di Malaysia yang bekerja tanpa jemu untuk meningkatkan taraf kehidupan murid mereka.

“Bagi pihak PEMIMPIN GSL, kami berbesar hati dan berterima kasih atas peluang untuk menganjurkan Malaysia Teacher Prize pada skala ini. Sebagai bekas guru, kami ingin terus meraikan profesion guru dan meningkatkan taraf keguruan di negara kita. Kami berterima kasih kepada rakan kongsi, penaja dan rakan dalam bidang pendidikan yang telah bekerjasama dengan kami untuk menjadikan anugerah ini satu kenyataan dan yang paling utama, kami berterima kasih kepada lebih daripada 800 orang guru yang telah mencurahkan isi hati mereka di dalam borang permohonan. Kami menghargai setiap seorang daripada anda, kami berharap kami akan terus memartabatkan dan menyokong profesion keguruan di Malaysia,” kata mereka.

Anuthra Sirisena, “Saya sangat bersyukur untuk dinobatkan sebagai pemenang sulung Malaysia Teacher Prize. Sewaktu saya menghantar permohonan untuk anugerah ini, tidak pernah terlintas di benak saya yang saya akan menerima pengiktirafan ini. Menjadi seorang guru merupakan nyala rasa saya sejak dari dulu lagi, dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah saya serta anak murid saya kecapi bersama. Guru memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi kepada anak didiknya untuk menjadi yang terbaik, dan saya sangat berbesar hati untuk mewakili rakan-rakan guru saya dalam mengangkat martabat kerjaya sebagai seorang guru di Malaysia. Saya juga terhutang budi kepada pihak PEMIMPIN GSL dan YTL Foundation kerana menganjurkan Malaysia Teacher Prize dan menyediakan ruang untuk kami, para guru, berkongsi kisah kami.”

Bersama-sama Anuthra, 4 orang guru lagi telah diumumkan sebagai 5 Finalis oleh Yang Amat Mulia Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Penganugerahan Malaysia Teacher Prize. 5 Finalis ini kemudiannya menerima anugerah mereka daripada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada sambutan ulang tahun ke-25 YTL Foundation pada hari yang sama, yang turut dihadiri oleh pemegang-pemegang taruh utama pelbagai industri di Malaysia.

“Malaysia Teacher Prize merupakan sebuah ruang untuk menonjolkan dan meraikan usaha guru-guru Malaysia yang cuba untuk membawa perubahan dalam hidup anak murid mereka, masyarakat, dan ekosistem pendidikan Malaysia secara keseluruhannya,” kata Dato’ Kathleen Chew, Pengarah Program YTL Foundation. “YTL Foundation berbesar hati untuk bekerjasama dengan PEMIMPIN GSL bagi menganjurkan Malaysia Teacher Prize, untuk meraikan ketekunan guru-guru kita dalam memupuk minda anak bangsa” tambahnya. “Sedang kami menyambut ulang tahun ke-25 YTL Foundation, kami sangat teruja untuk menyokong anugerah perdana ini, selaras dengan usaha kami selama ini dalam memperjuangkan pendidikan dan mengupayakan masyarakat. Kami tekad menyediakan peluang pendidikan dan kepimpinan kepada anak bangsa untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya dan kami harap 25 tahun yang seterusnya akan membawa kami lebih dekat dengan matlamat tersebut,” kata Dato’ Kathleen.

Sebagai sebahagian daripada ruang lingkup Malaysia Teacher Prize iaitu untuk menerajui impak jangka panjang bagi landskap pendidikan di Malaysia, sepuluh orang finalis anugerah ini juga akan menerima pembangunan profesionalisme bagi mengasah kepakaran mereka dan memperluas pengajaran mereka ke luar bilik darjah. Dalam pada itu, Anuthra bersama-sama dengan 9 lagi orang finalis tersebut akan mengetuai bilik darjah interaktif di persidangan Leaps of Knowledge yang akan berlangsung dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang pada 8 Oktober 2022 di JW Marriott, Kuala Lumpur.

Dari kiri:  Cikgu Anita Md. Yassin, Cikgu Shyielathy Arumugam, Cikgu Tan Shi Min, Ahmad Rafee Che Kassim, Deputy Director-General of Education (Teaching Professionalism Development), Samuel Isaiah (Programme Director of Pemimpin GSL),  YAM Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, Anuthra Sirisena (Winner of the Inaugural Malaysia Teacher Prize), Shahril Othman, Dato’ Kathleen Chew (Programme Director of YTL Foundation), Khairil Azmir Ahmad, Cheryl Ann Fernando (CEO of PEMIMPIN GSL) and Aishah Md. Hamdan

Malaysia Teacher Prize adalah anugerah tahunan yang meraikan guru-guru Malaysia dan dianjurkan untuk menyokong usaha guru-guru kita dalam mewujudkan impak yang mampan untuk murid mereka, khususnya dan masyarakat, amnya. Diharapkan penyertaan dan kesedaran guru-guru Malaysia terhadap anugerah ini akan lebih meningkat pada masa akan datang supaya anugerah ini akan dapat meluaskan capaiannya bagi mempamer dan seterusnya menonjolkan guru-guru Malaysia yang membawa impak positif dalam bidang pendidikan pada masa kini dan masa-masa akan datang.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah-kisah penuh inspirasi daripada guru-guru Malaysia Teacher Prize, layari https://malaysiateacherprize.org/ .

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!