KUMPULAN SODA MUNCUL JUARA SULUNG PROGRAM AWESOME RAJA LAWAK


Setelah 10 minggu beraksi, akhirnya Kumpulan Soda yang sering mempamerkan prestasi cemerlang secara konsisten membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara sulung program Awesome Raja Lawak sekaligus membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000. 

Kemenangan tersebut pastinya direstui ramai kerana Soda juga merupakan antara nama yang sering disebut sebagai juara dan sering menerima pujian daripada barisan juri pada saban minggu.

Soda yang dianggotai oleh Danny, 27, atau nama sebenar Danieal Aidid Bin Jamil dan Sofwan Fathi Bin Roosle atau lebih mesra dengan panggilan Wan, 28, berjaya memperolehi markah keseluruhan tertinggi sebanyak 77% sekaligus menewaskan lima finalis lain iaitu Kumpulan Se’eh, Mabo, Manja, Sedare dan Azhar di pusingan finale baru-baru ini.

Soda yang mempertaruhkan sketsa komedi bermoral dengan menyelitkan pengajaran dan teladan yang sarat dengan mesej positif untuk renungan bersama bagi kedua-dua buah tugasan akhir yang bertemakan ‘Bebas’ dan ‘Muzikal’ ternyata berjaya memikat hati juri dan penonton sekaligus menjadikan kemenangan tersebut lebih manis dan bermakna.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Kumpulan Se’eh yang merangkul gelaran naib juara dengan markah keseluruhan sebanyak 74% sekaligus memenangi wang tunai RM25,000 beserta trofi. Kumpulan Mabo yang tersingkir di pusingan separuh akhir tetapi diserap masuk semula secara 'wild card' juga tidak mengecewakan apabila bangkit semula dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga yang membawa pulang RM10,000 beserta trofi.

Syabas juga buat Azhar, Sedare dan Manja yang meraih tempat keempat, kelima dan keenam. Walaupun rezeki mungkin tidak berpihak kepada mereka pada kali ini, namun pujian harus diberikan kepada mereka di atas energi luar biasa dan usaha keras dalam memberikan saingan sengit di pusingan akhir. Menang atau kalah adalah adat bertanding. Apa yang penting, mereka sudah buat yang terbaik sepanjang perjuangan di pentas Awesome Raja Lawak.

Program Awesome Raja Lawak yang bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam yang sudahpun merekodkan jumlah tontonan terkumpul melebihi 20 juta sepanjang sepuluh minggu bersiaran di kesemua platform termasuk digital. Statistik tersebut membuktikan program-program terbitan Awesome TV berjaya membekaskan impak di hati rakyat Malaysia sekaligus menjadikan stesen ini sebagai destinasi utama untuk menikmati program-program hiburan berkualiti di Malaysia.

Susulan dari kejayaan program ‘Awesome Raja Lawak’ ini, sebuah lagi program realiti terbaharu terbitan Awesome TV, ‘Mic On Selebriti’ bakal menemui peminat tidak lama lagi. Berkonsepkan pertandingan nyanyian, ‘Mic On Selebriti’ akan menyaksikan penglibatan barisan selebriti seperti pelakon, pelawak mahupun ‘influencer’ mempertaruhkan bakat nyanyian mereka demi merebut hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM250,000. Nantikan pengumuman selanjutnya tidak lama lagi.

Teruskan menonton variasi program-program hebat Awesome TV di saluran Astro (123) dan MyTV (112).”

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!