PENYERTAAN ORKESTRA TRADISIONAL MALAYSIA (OTM), ISTANA BUDAYA DI FESTIVAL MUZIK ASEAN INDIA (AIMF) 2022


7 pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang menamakan kumpulan mereka sebagai Instamuzika akan menyertai Festival Muzik ASEAN India di Purana Qila selama 3 hari bermula 18 hingga 20 November.

Kumpulan Instamuzika yang terdiri daripada ketua kumpulan Yazid Zakaria, Leyzam Ali, Leslie Anak Eli, Shahwal, Fikri, Abdullah Omar (Bob) dan Dhiya selaku penyanyi akan membawa alat muzik tradisional tempatan seperti sape serta rebana dan memainkan 12 lagu termasuk Cindai yang dipopularkan Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Joget 106, Gurindam Jiwa, Laksamana Raja di Laut dan Te Geleng-Geleng.

Yazid Zakaria memaklumkan bahawa Instamuzika juga akan membuat persembahan di Univesiti Ashoka pada 17 November sebagai salah satu usaha menyemarakkan promosi kekayaan dan keaslian seni budaya Malaysia melalui aktiviti persembahan muzik.

Penyertaan Instamuzika dalam festival tersebut adalah melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertujuan memberi lebih pendedahan kepada masyarakat antarabangsa terhadap alat-alat muzik tradisional yang mewakili kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia.

Festival Muzik ASEAN India 2022 adalah program kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar India dengan organisasi budaya Seher bersempena sambutan ulangtahun ke-30 hubungan diplomatik ASEAN – India.

Festival yang menampilkan 10 artis dari seluruh Asia Tenggara termasuk Instamuzika dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 6:30 petang.

Instamuzika adalah kumpulan etnik fusion yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan kesemua pemuzik kumpulan tersebut boleh memainkan pelbagai instrumen muzik moden dan tradisional.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA