RAISA TURUN PADANG UNTUK PROMOSI KONSERT 'RAISA: LIVE IN MALAYSIA'


Hitman Solutions, antara penganjur acara terkemuka Malaysia dengan bangganya mempersembahkan konsert bintang popular Indonesia, 'Raisa: Live In Malaysia' yang dijanjikan menjadi malam penuh pesona dengan penampilan perdana Raisa, ratu pop dan R&B tersohor dari negara seberang pada 20 November 2022, 8:30 malam bertempat di ruang konsert eksklusif, Zepp Kuala Lumpur.

"Raisa dan pihak pengurusannya telah selamat tiba di Malaysia pada 6 November yang lalu bagi menjayakan siri promosi konsert istimewa ‘one-night-only’ melalui program-program TV dan radio yang telah direncanakan oleh pihak Hitman Solutions. Sebagai permulaan, Raisa baharu sahaja membuat penampilan pertamanya di Malaysia dengan melakukan persembahan di pentas Gegar Vaganza 9, program TV paling popular masa kini.


“Keesokan harinya pula, Raisa telah ditemuramah oleh stesen radio nombor satu negara, ERA FM. Pada hari yang sama juga, sebuah majlis ‘hi-tea’ istimewa diadakan bersama rakan-rakan artis dari Malaysia demi menjalin hubungan di antara kedua-dua buah negara nusantara.

“Sidang media yang diadakan pada hari ini bertujuan menghebahkan tentang konsert sulung Raisa yang bakal diadakan pada 20 November ini selain berpeluang mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi dan beramah mesra dengan rakan media Malaysia yang banyak memberikan sokongan. Sesudah majlis ini, Raisa akan ke Seri Pentas dan Astro pula bagi menjayakan program TV Melodi (TV3) dan HLive! istimewa ‘in-person’ (Astro Ria & Ria HD),” kongsi Encik Rohit Rampal, selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions.


Hitman Solutions yang ditubuhkan sekitar 15 tahun lalu merupakan salah satu anak syarikat Hitman Group, Hitman Solutions yang bertanggungjawab menganjurkan konsert berskala besar dengan membawakan aksi muzikal bukan sahaja dari Malaysia seperti kumpulan Bunkface, tetapi juga ‘superstar’ antarabangsa seperti bintang Bollywood, Jubin Nautiyal, artis K-pop, (G)I-dle dan ramai lagi.

Di bawah Hitman Group terdapat juga Hitman Media, sebuah anak syarikat yang memberi tumpuan kepada pemasaran digital.

"Nama Raisa sememangnya terkenal di persada muzik Indonesia, dan karya-karyanya turut mendapat perhatian di negara kita, pencapaian ini kerana beliau bukanlah penyanyi biasa.”

“Suaranya yang merdu dan ikonik mewakili gelombang baharu lagu-lagu pop dalam nuansa balada dan jazz serta muzik yang menyentuh perasaan pendengarnya," kata Encik Rohit.


Raisa mula terkenal melalui single pertamanya berjudul 'Serba Salah' yang dipetik daripada album sulungnya 'Raisa' pada 2011. Tahun berikutnya, beliau berjaya merangkul anugerah 'Artis Baru Terbaik' di Anugerah Musik Indonesia ke-15 dan 'Artis Wanita Baharu Terbaik' di Anugerah Planet Muzik. Sebagai seorang artis yang berbakat, kemampuan vokal Raisa terus digilap lantas memenangi beberapa lagi anugerah muzik dan juga hati jutaan peminat.

"Pembeli tiket akan dihiburkan dengan kira-kira 20 lagu hit Raisa dalam ekstravaganza muzikal selama dua jam yang diiringi oleh para pemuzik profesional yang didukung oleh produksi ‘audiovisual’ kami yang sememangnya terkenal. Kami meletakkan harapan yang tinggi untuk konsert ini dan berharap semua dapat melihat dan merasainya sendiri.


“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih khusus buat rakan-rakan rasmi kami yang turut serta menjayakan konsert eksklusif ini seperti Batik Air (Rakan Penerbangan Rasmi), Hotel Sunway Putra (Rakan Hotel Rasmi), ERA (Rakan Radio Rasmi) serta portal Gempak (Rakan Media Atas Talian Rasmi), dan Yoodo (Rakan Telekomunikasi Rasmi),” tambah Encik Rohit.


Kategori tiket VVIP, CAT 3 dan CAT 4 telah pun habis dijual pada hari pertama jualannya, manakala CAT 1 (RM250-Free Standing) dan CAT 2 (RM200-Free Standing) sedang terjual cepat. Bagi mereka yang masih belum membeli tiket untuk menonton konsert eksklusif Raisa: Live in Malaysia, anda boleh mendapatkannya di laman web rasmi www.hitmanlive.com

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!