PEMAIN PIANO HANDALAN CROATIA, MAKSIM MEMUKAU DENGAN KOLEKSI LAGU TERBAIKNYA


Pemain piano kelahiran Croatia, Maksim Mrvica telah “menghangatkan” Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari dengan konsert solonya The Collection yang membawakan lagu-lagu terbaik dari koleksi albumnya. Terkenal sebagai pemain muzik “crossover” yang memberi sentuhan moden kepada muzik klasikal, Maksim memukau lebih 2,500 penonton yang hadir di Dewan Plenary dengn persembahan yang bertenaga dan menghiburkan.


Tirai konsert The Collection telah dibuka dengan persembahan dua buah lagu New Age gubahan Maksim sendiri iaitu ‘Exodus’, diikuti dengan ‘Child in Paradise’. Ketangkasan jari-jemarinya menari-nari di atas barisan kekunci piano dapat disaksikan oleh penonton secara langsung di atas paparan di pentas.


Seterusnya, Maksim membuktikan bakat serba boleh merentasi genre dengan menukar gear kepada lagu klasikal – ‘In the Hall of the Mountain King’ and Gymnopedie. Biar lagu rancak atau perlahan, penonton dapat melihat yang Maksim memberikan segala jiwanya ke dalam persembahan dengan penuh bersemangat. Beliau tidak banyak berbicara tetapi menggunakan jari-jemarinya untuk menyampaikan emosi di dalam irama lagunya.

Tepukan gemuruh dari penonton diberikan setelah usai setiap lagu dipersembahkan. Maksim menarik minat penggemar muzik dengan lagu-lagu popular termasuk filem atau siri TV seperti Mission Impossible dan Games of Thrones. Lagu-lagu pop seperti Bohemian Rhapsody (Queen) dan Clocks (Coldplay) juga disuntik dengan sentuhan klasikal yang mempesonakan.


Lagu yang dinanti-nantikan - Flight of the Bumble Bee yang melonjakkan namanya sebagai pemuzik terkenal di mata dunia pada tahun 2003 menggemakan seluruh dewan. Persembahan diakhiri dengan Mission Impossible. Namum begitu, dengan sorakan “encore” yang bertalu-talu dari para penonton, Maksim kembali ke pentas dan mempersembahkan lagu encore - Pirates of the Caribbean.


Konsert Maksim - The Collection di Kuala Lumpur, Malaysia telah dipersembahkan oleh Harmonie International. 

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM