MAYUMI KASUGA BAWAKAN ERTI PERPADUAN DALAM KEMANUSIAAN DALAM LAGU 'SATU'


Orangnya genit, tetapi semangatnya setinggi Gunung Fuji, Mayumi Kasuga, pertama kali mendengar namanya, siapakah gerangan wanita Jepun ini?

“Saya sebenarnya orang Malaysia, tetapi sekali imbas memang ramai akan menyangka saya orang Jepun, ayah saya berdarah campuran Jepun-Korea, manakala ibu saya pula berketurunan Melayu asli dan berasal dari Johor,” jelas Mayumi memulakan bicara.

Hadirnya Mayumi di persada muzik tempatan adalah bagi mempersembahkan bakatnya melalui sebuah single pop yang unik berjudul ‘SATU’ hasil ciptaannya sendiri bersama barisan komposer hebat tanah air seperti Mingaling, Yuka Kharisma, Imgkay, Madebyartin, Amzar Sabri dan Fhan.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Mayumi mula aktif dalam lapangan seni sejak di bangku sekolah lagi, bermula dengan pembabitan dalam bidang teater dan tarian, dia pernah membuat persembahan di hadapan Sultan Johor dan turut berkecimpung dalam dunia lakonan serta bidang peragaan sehingga tahun 2017.

Setelah itu, Mayumi terjun pula ke bidang perniagaan dengan mengusahakan ‘Ole-Ole Malaysia’ yang menempatkan produk-produk hasil Usahawan tempatan yang diiktiraf oleh Tourism Malaysia sebagai pusat sehenti produk pelancongan yang berlokasi di bawah Plaza Dataran Merdeka.

“Selain bidang seni, saya sememangnya minat berniaga dan pelbagai jenis perniagaan telah saya ceburi sebelum ini, namun cita-cita saya untuk bergelar penyanyi masih lagi menebal sehinggalah pandemik COVID-19 melanda dunia dan tercetusnya idea untuk menghasilkan single ini.

“Ketika negara dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai orang berdepan dengan kepayahan dalam kehidupan, banyak yang saya pelajari pada ketika itu di mana kita perlu bersatu dan saling membantu satu sama lain, dan terdetik idea untuk menghasilkan lagu SATU yang mempunyai maksud tersirat dan dapat menyebarkan energi positif buat semua,” jelas Mayumi yang turut fasih berbahasa Jepun dan Mandarin, selain Melayu dan Inggeris.

Menurut Mayumi, single ini menceritakan tentang cinta pada yang SATU, cinta pada Tuhan, keluarga dan sahabat handai, rasa cintalah yang menyatukan kita semua, sifat kemanusiaan dalam diri menjadi rumpun yang tidak mengira kepercayaan, bangsa mahupun jantina kerana kita semua berasal dari yang SATU.


“Saya ingin sebuah lagu yang membawa erti perpaduan dalam kemanusiaan setelah melalui fasa yang mencabar dalam hidup, kalau pendengar amati, bait-bait liriknya bukanlah kisah percintaan di antara lelaki dan perempuan kerana ia lebih dari itu.

“Muzik mempunyai kuasa dalam mengeratkan kita semua kerana bahasa muzik itu adalah universal, dan setiap pendengar boleh merasai impaknya yang positif jika kena pada lagunya,” kata Mayumi.

Single bernuansa pop balada yang separa-rancak ini turut ditambah dengan elemen hip-hop oleh dua artis muda seperti Fhan dan Amzar Sabri yang menyuntik elemen moden nan segar, dan menariknya ada juga elemen muzik tradisional Jepun dan Melayu yang diterapkan.

Tambah Mayumi lagi, “Hampir sebulan masa yang diambil untuk menghasilkan lagu ini dengan proses rakamannya yang mengambil masa sehari, manakala proses penggambaran bagi MV (video muzik) turut memakan masa sehari.

“Menariknya dalam MV SATU, saya melakonkan watak seorang Geisha yang melalui beberapa era dalam kehidupan, dari zaman retro hingga ke masa kini, kalau hendak tahu lebih lagi jangan lupa menontonnya di YouTube nanti.

“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima karya istimewa ini dan cuba hayati muzik yang saya bawakan selain memahami maksud dan mesej positif yang cuba disampaikan, dan jangan lupa untuk terus menyokong saya.


Lagu ‘SATU’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music, manakala MV-nya pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

KECUT PERUT, PECAH PERUT DENGAN ‘DON DUKUN’: ZUL ARIFFIN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN

TOURISM SELANGOR MENGADAKAN SELANGOR TRAVEL FAIR SEMPENA TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.