110,000 PELAJAR DAN GURU SEKOLAH MENENGAH KE ARAH KEHIDUPAN SIHAT DALAM KEMPEN #ROLLINGHEALTHYWITHROLLUPWRAPS


Seramai 110,000 pelajar dan guru sekolah menengah bersama-sama ke arah kehidupan sihat melalui program Amalan Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps yang menerima sokongan oleh Kementerian Pendidikan disamping pihak penganjur Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. 

Program tersebut telah melabuhkan tirainya hari ini dengan pengumuman pemenang dalam majlis penutup yang disaksikan oleh Zainudin Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Pelajar) Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lavinia Anthony, Pengurus Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka telah dinobatkan sebagai juara setelah berjaya melepasi persaingan sengit di antara 100 buah sekolah menengah di seluruh Semenanjung Malaysia dalam menghasilkan resipi sihat yang paling kreatif menggunakan Gardenia Roll-Up Wraps.

“Tubuh badan yang sihat bermula dengan pinggan yang sihat. Program Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps adalah usaha yang baik bagi menerapkan tabiat pemakanan sihat pada peringkat awal kehidupan seawal sekolah menengah. Ini adalah peringkat di mana mereka mula belajar dalam menyediakan makanan mereka sendiri. Jadi, inilah masa terbaik untuk memperkenalkan mereka dengan Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan,” kata Zainudin.

Program Amalan Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps mendapat sokongan yang memberangsangkan dengan penyertaan daripada 100 buah sekolah menengah dari seluruh Semenanjung Malaysia meliputi bahagian Sentral, Utara, Selatan dan Pantai Timur. Menurut Lavinia, objektif utama program tersebut adalah untuk menerapkan tabiat pemakanan sihat di kalangan pelajar dimana poster dan sepanduk tentang faedah dan garis panduan pemakanan sihat dipamerkan di sekitar perkarangan sekolah sebagai peringatan kepada pelajar tentang tabiat pemakanan sihat.

“Di samping penerapan tabiat pemakanan sihat dalam kalangan pelajar sekolah menengah, pihak Gardenia Roll-Up Wraps berhasrat dapat menggilap kreativiti para pelajar sewaktu penghasilan resipi dan pada masa yang sama, meningkatkan kemahiran hidup termasuk kemahiran memasak dan kerjasama dalam pasukan,” tambah Lavinia.

Setiap kumpulan terdiri daripada seorang guru yang mengiringi dua orang pelajar yang bekerjasama dalam mencipta hidangan berkhasiat menggunakan Gardenia Roll-Up Wraps. Berdasarkan tema ‘Amalan Pemakanan Sihat’, para peserta dikehendaki merekacipta resipi dan merekodkan proses penyediaan dalam bentuk video yang menarik dan dihantar bersama laporan untuk proses penilaian. Bagi kategori individu, semua ahli sekolah menengah yang mengambil bahagian berpeluang menyertainya. Peraturan dan garis panduan adalah sama dengan kategori berkumpulan akan tetapi satu-satunya perbezaan adalah video untuk kategori individu perlu dimuat naik di media sosial dengan pautan hashtag #RollingHealthyWithRollUpWraps bagi melayakkan diri ke peringkat penilaian. 10 pemenang individu terpilih berjaya membawa pulang hadiah RM100 setiap seorang.


Lapan buah sekolah telah berjaya ke pusingan akhir Program Amalan Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps. Sekolah-sekolah yang berjaya termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, Kedah; Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam; Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka; Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Perlis; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Kuala Lumpur.

Hadiah pertama disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka dengan kemenangan berjumlah RM3,000. Sekolah Menengah Kebangsaan Paka, Terengganu merangkul tempat kedua dengan hadiah RM2,000 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Perlis telah berjaya memenangi tempat ketiga dengan kemenangan RM1,500. Disamping itu, 5 lagi sekolah yang telah berjaya mara ke pusingan akhir juga membawa pulang RM500 setiap kumpulan sebagai hadiah saguhati.

“Seperti semua program Gardenia yang lain, nilai murni diterapkan sepanjang program ini. Kami sentiasa berhasrat untuk menyemai sebanyak nilai murni yang mungkin ke arah membentuk individu yang berperibadi tinggi dan generasi yang lebih sihat,” tambah Lavinia.

Comments

Popular posts from this blog

TIKTOK PERKASA IBU BAPA, SATUKAN SUARA KEIBUBAPAAN DI ERA DIGITAL

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

MENANG BESAR DI KEMPEN "GOLDEN TICKET' DI ALAMANDA PUTRAJAYA