JABATAN KEBUDAYAAN & KESENIAN NEGARA TERUS SEMARAK SENI BUDAYA DI SELURUH NEGARA


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Serlahan Seni Budaya JKKN 2023, bertempat di Menara Kuala Lumpur.


Majlis yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff,Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini bertujuan untuk menghebahkan mengenai kalendar program JKKN sepanjang tahun 2023 kepada khalayak umum. 


Pelbagai program pelancongan budaya dan aktiviti seni budaya pada tahun ini telah disusun bagi merancakkan dan menyemarakkan lagi program seni budaya negara.

Bagi tahun 2023, JKKN menyasarkan sebanyak 197 KPI merangkumi 832 aktiviti dan program seni budaya seluruh negara. Pelaksanaan program adalah berasaskan lima (5) teras program utama iaitu asuhan kemahiran seni, pemuliharaan seni budaya, jangkauan seni budaya (JSB), pengukuhan seni dan budaya serta jaringan kerjasama kebudayaan.


Sebanyak 11 program akan dilaksanakan pada tahun ini merangkumi Pesta Angin Timur, Hibrid (Perlis), Iftar@KL (Kuala Lumpur), Festival Kesenian Rakyat Kelate, (Kelantan), Festival Kota Selatan (Johor), Temasya Budaya Negeri Perak, Festival Permainan Malaysia (Kuala Lumpur), Keretapi Sarong (Kuala Lumpur), Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa (FKOAA), Festival Seni Hidup (Kuala Lumpur), Rhythm of Kinabalu (Sabah) dan Festival Gendang Sarawak (Sarawak). Aktiviti dan program yang akan dilaksanakan ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan aktiviti seni budaya dalam norma baharu di samping memberi peluang penggiat seni budaya menjana pendapatan.


Dalam majlis tersebut juga, JKKN turut melancarkan Buku Mek Mulung “Bangkitnya Warisan Turun-Temurun / A Heritage Rediscovered. Buku tersebut merupakan penerbitan ulung JKKN dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Penerbit UiTM. 

Penerbitan dwi-bahasa ini berkaitan seni teater tradisional negeri Kedah iaitu Mek Mulung yang meliputi sejarah dan perkembangan kesenian Mek Mulung dari dahulu sehingga kini. Penerbitan istimewa ini dilengkapkan lagi dengan kandungan Augmented Reality (AR) dan buku audio dalam versi Bahasa Inggeris serta CD Lagu-lagu Mek Mulung.

Selain itu juga, JKKN terus mengorak langkah memperkasa dan memperkemaskan agenda bersesuaian dengan lonjakan Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menyediakan pelan kondusif pembangunan aspek kandungan digital dengan memperkasakan sistem Rangkaian Media Sosial JKKN (saluran JKKN TV, YouTube, Twitter, Facebook, Instagram dan aplikasi Telegram) yang dikenali sebagai MySeniBudaya.


“Seni dan budaya merupakan komponen penting dalam usaha membangun dan memajukan negara. Masyarakat Malaysia yang berbudaya, bersatu dan mengamalkan nilai-nilai murni adalah intipati utama untuk menentukan Malaysia dan rakyatnya mengecapi kesejahteraan hidup,” kata , Mohd Yusri bin Mohd Yusoff ketika sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.

“Jalinan kerjasama antara JKKN dengan agensi kerajaan, agensi swasta, penggiat seni, NGO amatlah penting dalam melaksana dan menyemarakkan program seni budaya ini. Terima kasih kepada rakan-rakan media yang selalu membantu dan memberi sokongan dalam mempromosikan program dan aktiviti JKKN agar dapat diperluaskan kepada masyarakat umum,” tambah beliau.


Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

KECUT PERUT, PECAH PERUT DENGAN ‘DON DUKUN’: ZUL ARIFFIN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

TOURISM SELANGOR MENGADAKAN SELANGOR TRAVEL FAIR SEMPENA TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025