ANGKASA-X UMUMKAN PELANCARAN SATELIT MALAYSIA UNTUK MENERAJUI EKOSISTEM TEKNOLOGI ANGKASA DAN EKONOMI ANGKASA ASEAN

Menerajui usaha untuk memacu ekosistem teknologi angkasa Malaysia ke hadapan, ANGKASA-X – sebuah syarikat rangkuman teknologi-sosial terkemuka dengan misi untuk memenuhi aspirasi unicorn negara untuk mewujudkan ekonomi angkasa lepas ASEAN – secara rasmi mengumumkan pelancaran satelit A-SEANSAT-PG1 (“PG1”) pada 27 Jun 2023 kelak.

Dari kiri: Dr. William Lim, Pengarah Eksekutif Kumpulan dan COO, ANGKASA-X, Dr. Sean Seah, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan CEO, ANGKASA-X dan Ir. Norhizam Bin Hamzah, Ketua Pegawai Teknologi, ANGKASA-X

Dengan pelancaran satelit PG1 ini, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk memimpin ke arah pembentukan gugusan satelit Low-Earth-Orbit (“LEO”) yang akan direka cipta dan dipasang di Malaysia dalam tahun akan datang. Gugusan satelit ini akan bekerjasama untuk menawarkan perkhidmatan Satellite-as-a-Service (“SaaS”) yang inovatif kepada negara-negara di ASEAN.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA-X, Dr. Sean Seah, di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi ke-16 (“LIMA ’23”) dalam sebuah pameran khas satelit PG1. Pameran itu telah diadakan dengan kerjasama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (Malaysia Industry-Government Group for High Technology / “MIGHT”), sebuah badan pemikir industri Kerajaan di bawah naungan Pejabat Perdana Menteri untuk melaksanakan usahasama yang dipacu oleh pasaran.

Dr. Sean Seah, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan CEO ANGKASA-X (kanan) memberi taklimat tentang model satelit PG1 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Selepas bertahun lamanya bekerja keras, melakukan proses R&D dan mengumpul dana, akhirnya kami berjaya untuk tiba di sini! Ia merupakan satu langkah besar bagi impian ANGKASA-X sejak penubuhan kami pada 2021 untuk melancarkan satelit kami yang direka cipta di Malaysia ke angkasa lepas. Melalui pelancaran PG1 dan satelit seterusnya, kami berhasrat untuk mewujudkan ekonomi angkasa lepas yang teguh, terutamanya dalam ASEAN untuk mewujudkan dunia di mana kesalinghubungan data dan maklumat penting akan lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh masyarakat, kerajaan dan syarikat swasta,” kata Dr. Seah.

“Kita berjaya mencapai kejayaan ini dengan bekerjasama dengan organisasi dan rakan kongsi global yang mempunyai wawasan yang sama. Dalam hal ini, ANGKASA-X bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi Kerajaan Malaysia, syarikat Teknologi Angkasa tempatan dan global, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, dan rakan kongsi pelancar kami dalam usaha kami untuk terus melancarkan lebih banyak lagi satelit bagi menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian terbaik menggunakan beberapa gugusan satelit LEO untuk memberi perkhidmatan kepada ASEAN dan negara di sepanjang garisan Khatulistiwa,” sambungnya.

Dr. Seah juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (“MOSTI”) dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (“MIGHT”) atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan pelantikan beliau sebagai Naib Presiden pertama dalam jawatankuasa sementara bagi Koperasi Industri Angkasa Malaysia (“MASIC”). Organisasi yang baru ditubuhkan itu terdiri daripada wakil daripada agensi, kementerian dan entiti yang berkaitan daripada sektor swasta, untuk bertindak sebagai pusat sehenti ke arah urusan penyelarasan berkaitan industri angkasa yang lebih berkesan untuk mewujudkan ekosistem angkasa yang lebih dinamik.

Sementara itu, bercakap bagi pihak MIGHT, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Yusoff Sulaiman berkata, “Sebagai sebuah badan Kerajaan yang menyelia pembangunan dan pengurusan sektor angkasa negara secara strategik, tersusun dan menyeluruh, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan ANGKASA- X dalam usaha ini. Ia merupakan satu usaha yang bercita-cita tinggi, tetapi kami pasti, melalui pengetahuan teknikal mereka yang luas, digandingkan dengan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak pemegang taruh, kami yakin boleh mencapai bintang untuk memajukan agenda angkasa lepas Malaysia.”

Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, pelancaran satelit PG1 juga merupakan batu loncatan ke arah pembangunan negara dan peningkatan sumber tenaga berkemahiran untuk masa depan di Malaysia, di samping mempercepatkan evolusi teknologi melalui penerimaan dan pemacuan untuk penyelidikan dan pembangunan masa depan.

Perkara ini telah termaktub dengan pemeteraian MoU antara ANGKASA-X dan Sirius yang berhasrat untuk bekerjasama dalam menyediakan kemudahan pelancar roket untuk satelit serta kemudahan stesen bumi. Usaha ini akan meningkatkan lagi keperluan untuk lebih ramai jurutera Malaysia yang berkemahiran tinggi, menyumbang kepada permintaan lebih tinggi untuk pendidikan dan pekerjaan, mengurangkan penghijrahan individu berkemahiran tinggi ke luar negara (brain drain), sambil menarik pelaburan asing dan domestik, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Satelit A-SEANSAT-PG1 dijadualkan dilancarkan pada 27 Jun 2023 jam 1930 (MYT) dari Kosmodrom Vostochny di Rusia, dan akan disiarkan secara langsung di tiga lokasi di Malaysia, termasuk Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (“MYSA”) di KL, Universiti Sains Malaysia (“USM”) di Pulau Pinang, dan Koperasi Ekonomi Digital Sarawak (Sarawak Digital Economy Corporation Berhad /“SDEC”).

Maklumat lanjut tentang ANGKASA-X boleh didapati di www.angkasa-x.com

 

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!