BADAN PERUBATAN SERTA PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK LANCAR ‘BULAN PEMERHATIAN TUMBESARAN’


Bulan Pemerhatian Tumbesaran (Growth Watch Month) telah dirasmikan hari ini bagi mengumpulkan usaha sama daripada pakar penjagaan kesihatan dan ibu bapa untuk mencegah masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dengan ini, mereka boleh mencapai potensi pertumbuhan optimum untuk masa depan yang lebih cerah.

Kempen tahunan ini diperkenalkan di seluruh negara oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah program IMFeD For Growth yang telah bermula sejak tahun 2012.

Bulan Pemerhatian Tumbesaran ini dilancarkan secara rasmi oleh MPA bersama-sama dengan rakan kongsinya iaitu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM).

MENANGANI MASALAH BANTUT

Menurut Profesor Dr Lee Way Seah, Pengerusi Program IMFeD For Growth, Bulan Pemerhatian Tumbesaran ini didekasikan untuk mengenal pasti kanak-kanak dan remaja yang terbantut atau berisiko untuk mengalami masalah ini. Melalui perlaksanaan aktiviti yang berkaitan, penganjur akan menasihati ibu bapa tentang intervensi pemakanan yang bersesuaian dan sokongan yang diperlukan untuk mengembalikan tahap pertumbuhan anak yang optimum.

Beliau berkata: "Walaupun kebanyakan kanak-kanak dan remaja Malaysia membesar secara normal, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak kekal menjadi suatu kebimbangan."

Pada usia 5 tahun, kanak-kanak sepatutnya mencapai 60% daripada ketinggian dewasa mereka. Malangnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, 21.2% atau 1 dalam 5 kanak-kanak mengalami masalah bantut.

NHMS 2022 juga melaporkan bahawa 6.8% daripada remaja kita mengalami masalah bantut. Individu-individu ini tidak mencapai puncak pertumbuhan yang sepatutnya, iaitu 15 ke 20% hampir dengan potensi ketinggian dewasa mereka.

Kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada masalah bantut adalah jelas. Kanak-kanak yang terbantut lebih cenderung untuk jatuh sakit lebih kerap, terlepas peluang dalam pembelajaran sehingga menjejaskan prestasi di sekolah dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. Mereka juga berisiko mengalami pembantutan ketika dewasa yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kronik, penurunan produktiviti ekonomi dan potensi pendapatan seumur hidup yang lebih rendah.

Profesor Lee mengingatkan: "Kita perlu mengatasi masalah pembantutan ini dari awal. Masalah ini sentiasa bermula dengan pertumbuhan yang terbantut, apabila kanak-kanak tidak menerima pemakanan yang mencukupi sehingga memperlahankan kadar pertumbuhan mereka.

"Tanpa tenaga, protein, lemak dan mikro nutrien yang mencukupi, termasuk kalsium, vitamin D dan sebagainya, pembentukan tulang dan otot mereka tidak dapat berlaku pada kadar yang sihat."

Tumbesaran terbantut boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada di peringkat kanak-kanak mahupun remaja dan kebiasaannya berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari. Dari masa ke masa, kanak-kanak bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa yang optimum, malah mereka akan kekal bantut ketika dewasa dan menghadapi kesulitan yang ketara sepanjang hayat.

Profesor Lee menegaskan bahawa pertumbuhan optimum hanya boleh dicapai apabila wujudnya asas-asas tertentu seperti amalan pemakanan yang baik, nutrisi lengkap, aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan umur dan pemantauan pertumbuhan yang kerap dari usia muda.

Beliau menambah: "Kami juga menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang berumur 1 hingga 17 tahun untuk mendapatkan pemeriksaan tumbesaran daripada pengamal kesihatan yang telah dilatih untuk menjalani menggunakan pendekatan M-I-M kami."

M (Measure) pertama merujuk kepada 'Mengukur’. Langkah ini melibatkan pengukuran berat dan ketinggian kanak-kanak yang diplot pada carta pertumbuhan World Health Organization (WHO) untuk memastikan sama ada tumbesaran kanak-kanak dalam justifikasi normal, berisiko atau terbantut.

Seterusnya, jika anak-anak terbantut atau mengalami tumbesaran yang tidak konsisten, kita perlu meng‘identifikasi’ (I = Identify) punca yang mendasarinya. Faktor biasa yang menyebabkan tumbesaran terbantut pada kanak-kanak ialah kekurangan zat makanan, tabiat gaya hidup yang tidak sihat, keadaan kesihatan yang tidak dikenalpasti, kemahiran keibubapaan yang lemah atau gabungan beberapa faktor tersebut.

Akhir sekali, pengamal-pengamal kesihatan akan bersedia untuk 'Mengurus' (M = Manage) keadaan tersebut. Intervensi yang mungkin dilakukan termasuklah penjagaan pemakanan yang mencukupi dan bersesuaian, peningkatan kemahiran keibubapaan dan penggalakan tabiat gaya hidup sihat.

AKTIVITI BULAN PEMERHATIAN TUMBESARAN

Menurut Dr Selva Kumar Sivapunniam, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Bulan Pemerhatian Tumbesaran membuka peluang untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap tumbesaran kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata: “Kami akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menjalankan aktiviti pendidikan serta memperluaskan konten melalui penulisan media dan temubual. Ibu bapa dan penjaga juga akan dapat mengikuti empat siri Forum Ibu Bapa yang disiarkan secara langsung melalui Zoom, https://www.facebook.com/MPAEDS/ dan https://www.youtube.com/@mpaeds"

Menampilkan hos selebriti dan ahli Panel Pakar IMFeD For Growth, forum tersebut akan merangkumi topik:
  • Pemakanan, Nutrisi dan Tumbesaran Untuk Kanak-Kanak
  • Meningkatkan Kecemerlangan Kanak-kanak Di Sekolah
  • Memupuk Tumbesaran Optimum Dalam Kalangan Remaja
  • Petua Keibubapaan Untuk Anak Kekal Sihat
Dr Selva menyatakan bahawa terdapat satu lagi acara utama dalam Bulan Pemerhatian Tumbesaran iaitu Kempen Saringan Tahunan IMFeD For Growth yang bakal berlangsung mulai Ogos hingga November 2023 di semua klinik IMFeD yang disenaraikan di https://clinics.imfed.my/. IMFeD telah menyaring 127,000 orang kanak-kanak sejak tahun 2018.

Majlis pelancaran Bulan Pemerhatian Tumbesaran hari ini menampilkan forum yang membincangkan topik “Masalah bantut dalam Kanak-kanak & Remaja: Semula Jadi atau Dipupuk?” Hos selebriti Daphne Iking menjadi moderator bagi sesi ini di mana pakar IMFeD For Growth berkongsi pandangan dan nasihat yang berkaitan dengan topik perbincangan. Pakar IMFeD For Growth ini terdiri daripada Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik; Prof Dr Firdaus Mukhtar, Pakar Psikologi Klinikal; dan Cik Rozanna M Rosly, Pakar Pemakanan Klinikal.

Comments

Popular posts from this blog

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM

SALAD ATELIER MERAIKAN ULANG TAHUN KE-10 DENGAN MENGADAKAN PROMOSI ISTIMEWA DAN AKTIVITI PENGAKTIFAN SEPANJANG TAHUN

GOLD DIINSPIRASIKAN DARI KISAH BENAR PEMAIN BADMINTON PARALIMPIK, CHEAH LIEK HOU