'PAGARI BULAN' - KISAH KEPERITAN ZAMAN PENJAJAHAN JEPUN DARI MATA HAMBA SEKS WANITA


Pagari Bulan merupakan sebuah filem epik zaman perang yang diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn. Bhd. yang menampilkan  semangat patriotisme dalam memperjuangkan wanita yang bangkit dari penindasan askar Jepun. 


Pengarah Pagari Bulan, Ts Raja Mukhriz telah mempertaruhkan Nazeera Sardi sebagai tunjang utama bagi memegang watak sebagai pejuang yang memartabatkan kaum wanita. Selain itu, filem ini turut dibarisi pelakon hebat tanah air iaitu Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong dan Michael Ang.


Idea filem ini datang dari Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz setelah melihat belum ada genre 'comfort women' yang diketengahkan dalam filem tanah air. Skrip dan lakon layar Pagari Bulan hasilkan oleh Siti Jasmina Ibrahim. 

Kisah berlaku di Kota Bharu Disember 1941, seorang gadis berusia 20an bernama Bulan (Nazeera Sardi), anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu yang cekap iaitu Ismail dan isterinya Hasnah berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan dari arah pantai. 

Penduduk kampung berdekatan Kota Baharu dan kampung lain terpaksa pertahankan kampung mereka dalam apa cara sekalipun, namun di ketika pihak British yang selalunya ada bersama menjaga mereka, telah disingkir keluar, penduduk cemas dan tidak sempat menyusun langkah pertahanan yang teratur. 

Maka ramai yang didera dan dibunuh, dan anak gadis dijadikan sasaran ditahan dan dikurung menjadikan mereka comfort woman atau hamba seks. 


Bulan bersama adik perempuannya,  Kasih dan sahabatnya Sui Li (Trisha Ooi) juga ditangkap. Mereka dikurung dan dipaksa mengikut segala kemahuan seorang wanita yang ditugaskan menjaga mereka iaitu Momosan. Ramai lagi gadis kampung yang dikurung dan ia menyatukan penduduk kampung untuk merancang menyelamatkan anak gadis mereka termasuk Ismail, Ah Leong (Michael Ang) iaitu ayah Sui Li,

Malangnya semasa usaha menyelamatkan, Azu (Andy Teh), orang kanan ketua pemerintah Jepun yang berkuasa di situ iaitu Kuzawa (Alvin Wong) telah berjaya menangkap Ismail dan beberapa orang penduduk dan dihantar ke utara untuk kerahan tahanan membina landasan keretapi. 


Ah Leong dan beberapa orang kampung meneruskan usaha menyelamatkan anak anak mereka. Ramai gadis lalui tekanan perasaan apabila dipaksa memuaskan nafsu tentera Jepun yang ada, termasuk Sui Li dan Kasih. 

Walaupun Kasih tidak dijadikan pemuas nafsu tentera Jepun kerana Momosan tidak mahu perempuan bawah umur, tetapi suasana terkurung menjadikan Kasih sakit dan semakin lemah. Berbeza dengan Bulan yang sejak kecil dilatih oleh ayah menjadi gadis lasak, tangkas bersenjata setiap kali mengikuti ayah berburu di hutan dan kata kata hikmah yang ayah tegaskan kepada Bulan, buatkan walau luarannya lembut gadis Melayu tetapi punya tenaga dan semangat untuk survival yang sangat kental. 

Bulan harus bertahan dan mencari jalan bebas. Daya penarik semulajadi gadis Melayu ini, bukan saja dapat melembutkan hati Momosan tetapi juga menjadi tumpuan istimewa Kuzawa sehingga dia terjaga dari diusik oleh tentera lain. 


Semasa Bulan berjuang untuk terus hidup, muncul seorang leftenan muda, Miura (Aniq Durar) yang ditugaskan ke markas kuasa Kuzawa dengan membawa etika ketenteraan lebih profesional dan menolak nilai keganasan penderaan terhadap penduduk yang dijajah. 

Miura juga seorang yang terpelajar dan telah mengkaji dan mengenali bahasa dan budaya penduduk Tanah Melayu sebelum datang bertugas. Apabila Miura melihat begitu banyak kekejaman yang berlaku, dia tidak sefahaman dan menentang cara Kuzawa. 

Miura juga mengenali kekuatan gadis bernama Bulan ini yang baginya luar biasa bagaimana semangat penduduk di situ dengan Bulan sebagai lambangnya kentalnya hati mereka mahu bebas dari kekejaman dan penjajahan. Miura cuba membantu Bulan secara tidak langsung di belakang pengetahuan Kuzawa sehingga Miura sendiri jatuh cinta dengan Bulan. 

Azu pula dapat menghidu apa yang mahu Miura lakukan. Azu menyerang sesiapa saja yang disyaki berpakat dengan Miura. Ismail walaupun diduga tahanan pekerja landasan keretapi dan menanam periuk api, dia berusaha untuk terus bertahan demi anak dan isterinya. 

Ah Leong yang pada awal seteru dengan Ismail, melupakan pertelagahan mereka, sebaliknya berpakat dengan beberapa penduduk kampung dan Miura untuk banteras keganasan Kuzawa. 

Dia juga mahu pastikan anaknya SUI LI selamat. Malangnya SUI LI terkorban demi keselamatan BULAN dan terbunuh di tangan AZU. 

Miura bersama penduduk kampung jalankan serangan terhadap markas Kuzawa dan dapatkan keadilan buat mereka yang dianiaya. Bulan tidak boleh menunggu lagi, demi cinta Miura terhadap Bulan, dia pasikan Bulan selamat walaupun mereka mungkin tak dapat bertemu lagi. 

Bulan akhirnya berjaya melarikan diri dan berjanji akan kembali membawa bantuan untuk bebaskan yang lain termasuk adiknya Kasih, namun di fasa itu, Bulan sudah mengandung. 


Dan pastinya anak itu dari darah Jepun yang diluar kerelaannya, namun dia tidak sanggup menjadi pembunuh kepada bayi yang tak berdosa itu. Dalam keadaan berbadan dua, dia pulang ke kampung, mencari ibunya namun ibu yang selama ini berdoa anak anaknya selamat, telah menolak kepulangan Bulan yang mengandung kerana malu dengan cemuhan penduduk yang mengatakan anaknya sebagai pelacur tentera Jepun. 

Dengan berat hati dan belajar untuk memahami, Bulan keluar dari kampung dan berkelana membawa kandungannya yang dah sarat. Di saat dia sudah sakit untuk melahirkan anaknya di dalam hutan, Ah Leong yang berjaya selamat dari serangan tentera Jepun, membantu Bulan dan menyambut anak Bulan yang lahir di dalam hutan, semasa bulan purnama yang menerangi mereka. 


ULASAN:

Pagari Bulan mengambil langkah berani dalam memaparkan topik yang belum pernah dikemukakan lagi dalam filem Melayu untuk tayangan umum - comfort woman atau hamba seks wanita yang dipergunakan oleh tentera-tentera Jepun untuk melampiaskan nafsu. Walaupun topik ini agak berani, pendekatan yang digunakan adalah lebih halus dan lebih "artful", tanpa memerlukan adegan seks atau seksaan yang melampau.

Jalan ceritanya mudah, tak banyak plot-plot yang berselirat. Semua pelakon memberikan lakonan yang cukup baik walaupun ada beberapa babak yang menimbulkan rasa janggal kerana pertuturan yang agak perlahan dan tiada "sense of urgency" ketika dalam kecemasan/ serangan Jepun. Namun, itu semua dapat dilupakan apabila muncul adegan kemuncak atau pembalasan memang "menjadi" kerana ramai penonton yang bersorak sambil menepuk tangan apabila melihat Bulan dan bangkit menentang tentera Jepun yang menghambakanm mereka! 
  
Pujian harus diberikan kepada Alvin Wong, Andy Teh dan Chelsia Ng yang menbawa watak antagonis, pihak penjajah Jepun dengan berkesan sekali tanpa menjadikan mereka sebagai karikatur yang "over the top", yang lazimnya terjadi kepada watak-watak "jahat" dalam filem Melayu.

Tahniah kepada pengarah Ts Raja Mukhriz dan penerbit Sharifah Shahora kerana berjaya mengangkat beberapa helai daripada lembaran sejarah negara kita dan menjadikannya sebuah naskah yang menarik, menyayat hati dan membangkitkan semangat!


PAGARI BULAN
Barisan pelakon: Nazeera Sardi, Trisha Ooi, Aniq Durar, Alvin Wong, Putri Irin, Andy The, Wan Azli Wan Jusoh, Michael Ang, Laila Nasir, Chelsia Ng, Hazi Juzaili, Azlan Komeng & Helmy Hakim
Pengarah: Ts Raja Mukhriz
Penerbit: Sharifah Shahora
Syarikat Produksi: Eleven Field Creative Sdn Bhd & Metrowealth
Pengedar:  Metrowealth
Tarikh Tayangan Umum: 5 Oktober 2023

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!