LAFF 2023 KEMBALI DENGAN PILIHAN FILEM DARI SEMBILAN NEGARA RANTAU AMERIKA LATIN


Festival Filem Amerika Latin (LAFF) ialah sebuah acara percuma yang meraikan kekayaan dan kepelbagaian budaya, bahasa dan cerita dari rantau ini melalui filem, yang memaparkan warisan budaya dan industri kreatif mereka. Untuk edisi 2023, LAFF mengalu-alukan kedatangan semula Uruguay dan Venezuela, yang melengkapi penyertaan sembilan negara dalam festival ini.

Edisi ke-21 LAFF akan berlangsung mulai 16 hingga 19 November di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, manakala edisi ketiga festival ini di Pulau Pinang akan diadakan mulai 30 November sehingga 3 Disember di GSC Gurney Plaza.

Untuk tahun ini, pembukaan festival ini dimulakan dengan tayangan khas filem dari Argentina iaitu “Argentina, 1985,” sebuah filem yang mendapat pengiktirafan positif dan telah dicalonkan untuk anugerah Oscars dan BAFTA 2023, serta telah memenangi anugerah Golden Globes, GOYA, dan beberapa Anugerah Platino. Filem fiksyen ini berdasarkan peristiwa bersejarah semasa perbicaraan tentera junta.

Tambahan pula, LAFF akan mempersembahkan filem-filem dari Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico, Peru, Uruguay dan Venezuela, meliputi pelbagai genres seperti komedi, drama, animasi dan dokumentari. Filem-filem ini akan memaparkan aspek-aspek sosial, politik dan budaya setiap negara, di samping penyampaian dan identiti unik mereka. Filem-filem ini diarahkan oleh beberapa pengarah tersohor dan sedang meningkat naik di rantau Amerika Latin.

Antara sorotan dalam festival tersebut adalah:

● The Good Herbs (Mexico): Drama yang menyentuh perasaan tentang seorang wanita yang menghidapi penyakit Alzheimer dan hubungannya dengan anak perempuannya.

● El Beat (Colombia): Kisah yang menarik perhatian mengenai penentangan yang diceritakan melalui muzik.

● The Dolphin, Story of a Dreamer (Peru): Sebuah filem animasi mempesonakan berdasarkan sebuah novel terlaris yang menggambarkan pengembaraan seekor ikan lumba-lumba yang ingin meneroka dunia.

● The Movie Of My Life (Brazil): Sebuah kisah nostalgia kedewasaan berlatarkan tahun 1960-an yang menerokai keluarga, cinta dan identiti.

● Hilda's Short Summer (Uruguay): Drama menyentuh hati tentang kehidupan seorang wanita yang terganggu dengan pengumuman bahawa anaknya akan datang melawatnya selepas beberapa tahun.

● I Am The Earth - Stories from the Southern Edge of the World (Chile): Sebuah dokumentari menakjubkan yang mempamerkan keindahan semula jadi dan kepelbagaian budaya negara Chile.

● The Special (Venezuela): Sebuah drama yang memberi inspirasi tentang kecekalan seorang pemuda yang menghidapi sindrom Down yang ingin dilayan seperti orang dewasa.

● Love In The Dark (Cuba): Tiga kisah cinta gelap bersilang antara satu sama lain pada satu malam di La Habana.

LAFF dianjurkan oleh Kedutaan-kedutaan Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico, Peru, Uruguay dan Venezuela ke Malaysia, dengan sokongan rakan media, Cinema Online.

“LAFF adalah lebih daripada sekadar festival filem,” kata Duta Besar Argentina ke Malaysia merangkap Dekan, Kumpulan Kedutaan GRULAC ke Malaysia, TYT Manuel Balaguer Salas. “Ianya jambatan kebudayaan yang menghubungkan kami dengan masyarakat awam Malaysia. Kami amat berbangga untuk mempersembahkan filem-filem yang mencerminkan identiti, kepelbagaian dan kreativiti kami sebagai Amerika Latin. Kami juga berbesar hati untuk mengalu-alukan semula Uruguay dan Venezuela ke festival ini yang menjadikan perwakilan serantau kami menjadi lengkap. Oleh itu, kami mempelawa semua orang untuk menyertai kami dalam meraikan seni audio visual Amerika Latin. Anda pastinya teruja dengan apa yang anda saksikan dan alami semasa di LAFF!”

Untuk pawagam GSC Mid Valley dan GSC Gurney Plaza di Pulau Pinang, tiket percuma boleh diperolehi 1 jam sebelum masa tayangan setiap filem.

Jangan lepaskan peluang ini untuk menerokai Amerika Latin melalui lensa daripada beberapa orang pengarah filem berbakat dan tersohor. Datang dan nikmati filem-filem ini bersama kami di LAFF di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang!

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!