BURSA MALAYSIA SEBAGAI BURSA PELBAGAI ASET BAKAL JANA PELABUR BARU DALAM PASARAN MODAL
Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) hari ini mengumumkan hasrat atau strateginya untuk merancakkan pasaran modal dengan menyediakan akses lebih meluas bagi menggalakkan penyertaan pelabur menerusi rangkaian pelbagai aset pelaburan baru. Ini sebahagian daripada usaha Bursa untuk memenuhi keperluan pelanggan serta meningkatkan kecairan pasaran, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi selanjutnya.
Komitmen ini disokong dengan pelancaran satu produk serta beberapa platform baru - aplikasi baru untuk pelaburan emas (“Dinar Emas Bursa”); Portal Pelanggan baru (“MyBURSA"); dan platform baru untuk menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga1 (“BURSA REACH”). Kesemua inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, dengan kehadiran pihak berkepentingan pasaran modal, pemimpin korporat, dan rakan kongsi industri, serta kakitangan Bursa Malaysia.
Dalam majlis yang sama, Bursa Malaysia turut memperkenalkan logo yang diperbaharui yang melambangkan transformasinya sebagai sebuah bursa pelbagai aset. Logo baru itu menampilkan reka bentuk kontemporari, dengan simbol progresif ‘B’ dan ‘M’ untuk Bursa Malaysia. Logo tersebut mengekalkan warna biru dan merah, yang diolah daripada bendera negara Malaysia sebagai tanda mandatnya sebagai bursa negara. Biru melambangkan etika, tadbir urus dan prinsip yang membentuk asas Bursa, manakala warna merah terang menggambarkan keberanian dan mementingkan pelanggan dengan semangat inovatif untuk pertumbuhan.
Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “Logo baru Bursa Malaysia menandakan komitmen berterusan yang dimainkan oleh Bursa sebagai pemangkin pertumbuhan dan kemakmuran Malaysia. Terutamanya, persimpangan antara 'B' dan 'M' dalam logo baru ini menandakan penciptaan nilai yang akan terus dibawa oleh Bursa ke pasaran modal, ekonomi dan masyarakat, dalam misi kami untuk mencipta peluang dan mengembangkan nilai."
Menerusi pembentangannya yang menggariskan penambahan kelas aset terkini yang ditawarkan oleh Bursa dan pelancaran platform penyelesaian pelanggan barunya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, “Di Bursa, kami percaya bahawa bersaing sahaja tidak mencukupi, kita harus melangkah ke atas. Kepelbagaian aset akan juga menjana pelanggan baru untuk pasaran modal. Bursa mengubah cara kami mengenali pelanggan dengan mendengar dan membina hubungan yang lebih bermakna dengan mereka.”
Aset pelaburan baru dan penyelesaian pelaburan
Dinar Emas Bursa, platform dagangan emas patuh Syariah, menyediakan para pelabur dengan kemudahan digital untuk melabur emas melalui aplikasi mudah alih. Platform ini terbuka untuk warga Malaysia dan mereka yang menetap di Malaysia yang memenuhi kriteria kelayakan, memberi mereka peluang pelaburan emas yang dipercayai dan terjamin. Selaras dengan tujuan menjadikan pelaburan lebih mudah diakses, Dinar Emas Bursa menawarkan waktu dagangan lanjutan sehingga 11.50 malam, tujuh hari seminggu, dengan nilai permulaan pelaburan serendah RM10.
Pelabur juga akan mempunyai pilihan untuk memindahkan hakmilik emas kepada orang tersayang, dan menebus setiap 4.25gram emas yang dimiliki kepada syiling fizikal yang direka khas dan dihantar kepada pelabur.
“Kami menafikan tanggapan bahawa pelaburan adalah sukar dan mahal, dan pelaburan hanya untuk kumpulan berpendapatan tertentu. Pelaburan adalah untuk sesiapa sahaja tanpa mengira berapa nilai modal permulaan mereka, untuk berkembang dari semasa ke semasa,” tambah Datuk Umar.
Aplikasi Dinar Emas Bursa tersedia untuk dimuat turun melalui Apple App Store (https://apps.apple.com/us/app/bursa-gold-dinar/id6471462061) dan Google Play Store (https://play.google.com/store/apps/details?id=com.bursamalaysia.BGD):
Portal Pelanggan MyBURSA ialah portal web baru yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menawarkan mereka pengalaman individu dalam perjalanan pelaburan mereka. Pada peringkat awal, portal ini menyediakan alat pelaburan yang akan mempermudahkan keputusan pelaburan, di samping memberi akses kepada laporan penyelidikan dan kandungan terpilih yang lain. MyBURSA seterusnya akan berkembang untuk menampilkan kemudahan baru untuk semua segmen pelanggan Bursa Malaysia. MyBURSA boleh diakses di my.bursamalaysia.com.
BURSA REACH pula merupakan platform pemprofilan pertama di Malaysia khusus untuk menghubungkan wakil peniaga (“DR”) dengan para pelabur. Melalui platform ini, DR boleh mempamerkan kemahiran dan portfolio masing-masing. Dari situ, para pelabur boleh memilih dan berinteraksi dengan DR secara langsung untuk menyokong keperluan pelaburan mereka. Platform REACH kini dibuka untuk proses suai tugas (onboarding) DR, dan akan dapat diakses oleh pelabur runcit pada peringkat seterusnya.
Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, “Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak berkepentingan kami – pelbagai Kementerian, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, peserta pasaran, rakan kongsi industri, dan semua pihak yang terlibat dalam usaha kami untuk memajukan pasaran modal Malaysia, dan dalam usaha mencapai misi kami.”
“Kami berharap segala usaha kami pada hari ini dan seterusnya bukan saja akan menyumbang kepada peningkatan kecairan dan kedalaman pasaran, tetapi juga akan menggalakan keterangkuman kewangan dan penjanaan kekayaan, sekaligus mendorong pertumbuhan ekonomi. Kami komited untuk berkhidmat untuk lebih ramai pelanggan menerusi pelbagai kaedah dalam mengendalikan Bursa pelbagai aset yang kompetitif,” tambah Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Sebagai sebahagian daripada misi memperluaskan penawaran pasaran modal dan menyediakan lebih banyak peluang akses, Bursa Malaysia telah melancarkan operasi pasaran karbonnya, Bursa Carbon Exchange (“BCX”), tahun lepas dengan perdagangan kredit karbon, dan kini sedang dalam proses untuk menambah Sijil Tenaga Boleh Baru (“RECs”) menjelang Q3 2024. Platform pengumpulan dana hutang, BR Capital, yang merupakan usaha sama dengan RAM Holdings Berhad, juga telah memulakan operasi pada Disember 2023.
Comments
Post a Comment