EKSKLUSIF: BUKAN SEKADAR FILEM AKSI, 'HUNTER ELEVEN' ADALAH MISI MALAYSIA MENAKLUK SINEMA DUNIA


RM20 juta bukan satu pertaruhan yang kecil. Namun, bagi Hunter Eleven, ia adalah pelaburan wajib untuk meletakkan Kuala Lumpur setaraf dengan hub perfileman antarabangsa. Menghampiri fasa akhir penggambaran, kolaborasi tiga negara iaitu Malaysia, China dan Hong Kong ini sedang membuktikan bahawa sempadan geografi bukan lagi penghalang untuk kita melahirkan karya aksi ketenteraan bertaraf dunia.

Plot filem ini berkisar di Asia Tenggara, dengan Malaysia sebagai latar utama. Jabatan risikan tentera sedang menyiasat kehilangan misteri beberapa anggota elit operasi khas. Petunjuk awal mengaitkan kehilangan itu dengan sebuah organisasi penyelidikan teknologi canggih luar negara.


Konflik ini bukan sekadar hitam dan putih, tetapi kawasan kelabu yang dihuni oleh Sadd dan Noah. Sadd ialah 'senjata' manusia hasil eksperimen gelap yang kini berpaling tadah demi mencari sisa kemanusiaannya. Manakala Noah, yang didorong oleh tragedi keluarga, menjadi bayangan yang mengejar keadilan dengan cara paling radikal. Apabila dua garis takdir ini bertembung, mereka bukan sahaja menyelesaikan sengketa peribadi, malah menentukan sama ada tamadun manusia akan terus bertahan atau hancur bersamanya.


Di barisan pelakon, nama besar dari China, Shi Yanneng, menjadi tumpuan utama. Beliau pernah mencuri perhatian dalam filem Kung Fu Hustle dan Shaolin, dan kali ini tampil sebagai bekas tentera upahan yang penuh konflik dalaman. Shi menyifatkan peluang ini sebagai “takdir” selepas kunjungan santainya ke Malaysia. Demi menjayakan watak tersebut, beliau menurunkan berat badan lebih 10kg untuk mengekalkan fizikal pejuang 70kg, dan bakal beraksi dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris, dan Cina.


Turut bersama ialah pelakon tempatan Sky Iskandar, wajah baharu yang semakin menyerlah di layar perak Malaysia. Beliau mula dikenali melalui filem aksi Kahar: Kapla High Council dan kini diberi peluang beraksi di samping bintang antarabangsa. Sky menyifatkan pengalaman bekerja dengan kru aksi Hong Kong sebagai sesuatu yang “membuka mata”, kerana intensiti produksi memberi dimensi baharu kepada kerjayanya.


Dari Sarawak, Nina Kho tampil berani dengan watak antagonis pertamanya, melaksanakan semua aksi lagak ngeri tanpa bantuan pelakon pengganti. Sebelum ini, Nina pernah membintangi beberapa projek seram dan drama popular seperti Roh 100 Hari (2022), Mar Rak (2023), Honey Trap (2025), dan Kata Hati (2026), menjadikan kehadirannya dalam Hunter Eleven sebagai lonjakan besar ke arah genre aksi berskala antarabangsa.

Barisan pelakon turut diperkukuh dengan nama-nama berpengalaman seperti Steve Yap, menjadikan ensemble ini kaya dengan kepelbagaian bakat.


Di belakang tabir, filem ini digerakkan oleh pengarah Malaysia, Frank See, yang semakin dikenali dengan kepakarannya dalam genre ketenteraan. Beliau sebelum ini mengarahkan beberapa karya aksi yang mendapat perhatian, antaranya Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (2022), War on Terror: KL Anarchy (2023), dan Legasi: Bomba the Movie (2025). Frank See terkenal dengan pendekatan realistik terhadap aksi ketenteraan, dengan penekanan pada koreografi yang teliti dan naratif yang sarat emosi.


Membantu beliau ialah maestro aksi Hong Kong, Stephen Tung Wai, pemenang tujuh kali Anugerah Filem Hong Kong untuk Koreografi Aksi Terbaik, yang memastikan setiap babak pertarungan mencapai tahap dunia.

Menariknya, pihak kami turut diberi peluang untuk melawat salah satu lokasi penggambaran utama, iaitu Depot Koc KTMB. Lebih istimewa, depot ini julung kalinya dipaparkan sebagai set filem – belum pernah digunakan sebelum ini dalam produksi layar perak. Dalam dunia sebenar, depot ini berfungsi sebagai pusat operasi kontena dan kargo, tetapi dalam filem ia diolah sebagai kawasan strategik penuh ketegangan.

Deretan kontena dan jentera berat di ruang luas depot itu menjadi latar dramatik bagi babak aksi tembak-menembak antara protagonis dan antagonis. Lawatan ke lokasi ini memperlihatkan bagaimana produksi Hunter Eleven berjaya menukar ruang logistik biasa menjadi gelanggang pertarungan epik yang mendebarkan.


Lokasi penggambaran lain turut menambah warna pada produksi ini. Adegan awal dirakam di Langkawi, babak aksi utama kini difokuskan di Kuala Lumpur, dan penggambaran dijadualkan selesai di Johor menjelang 20 April 2026.

Dengan pengedaran sudah terjamin di Jerman serta penampilan di Festival Filem Cannes, Hunter Eleven jelas menyasarkan pasaran antarabangsa termasuk Amerika Utara, Eropah, China, Jepun, dan Korea Selatan. 

Di Malaysia, filem ini bakal diedarkan oleh GSC Movies dan dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada suku pertama tahun 2027. Lebih daripada sekadar sebuah filem aksi, Hunter Eleven adalah simbol aspirasi Malaysia untuk berdiri sama tinggi dengan produksi antarabangsa, membawa kisah penuh misteri, dendam, dan penebusan ke layar perak dengan gaya yang memukau.

Comments

Popular posts from this blog

PENJUAL E-DAGANG MEMBANTU RAKYAT MALAYSIA BERSIAP SEDIA MENJELANG AIDILFITRI MELALUI JUALAN AKHIR RAYA

SOARING CREATIVITY: PAVILION HONG KONG MERIAHKAN BOOKFEST @ MALAYSIA 2026