&TEAM PILIH KUALA LUMPUR JADI LOKASI SIRI JELAJAH ‘BLAZE THE WAY’ OGOS INI!
Berita gembira buat semua peminat K-pop tanah air, terutamanya LUNÉ! Kumpulan hallyu global berbakat besar di bawah payung gergasi HYBE, &TEAM, bakal menggegarkan Malaysia buat julung kalinya menerusi siri jelajah konsert sulung mereka, 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR. Dibawa khas oleh penganjur terkemuka iMe Malaysia, konsert yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada hari Rabu, 19 Ogos 2026, bermula jam 8:00 malam bertempat di Idea Live Arena.
Ditubuhkan di bawah label YX LABELS yang bernaung di bawah HYBE, kumpulan antarabangsa ini dianggotai sembilan anak muda berbakat iaitu EJ, FUMA, K, NICHOLAS, YUMA, JO, HARUA, TAKI, dan MAKI. Nama &TEAM itu sendiri membawa simbolik kekuatan sembilan ahli daripada pelbagai latar belakang berbeza yang disatukan oleh simbol ‘&’, sekali gus melambangkan hubungan utuh sesama mereka serta ikatan erat bersama peminat global yang digelar LUNÉ.
Sejak awal kemunculan, &TEAM konsisten mempamerkan versatiliti muzik yang luar biasa menerusi rangkaian siri album ‘First Howling’ (ME, WE, dan NOW) serta single berkonsepkan musim seperti ‘Samidare’, ‘Aoarashi’, dan ‘Yukiakari’. Kehadiran mereka di persada muzik Korea Selatan menerusi album mini debut ‘Back to Life’ turut mendapat pujian meluas, malah berjaya mencatat rekod jualan luar biasa bersama taruhan ‘Go in Blind’ sehingga melangkaui angka satu juta unit. Impak global ini diperkukuhkan lagi apabila lagu utama ‘Back to Life’ berjaya meraih trofi tempat pertama di program muzik popular Korea seperti Music Bank, Show Champion, dan THE SHOW.
Sebagai tanda penghargaan buat sokongan padu para peminat, &TEAM baru sahaja meluncurkan album mini ketiga mereka bertajuk ‘We on Fire’ pada 21 April lepas. Lagu utamanya bukan sahaja mendominasi carta, malah terus menduduki takhta juara di rancangan Show Champion, sekali gus mencetuskan fenomena baharu bersempena dengan pelancaran siri jelajah konsert dunia mereka kali ini. Berita baiknya, peminat di Malaysia bakal merasai sendiri pengalaman visual dan audio bertaraf dunia, lengkap dengan koreografi mantap serta penceritaan unik yang dibawakan khas ke pentas Kuala Lumpur.
Bagi korang yang tidak sabar untuk menyaksikan aksi bertenaga sembilan jejaka ini, butiran penjualan tiket kini sudah pun diumumkan. Proses jualan akan dimulakan dengan pendaftaran LUNÉ Membership di aplikasi Weverse yang dibuka sekarang sehingga Isnin, 8 Jun 2026 pada jam 10:59 malam. Seterusnya, peminat yang berjaya mendaftar boleh menyertai sesi Jualan Pra-Siri LUNÉ Membership pada hari Khamis, 18 Jun 2026, dari jam 12:00 tengah hari hingga 6:00 petang di mana nombor keahlian akan bertindak sebagai kod promo untuk membeli maksimum dua keping tiket. Manakala, jualan terbuka kepada orang ramai pula akan bermula pada keesokan harinya, Jumaat, 19 Jun 2026, tepat jam 12:00 tengah hari menerusi platform rasmi Fantopia.
Harga tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori bagi memenuhi keselesaan peminat. Bagi zon berdiri dan tempat duduk VIP Package, ia dijual pada harga MYR 898, di mana pembeli bertuah bakal menikmati keistimewaan eksklusif seperti akses ke sesi latihan vokal (soundcheck), lanyard berserta laminat, serta set kad foto istimewa mengandungi sembilan keping kad. Kategori lain yang turut tersedia adalah PS1 pada harga MYR 698, PS2 pada MYR 598, PS3 pada MYR 498, dan PS4 pada harga MYR 398. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebarang kemas kini terkini mengenai konsert ini, pastikan korang sentiasa mengikuti saluran media sosial rasmi iMe Malaysia!
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment