DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA
Sebuah keputusan yang dibuat demi menyelamatkan keluarga akhirnya membuka ruang kepada keretakan rumah tangga yang tidak pernah dijangka. Drama terbaharu slot Akasia TV3, Luka Di Hujung Setia, bakal membawakan kisah penuh emosi tentang pengorbanan seorang isteri dan ibu yang sanggup berhijrah ke ibu kota demi kelangsungan hidup, namun tindakan tersebut perlahan-lahan menggugat mahligai yang dibina selama ini.
Merupakan terbitan Country & Universal Sdn Bhd, drama 28 episod ini menampilkan gandingan hebat Dato’ Adi Putra dan Zara Zya sebagai pasangan suami isteri. Drama ini dijadualkan bersiaran mulai 2 Jun 2026, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam di TV3. Naskhah ini turut diperkuatkan oleh barisan pelakon berbakat seperti Irfan Zaini, Cahaya Nilam, Angella Joliey, dan Puteri Khareeza.
Jalan cerita memfokuskan kepada Dhia, lakonan Zara Zya, yang nekad meninggalkan kampung halaman demi membantu suaminya, Irsyad, watak yang dijayakan oleh Dato’ Adi Putra. Irsyad yang kehilangan kerja tetap kini terpaksa bekerja sambilan di sebuah ladang sambil menanggung hutang adiknya. Demi memastikan keluarga mereka terus bertahan, Dhia sanggup berjauhan daripada anak dan suami buat pertama kali untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Kuala Lumpur.
Irsyad merelakan penghijrahan tersebut walaupun keputusan itu mula menguji ketahanan rumah tangga mereka. Tanpa diduga, kehidupan Dhia di ibu kota mula berubah apabila dia semakin rapat dengan pengurus projeknya, Faris, lakonan Irfan Zaini, yang banyak membantunya ketika berdepan tekanan hidup. Dhia tidak menyedari bahawa Faris sebenarnya sudah berkahwin dengan Nuha, watak yang dimainkan oleh Angella Joliey. Hubungan yang pada awalnya sekadar persahabatan akhirnya bertukar menjadi punca badai yang meruntuhkan rumah tangga Dhia dan Irsyad.
Kesan daripada perpisahan tersebut, Irsyad terpaksa membesarkan anak mereka, Aira, seorang diri di kampung sambil memendam luka di hati. Dalam pada itu, kehadiran Zulin yang dilakonkan oleh Cahaya Nilam banyak membantu menguruskan Aira dan memberi ruang baharu buat Irsyad untuk meneruskan hidup.
Menurut Dato’ Adi Putra, watak Irsyad hadir dengan cabaran emosi yang tersendiri kerana dia perlu berdepan situasi rumah tangga yang goyah tanpa ruang untuk meluahkan perasaan. Irsyad bukan seorang lelaki yang melawan dengan kemarahan, sebaliknya dia lebih banyak menanggung, memendam, dan cuba mempertahankan keluarga walaupun dirinya sendiri terluka, menjadikannya sebuah watak yang sangat berat untuk dijayakan.
Sementara itu, Zara Zya menyifatkan watak Dhia sebagai antara karakter paling kompleks pernah dibawanya kerana penonton akan melihat bagaimana tekanan hidup mampu mengubah seseorang. Jelasnya, Dhia bukan seorang wanita jahat, tetapi dia telah membuat keputusan yang salah ketika berada dalam keadaan emosi yang rapuh, yang pastinya akan mencetuskan pelbagai reaksi marah, kecewa, dan simpati daripada penonton.
Luka Di Hujung Setia bakal membuka sisi getir sebuah perkahwinan apabila beban kehidupan dan kesunyian kian menghakis hubungan yang dibina atas dasar cinta. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama penuh konflik ini bermula 2 Jun 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di Slot Akasia TV3.
Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.
.jpg)
Comments
Post a Comment