IKAT 2.0 - TEROKAI KECANTIKAN SENI TENUNAN DAN WARISAN TEKSTIL MALAYSIA


IKAT 2.0, satu platform imersif yang memfokus kepada kelestarian warisan tekstil Malaysia melalui media baharu dan rakan strategik, akan melancarkan program selama setahun yang melibatkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Kuching, bermula hari ini. Acara sulung IKAT 2.0 akan diadakan di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Januari 2024.

IKAT, singkatan bagi Immersive Knowledge dan Textile, bertujuan untuk membangkitkan penglibatan rakyat Malaysia dalam warisan tekstil Malaysia melalui inovasi dan kerjasama strategik dengan artisan tekstil, penggiat seni media baharu, institusi pendidikan dan pakar dalam bidang ini. Melalui usaha berterusan yang mampu memberi nafas baharu, IKAT berhasrat untuk memulihara warisan tekstil, menyemai semangat cinta tradisi dan memperkaya penghargaan terhadap tekstil Malaysia, motif, teknik, serta proses penciptaan dan akhirnya memupuk permintaan yang teguh terhadap khazanah budaya ini.

Berkonsepkan hab pengalaman tekstil timbul (pop-up), IKAT 2.0 akan menampilkan instalasi imersif, galeri tekstil warisan, bengkel praktikal oleh tukang mahir, ceramah informatif dan pertunjukan fesyen. Bermula di Kuala Lumpur pada Januari 2024, IKAT 2.0 bakal meneruskan pengembaraannya ke Pulau Pinang pada April 2024, Terengganu pada Julai 2024, dan berakhir di Sarawak pada Oktober 2024. Setiap edisi menjanjikan tema tersendiri, tekstil warisan yang berbeza, serta artis dan kurator yang berlainan.



IKAT mempunyai komitmen selama tiga tahun. Pada tahun pertama, fokus kami adalah menyemarakkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia, memupuk penglibatan bermakna dengan organisasi akar umbi. Melangkahi ke tahun yang kedua sekarang, kami memperluaskan pengaruh IKAT melalui kerjasama strategik dengan jenama lain dan institusi pendidikan. Matlamat pada tahun terakhir adalah membina rangkaian komuniti warisan tekstil dinamik yang memungkinkan penggiat dan komuniti seni tekstil saling berhubung, bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dan sumber-sumber. Pada masa yang sama, suatu arkib digital akan diwujudkan bagi mendigitalkan tekstil dan motif sebagai usaha untuk mengabadikan inti-pati zaman silam, identiti budaya serta ilmu seni kraf tekstil warisan demi manfaat generasi akan datang, kata Mahesh Naiker, Koordinator Projek IKAT.

“Di zaman ini, banyak tradisi tekstil kita kian pudar dalam lipatan sejarah. Malah, beberapa motif warisan berharga telahpun pupus dan teknik tenunan warisan juga telah hilang setelah merentasi beberapa generasi. Menyedari jurang yang ada Yayasan Hasanah bekerja erat dengan pakar tekstil dalam ruang khusus ini untuk melaksanakan inisiatif seperti pemeliharaan motif warisan Malaysia asli melalui pendokumentasian digital dan perlindungan harta intelek (IP) serta latihan pembangunan kemahiran dalam kalangan belia untuk tekstil warisan seperti seni Kelingkan, Keringkam, Songket dan Telepuk. 

Baru-baru ini, usaha kami dirancakkan lagi dengan Anugerah Benang Emas Hasanah yang meraikan kecemerlangan dan inovasi dalam tekstil warisan tempatan, pembangunan pusat pengalaman tekstil warisan, serta inisiatif terkini kami iaitu kerjasama strategik dengan IKAT 2.0. Melalui pelbagai daya usaha ini bersama rakan-rakan industri, kita dapat mempertahankan seni, warisan dan budaya bernilai kita daripada pupus ditelan zaman, dan pada masa yang sama merancakkan lagi ekonomi kreatif tempatan secara mampan,” kongsi Dato' Shahira Ahmed Bazari, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah.

Jacqueline Fong, Kurator IKAT 2.0 Edisi KL dan Rakan Pengasas Tanoti Crafts.

“IKAT 2.0 Edisi KL merupakan suatu karya indah yang memaparkan pengaruh mendalam daripada hutan hujan tropika terhadap tekstil Sabah dan Sarawak. Tema dan aktiviti interaktif dipilih susun demi memperkenalkan tiga jenis tekstil warisan yang berbeza, setiap satu ditampilkan oleh seorang artisan mewakili sebuah komuniti unik. Kraf tekstil ini merungkai jalinan dengan alam semulajadi dan ekosistemnya, menawarkan sebuah cerita menarik. Kami berharap usaha ini akan memupuk inspirasi dan penghargaan di kalangan ramai terhadap alam sekitar dan biodiversiti yang pelbagai, turut membangkitkan rasa tanggungjawab untuk melindungi dan memeliharanya,”kata Jacqueline Fong, Kurator IKAT 2.0 Edisi KL dan Rakan Pengasas Tanoti Crafts.

IKAT 2.0 EDISI KL: BISIKAN IMPIAN BORNEO

Hab pengalaman tekstil timbul yang pertama untuk IKAT 2.0 diadakan di The Goddown Arts Centre dari 6 hingga 7 Januari 2024 akan menyerlahkan tarikan tekstil artisan Borneo, dengan penumpuan kepada tradisi berabad lamanya dalam tekstil tenunan tangan Iban, Pua Kumbu; sulaman pis oleh suku kaum Rungus, serta warisan penting dan ungkapan budaya masyarakat asli Borneo, seni manik.

Kurasi bagi edisi KL IKAT 2.0 diketuai oleh Jacqueline Fong, pengasas bersama Tanoti Crafts, sebuah perusahawan sosial terkemuka yang komited kepada pemeliharaan kraftangan warisan, memperkasa peranan wanita dan pembangunan komuniti luar bandar.


Sorotan Pusat Pengalaman IKAT 2.0 x KL adalah seperti berikut: -

● Instalasi Imersif “Dreamweavers”: Merangkumi kawasan seluas 480 kaki persegi, ‘Dreamweavers’ menjemput masyarakat untuk melangkah ke dalam alam yang berdinamik dan penuh bersemangat terinspirasi dari impian artis Borneo. Rasai semangat teguh dari tenunan yang mahir dan keindahan seni terselit dalam setiap penciptaan tekstil.

● Galeri Tekstil dan Demonstrasi Langsung Pua Kumbu, Sulaman Pis, dan Karya Seni Manik:
Sertai pengalaman langsung di pameran untuk menghargai kreativiti dan kehalusan tekstil etnik secara mendalam. Jangan lepaskan demonstrasi langsung Pua Kumbu, sulaman pis, dan manik untuk menyaksikan kebangkitan warisan budaya, di mana setiap tenunan dan manik mempunyai cerita serta kesinambungan kraftangan.

● Bengkel Amali oleh Artisan: meneroka keindahan sulaman pis dengan Crisna binti Mojupi dari Kampung Lompozou, Sabah, yang diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Sulaiman Pis pada tahun 2022 atas kesungguhan dalam memelihara kraf warisan tidak ketara ini. Ungkapkan teknik tenunan Pua Kumbu dengan Helen Manjan anak Atong dari Kapit, Sarawak, mewakili generasi ketiga adiguru dari komuniti Rumah Gare yang amat dihormati. Ketahui rahsia karya manik Borneo dengan Lucille Awen Jon dari Kuching, Sarawak, yang diakui sebagai Adiguru Muda dalam Manik Tradisional Bidayuh oleh Majlis Kraf Dunia Rantau Asia Pasifik.

● Sesi Bual Bicara: Perbincangan yang menarik diketuai oleh Crisna binti Mojupi, Helen Manjan anak Atong dan Lucille Awen Jon di mana mereka akan berkongsi pandangan dan kepakaran dalam tekstil warisan.

● Pertunjukan Fesyen: Pertunjukan fesyen eksklusif yang menawarkan perspektif kontemporari terhadap tekstil warisan seiring dengan budaya Borneo pada 7 Januari 2024. Pertunjukan ini yang menggabungkan idea dan usaha lebih daripada 20 orang pereka fesyen muda bakal menjadi pameran visual yang memukau. Acara ini merupakan usaha kolaborasi dengan Universiti Limkokwing of Creative Technology dan dirancang oleh Dato’ Tiffanee Marie Lim.

Dalam bidang penerokaan budaya Asia, IKAT 2.0 merupakan satu-satunya acara pengalaman yang menyepadukan tekstil warisan dengan pengalaman interaktif. IKAT 2.0 diterajui oleh Experiential Design Team (EDT) - sebuah studio kreatif yang pakar dalam realiti maya, realiti tambahan, serta realiti campuran dan dikuasakan oleh Yayasan Hasanah berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Berhad, dana kekayaan berdaulat Malaysia. IKAT 2.0 turut dapat direalisasikan dengan kerjasama daripada Filamen, Limkokwing University of Creative Technology, Tanoti Crafts, The GoDown Arts Centre dan RUBIX Communications.

Kemasukkan ke hab pengalaman tekstil pop-up IKAT 2.0 adalah percuma. Untuk maklumat lanjut mengenai IKAT 2.0, sila layari https://ikatmalaysia.com/ atau ikuti Instagram @IKATMalaysia.

Comments

Popular posts from this blog

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM

VAKSIN DENGGI QDENGA® TAKEDA DILANCARKAN DI MALAYSIA BAGI KEGUNAAN INDIVIDU BERUSIA 4 TAHUN DAN KE ATAS