BAKAL BERGELAR AHLI POLITIK, ONCE PASTIKAN KONSERT TRIO TERHEBAT BERSAMA MARCELL & BAMS SAMSONS GAH


Pertama kali hadir ke Malaysia berkolaborasi bersama dua teman vokalis yang sudah punya tanda dagang terkenal lewat magis suara masing-masing, ada keterujaan yang disimpan Once Mekel.
Once Mekel akan berkolaborasi bersama Bams Samsons dan Marcell lewat Konsert Trio Terhebat Vol. 1 yang dibawakan oleh Arena Muzik bersama sokongan Icon Entertainment.

Penyanyi berusia 53 tahun itu mahu memastikan perkongsian pentas mereka bertiga akan memberi kepuasan kepada peminat.

“Saya cukup teruja untuk berkongsi pentas Trio Terhebat bersama Bams Samsons dan Marcell. Jadi saat dilamar sahabat yang sangat saya percayai, Iman Tang dari Icon Entertainment saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan konsepnya.

“Seingat saya, saya pernah membuat persembahan bersama Marcell di Indonesia tetapi belum pernah dengan Bams.

“Tentu ini (Trio Terhebat) akan menjadi sebuah konsert yang menarik dengan setiap kami mungkin menghadirkan sekitar lapan sehingga 10 lagu.

“Setelah itu saya juga bakal punya kesempatan membuat persembahan dengan band Marcell dan Bams Samsons,” kata penyanyi kelahiran Makkasar ini.

Selain perdana kali sepanggung dengan Marcell dan Bams Samsons yang belum pernah dikongsi meski di negara kelahiran mereka, Malaysia, Once mahu pendengar dan peminat mengenalnya sebagai sosok solois berdiri di atas nama Once Mekel, bukan vokalis Dewa 19.

Sedar bahawa namanya dan Dewa 19 tidak akan dapat dihapus dalam sejarah namun Once mahu peminat yang bakal hadir ke Konsert Trio Terhebat pada 4 Mei 2024 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre juga akrab dengan tembang hit miliknya sendiri.

“Apa yang pasti saya akan mendendangkan untaian lagu dari album-album solo Once Mekel.

“Akan saya dendangkan Dealova, Matilah Kau, Simfoni Indah dan Ku Cinta Kau Apa Adanya,” kata Once.

Vokalis yang terkenal dengan nada suara tinggi itu bagaimanapun tidak keberatan jika pihak penganjur iaitu Icon Entertainment mahu dia membawakan lagu Dewa 19.

“Namun secara peribadi saya tidak berhasrat membawa lagu-lagu dari Dewa 19. Tergantung permintaan (penganjur),” ujar Once lagi.

Ironi ketidakmahuan Once membawakan lagu-lagu Dewa 19 adalah kerana dihalang pengasas band fenomena itu, Ahmad Dhani. Dhani melarang membawa lagu-lagu Dewa 19 dalam persembahan solo Once kerana perihal royalti.

Mengulas mengenai isu tersebut, Once menyifatkan untuk kes bersama Dewa 19, Dhani wajar dan berhak ke atas karya yang dihasilkan.

“Cuma secara peribadi menurut saya jika seorang komposer menghalang penyanyi dengan lagu yang dibikin khas buatnya mendendangkan ia dalam persembahan, itu jadi tidak wajar.

“Soalnya isu royalti adalah antara pencipta dengan penganjur bukan bersama penyanyi. Penyanyi hanya menyampaikan karya yang dibikin buat mereka,” ulas Once.

Belantika Muzik Ke Dunia Politik

Sementara itu bercakap mengenai percubaan perdananya masuk ke dunia politik menerusi pencalonan dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat pada Pemilu 2024, ada harapan besar yang disandarkan Once.

Once yang merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Indonesia berharap agar dapat memperbaiki sturuktur dalam dunia muzik selain membantu masyarakat dalam kelangsungan hidup sehari-hari.

Sementelah sejak sekian lama sudah ramai rakan seangkatan dari dunia seni terjun ke dunia politik dan bersama mereka, Once mahu mencetuskan sesuatu yang lebih baik dan positif untuk industri kreatif Indonesia.

“Saya mahu memperjuangkan isu berkaitan artis mengenai hak cipta serta undang-undang. banyak perlu diperjuang terutama dari segi hak cipta dan undang-undang untuk terus membangunkan industri kreatif Indonesia.

“Dan selain itu saya mahu mendengar serta membantu masyarakat. Saya lebih senang anggap diri wakil rakyat daripada ahli politik kerana mahu dekat dengan rakyat,” katanya.

Kini Once berdebar menanti keputusan sama ada dirinya lolos atau tidak menerusi keputusan pada 20 Mac depan.

“Setidaknya saya mahu dikenali sebagai wakil rakyat dengan imej bersih dan boleh dipercayai,” katanya yang masuk bertanding pada Februari lalu.

Meski mungkin akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai wakil rakyat, Once mengatakan sama sekali tidak akan meninggalkan dunia seni terutama sebagai penyanyi.

Justeru dia berharap agar peminat tidak lupa hadir menyaksikan Konsert Trio Terhebat 1.0 bersama Marcell dan Bams di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Mei 2024 ini.

Tiket-tiket dengan nama Kenangan Terindah ·MYR 1388.00 ; Dealova · MYR 558.00 ; Akhir Rasa Ini · MYR 458.00 ; Hilang Naluri · MYR 358.00 ; Semusim (S1) · MYR 308.00 boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.

Pemegang kad kredit Maybank akan menerima potongan harga sebanyak 12 peratus. Manakala pemegang kad debit Maybank pula menerima potongan harga 10 peratus.

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI