BSN DAN PAYHUNTER PERKENAL BAYARAN TANPA TUNAI DI 24 LOKASI BAZAR RAMADAN DI KUALA LUMPUR


Dalam menyokong perniagaan digital, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah bekerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) untuk memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox, terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai bagi peniaga gerai bazar Ramadan. 

Pelancaran ini sejajar dengan rancangan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). BSN DuitNow QR Soundbox kini tersedia dan diaktifkan penggunaannya di 24 lokasi bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur sekaligus memberi manfaat kepada para peniaga gerai dan pengunjung bazar Ramadan. Penggunaan terminal ini adalah selaras dengan kejayaan program #TechMeToBazaar pada tahun lepas di bazar Ramadan TTDI yang mana ia bukan sahaja mempamerkan komitmen BSN dan PayHunter meningkatkan landskap perdagangan digital malah turut sama memperkasakan kebolehupayaan digital bagi PMKS. 


Program ini dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang turut menyaksikan pelancaran Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pertama dengan fungsi pembayaran menerusi Kad oleh BSN dan PayHunter. 

Pelancaran produk digital ini bertujuan untuk membantu para peniaga dengan menyediakan akses pantas, selamat dan terus ke akaun mereka tanpa kerumitan mengendalikan wang tunai. BSN dan PayHunter juga telah bekerjasama untuk menawarkan peniaga bazar Ramadan sama ada baharu dan sedia ada peluang untuk menjadi pedagang BSNeBiz. 

Lebih istimewa, kesemua peniaga bazar Ramadan di 24 bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma. Penggunaan peranti ini bakal memudahkan operasi peniaga di samping menjanjikan transaksi yang selamat. Sementara itu, Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pula akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini. BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu di mana peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannya menjana kod QR secara automatik. Pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran. 


Yang Berbahagia Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, “Saya bangga dan gembira melihat usaha peniaga-peniaga meningkatkan kemahiran diri sedia ada. Mereka mempelajari dan mengambil kira kehendak pelanggan mereka yang inginkan transaksi mudah dan lancar dalam setiap transaksi, termasuk untuk sekecil-kecil pembelian di bazar Ramadan. Ini merupakan perkembangan positif dalam memperkasakan lebih banyak PMKS dan PKS mengguna pakai penyelesaian digital, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia kini mengamalkan gaya hidup digital.” 

Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN, mengulas, “Kerjasama dengan PayHunter membuktikan komitmen kami terhadap peningkatan produktiviti dan pertumbuhan perniagaan dalam kalangan PMKS menerusi transformasi digital. Pengenalan peranti ini adalah ciri yang memudahkan lagi proses pembayaran. Sebagai sebuah institusi kewangan yang dimandatkan, kami komited dalam memperkasakan PMKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka sekaligus menyumbang kepada perkembangan ekonomi lebih inklusif.” 

Menurut Jenson Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Hunter, “Selepas kejayaan bazar Ramadan tahun sebelumnya dan minat rakyat Malaysia yang semakin meningkat dalam transaksi tanpa tunai, PayHunter telah mengambil inisiatif untuk menawarkan peniaga cara yang lebih selamat dan pantas untuk menerima bayaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada BSN sebagai penaja kami, pengenalan Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox dengan fungsi pembayaran menerusi Kad dan BSN DuitNow QR Soundbox menjadi kenyataan dan dijangka memberikan ketenangan fikiran kepada peniaga semasa menjual produk mereka.” 

Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersial PayNet, berkata, “Kami komited dalam memastikan perdagangan yang lebih mudah dan lancar bagi semua rakyat Malaysia, terutamanya PMKS yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Sokongan kami terhadap inisiatif BSN DuitNow QR Soundbox mencerminkan dedikasi kami dalam memperkasakan perniagaan dengan sistem e-pembayaran yang lebih diperkemas, mudah dan cekap. Menerusi platform yang inovatif, kami memperkenalkan lebih dari teknologi; kami mewujudkan peluang bagi perniagaan untuk berjaya dalam ekonomi digital. Bersama-sama, kami mengubah perdagangan supaya ia lebih menyeluruh, progresif dan bermanfaat buat orang ramai, sekaligus membentuk masa hadapan dengan urusniaga yang meningkatkan penyertaan ekonomi oleh semua.” 

Philippe Buriot, Ketua Pegawai Eksekutif MY Evolution, berkata “Sebagai seorang penggemar teknologi, saya gembira menjadi sebahagian daripada projek ini bersama PayHunter dan BSN untuk menyokong dan menyediakan peniaga gerai dengan kad SIM MY Evolution IoT. Ia bukan sahaja dilengkapi dengan mekanisme pelindungan keselamatan yang canggih tetapi juga menyediakan pengalaman sambungan yang terbaik kepada peniaga Malaysia.” 


Untuk maklumat lanjut mengenai terminal pembayaran, anda boleh layari laman Facebook PayHunter https://www.facebook.com/payhunter.com.my atau hubungi: Brandon Wong di brandon@tech-hunter.com.my.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3