DI PERSEMBUNYIAN - ALBUM PERDANA DUO FOLK POP SATWO MEMBAWA ‘ROLLERCOASTER’ MUZIK DAN EMOSI


Satwo, kumpulan indie-folk yang sedang naik daun, dengan bangga mengumumkan pelancaran album pertama mereka yang berjudul Di Persembunyian di bawah bimbingan syarikat rakaman tersohor Malaysia, Luncai Emas. Setelah empat tahun penantian yang penuh suspen, album yang dijelaskan oleh Maz sebagai ‘rollercoaster’ dan Rafiz sebagai ‘eccentric’ ini, dengan kerjasama Muzium Muzik dan Jabatan Muzium Malaysia, akhirnya sedia untuk dilepaskan ke dunia luar dan didengari khalayak ramai. 

Ketika ditanya mengenai konsep album ini, Maz menerangkan, "Bagi Maz, album ini seperti 'anthology' kerana setiap lagu memiliki ‘mood’ dan nuansa yang berbeza. Kami cuba membawa pendengar dalam perjalanan yang tidak terduga." 

Rafiz menambahkan, "Mesej yang ingin disampaikan secara umum ialah ‘cinta’; itulah suasana proses awal penulisan lagu-lagu dalam album ini yang membuat kami memilih 'Di Persembunyian' sebagai judul album ini. Ia seolah-olah 'bunyi yang bersembunyi’ seperti ‘perasaan yang bersembunyi’”. 

Turut diumumkan, Satwo akan melancarkan single ke-4 mereka, 'Betapa Indah', seiring dengan pelancaran album ini. 

Ilham, vokalis dan pemain gitar untuk kumpulan Pitahati, yang bertindak sebagai penerbit untuk album ini, menyampaikan perasaannya, "Album ini boleh dikatakan seolah ‘anak’ saya juga dan ia agak penting bagi saya sebab dalam kerjaya saya, ini album pertama yang saya terbit sepenuhnya. Album ini 'special' sebab dia ada nilai-nilai eccentric di dalam keindahan. Dalam proses pembikinannya saya cuba untuk mengeluarkan unsur-unsur tersebut yang ada pada karekter mereka berdua dan menyuluhkannya dalam lagu mereka. Pada pendapat saya, mereka berdua sebagai pasangan merupakan pencipta lagu yang sangat unik dan bagus. Mereka mempunyai identiti dan gaya tersendiri. Impak album ini di dalam scene music tempatan saya sendiri tak dapat nak ramal, tetapi yang penting kami telah mencurahkan segala yang boleh dicurahkan ke dalam album ini dan saya gembira akhirnya ia dapat dilepaskan ke orang ramai." 


Maz dan Rafiz turut berkongsi pengalaman mereka, "Kami sangat berbesar hati dapat bekerja dengan Ilham, seorang kawan lama. Sebelum menandatangani kontrak dengan Luncai Emas, kami berbicara dengan Ilham dan menyatakan keinginan kami untuk merakam album ini dengan piano akustik, dan Ilham memenuhi janji tersebut dan saya dapat juga merakam dengan piano Dato' M Nasir di Studio Ronggeng." 

"Untuk penulisan lirik, saya banyak menulis berdasarkan pengalaman orang sekitar dan mungkin ada sedikit elemen pribadi. Saya masih belajar untuk menulis lirik, bereksperimen di sana-sini, jadi jika ada hal yang tidak masuk akal dalam lirik saya, harap dimaklumi.” kata Rafiz dengan senyuman. 

Mengenai proses senireka album, Maz menceritakan, "Ini adalah kolaborasi antara kami, Ilham, dan Shah Azman, seorang 'specialist conceptual photographer' yang melakukan art direction/shoot untuk Ana Abu. Kami bersama-sama dengan Shah Azman untuk memastikan tema album kami sesuai dengan konsep album ini." 

Rafiz menambah, "Secara simbolik, beg merah yang saya bawa adalah album kami. Ada beberapa simbolisme lain dalam album ini yang akan kami simpan sebagai kejutan." 

Maz mengungkapkan, "Perasaan ini seperti 'anticipation', tapi ada ketakutan juga jika ada yang mengatakan, 'Lah, tunggu bukan main lama, ini je hasilnya?'." 

Rafiz menambahkan, "Berdebar-debar sebab akhirnya album ini berjaya terbit dan berada dalam tangan. Aku harap album ini dapat tempat di hati pendengar dan peminat yang selalu bertanya, 'Bila album nak keluar?' Terimalah 'Di Persembunyian,' anak sulung kami." 

Album Di Persembunyian di bawah bimbingan Luncai Emas dijangka untuk memberikan pengalaman mendalam kepada pendengar dengan campuran rollercoaster emosi dan pesanan cinta yang mendalam. Satwo mengundang semua pencinta muzik dan peminat untuk hadir dalam pelancaran album dan sesi dengar lagu eksklusif mereka. Jangan lepaskan peluang untuk merasai persembahan langsung mereka dan menyambut kedatangan 'Di Persembunyian.’

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!