FORUM OFTALMOLOGI WANITA PERTAMA DI MALAYSIA SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA
Komuniti oftalmologi di Malaysia memulakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa dengan Forum Oftalmologi Wanita Malaysia yang pertama, bertajuk ‘Empowering Visions’. Forum anjuran Roche Malaysia Sdn Bhd itu memfokuskan kepada sumbangan wanita dalam penjagaan kesihatan, khususnya dalam bidang oftalmologi, selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa 2024 – ‘Inspiring Inclusion’. Roche Malaysia merupakan sebuah syarikat penjagaan kesihatan multinasional.
Menurut kajian baru-baru ini, walaupun kita sedang menuju ke arah kesaksamaan gender, namun kenaikan peratusan wanita dalam bidang oftalmologi tidak setara dengan kenaikan perwakilan mereka dalam jawatan kepimpinan. Sebaliknya, wanita membentuk hanya 25 hingga 30 peratus daripada pakar oftalmologi di peringkat global, dengan perwakilan yang lebih rendah dalam jawatan kepimpinan dan sub-pengkhususan pembedahan.
Forum itu dikendalikan oleh Freda Liu dari The Shift Asia, dan menampilkan ahli panel termasuk Datuk Dr. Nor Fariza binti Ngah (Timbalan Pengarah Kesihatan, Penyelidikan & Sokongan Teknikal, Kementerian Kesihatan Malaysia), Dr. Tara Mary George (Pusat Perubatan Sunway) dan Dr. Shamala Retnasabapathy (Hospital Sungai Buloh). Acara dimulakan dengan ucapan dari Choong Mei Chen (Ketua Unit Oftalmologi untuk Roche Malaysia, Vietnam, Filipina dan Indonesia).
Pelbagai topik perbincangan telah dikemukakan, termasuk menembusi halangan, menangkis stereotaip, penjagaan pesakit, kepentingan kemahiran interpersonal, kepentingan pendidikan berterusan, serta pembangunan profesional wanita dalam bidang perubatan.
Datuk Dr. Nor Fariza memulakan perbincangan dengan berkongsi bagaimana wanita mampu menawarkan perspektif unik dalam perubatan. “Wanita membawa perspektif unik yang mampu memperkaya profesion ini serta menambahbaik penjagaan pesakit. Disebabkan bidang ini amat menitikberatkan empati, komunikasi dan ketelitian, kekuatan semula jadi yang wujud dalam diri wanita menjadikan mereka penyumbang yang penting. Selain itu, perwakilan yang pelbagai dalam bidang ini memastikan sistem penjagaan kesihatan serasi dengan pelbagai keperluan pesakit yang khusus untuk wanita. Dengan memperjuangkan pemerkasaan wanita dalam oftalmologi dan penjagaan kesihatan, kami bukan hanya memacu kesaksamaan gender, tetapi juga meningkatkan kaliber dan kecekapan penyediaan penjagaan kesihatan untuk semua,” tegas beliau.
Turut berkongsi sentimen yang sama ialah Dr. Tara, yang membincangkan kepentingan wanita dalam perubatan dari segi penjagaan pesakit dan hubungan interpersonal. “Dalam bidang oftalmologi, di mana pesakit sering menghadapi kebimbangan tentang penglihatan dan kesejahteraan, pendekatan belas kasihan yang sering dikaitkan dengan wanita, boleh menambahbaik penjagaan pesakit dengan ketara. Melalui komunikasi dan sikap penuh empati, boleh mengurangkan ketakutan, menerangkan pelan rawatan, menangani kebimbangan pesakit dengan lebih sensitiviti dan timbang rasa, seterusnya memupuk persekitaran positif di mana pesakit berasa dihargai dan didengari,” kata beliau.
Kedua-dua hujah itu juga disokong oleh Dr. Shamala, tambahan beliau, “Sokongan keluarga adalah penting dalam mencapai keseimbangan baik dari segi pekerjaan dan juga kehidupan, bagi memperkasakan wanita dalam pembangunan profesional mereka. Apa yang tidak boleh diabaikan ialah pendidikan berterusan dan pembangunan profesional, termasuk peka dengan perkembangan terkini dalam oftalmologi. Ia mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penjagaan terbaik kepada pesakit sambil menyumbang kepada kemajuan dalam bidang ini secara umumnya. Malah, ia juga menunjukkan bagaimana kami boleh membuka jalan untuk keterangkuman, kepelbagaian dan kemajuan lebih besar dalam profesion ini.”
“Sebagai seorang pemimpin dan wanita dalam bidang oftalmologi, saya didorong oleh visi untuk memupuk persekitaran yang inklusif di mana wanita mampu benar-benar berkembang, serta menyumbang perspektif unik mereka,” kata Choong Mei Chen. “Inisiatif seperti Forum Wanita dalam Oftalmologi menunjukan komitmen tidak berbelah bahagi kami untuk memperjuangkan kepelbagaian dan keterangkuman. Ia menyampaikan mesej sokongan dan pemerkasaan yang kukuh. Bersama-sama, marilah kita mencabar status quo dengan penuh keberanian, menembusi halangan, dan membuka jalan untuk masa hadapan di mana setiap individu, tanpa mengira gender, dapat menikmati peluang yang adil dan saksama,” ulas beliau.
Sungguhpun wanita terus menghadapi pelbagai rintangan, semua pakar yang hadir sebulat suara mengiktiraf sumbangan penting mereka dalam bidang oftalmologi, serta menegaskan kepentingan untuk meningkatkan suara wanita dalam penjagaan kesihatan, memupuk persekitaran yang kondusif untuk kerjasama, persahabatan, kepercayaan dan pemahaman di antara satu sama lain.
Ketika seluruh dunia meraikan Hari Wanita Antarabangsa, forum ‘Empowering Visions’ menjadi satu tonggak yang melambangkan kemajuan dan keterangkuman dalam masa depan penjagaan kesihatan. Dengan memperjuangkan penyertaan wanita dalam bidang tersebut, Roche berusaha membuka jalan ke arah dunia yang lebih saksama, di mana setiap individu, tanpa mengira gender, diberikan peluang dan penghormatan yang sama.
Comments
Post a Comment