PENYAMPAIAN EMOTIF AINA ABDUL DALAM LAGU 'KEMBARA NABAWI' MENGHORMATI WARISAN NABI MUHAMMAD
Baru sahaja menggondol anugerah Vokal Terbaik dan tempat ketiga di acara berprestij Anugerah Juara Lagu ke-38, penyanyi berbakat besar Aini Abdul muncul pula dengan sebuah karya kerohanian berjudul 'Kembara Nabawi'.
Menariknya kali ini, lagu ini bukan ciptaan atau tulisan Aina sendiri tetapi ia dicipta oleh Anep Otwo, Alan Otwo dan FJ Muzik dengan lirik sentuhan FJ Muzik juga.
Seperti judulnya, lagu serta penulisan karya ini mengangkat kisah perjuangan serta kehidupan tokoh junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad Rasulullah SAW dalam menegakkan Islam.
"Untuk lagu ini saya Anep Monosterio dan Alan Monosterio merasakan sesuatu yang luar biasa dari segi penyampaian serta vokal Aina , ini kerana Aina mempunyai kebolehan menyampaikan lagu ini dengan penuh ikhlas sambil mampu menceritakan kisah di sebalik lirik tersebut. Aina seorang penyanyi yang sangat luar biasa dan semestinya kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi yang sememangnya sangat dikenali di Malaysia," ujar Anep Otwo selaku salah seorang pencipta lagu ini.
Malah, untuk menghasilkan karya ini, terdapat beberapa rujukan yang perlu dilakukan terlebih dahulu.
"Dari segi penulisan lagu ini, ia ditulis oleh saudara FJ Muzik dan semua ini datangnya dari hasil membaca kisah Rasulullah SAW, tapi dalam masa yang sama agak susah untuk kami singkatkan dan menjadikannya sebuah lirik yang lengkap dan mahu setiap patah kata dalam lirik ini menjadi padat serta pendengar dapat merasai kisah di dalam lirik ini. Moga lagu serta penulisan ini akan membuatkan kami serba sedikit tahu secara ringkas tentang perjalanan dan kehidupan Nabi Muhammad SAW," tambah Anep lagi.
Lagu ini juga ditampilkan dengan sebuah video muzik dan telah dilancarkan bersama pada 8 Mac 2024 jam 12 pagi waktu Malaysia.
‘Kembara Nabawi’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.
Comments
Post a Comment