STUDY MELBOURNE HUB KUALA LUMPUR KEMBALI BEROPERASI DI LOKASI BERWAJAH BAHARU, MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN VICTORIA


Kerajaan Victoria, melalui inisiatif pendidikan antarabangsanya, Study Melbourne, mengumumkan kejayaan pembukaan semula Study Melbourne Hub Kuala Lumpur. Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada pelaburan berterusan dalam inisiatif Study Melbourne Hubs yang dilaksanakan khusus untuk menggalakkan hubungan Victoria dengan pelajar antarabangsa dan mempromosikan kepimpinan Victoria dalam bidang pendidikan dan latihan antarabangsa serta penyelidikan dan inovasi.

Terletak di tingkat satu pusat beli-belah Jaya One, Petaling Jaya, hab yang rancak ini melalui penambahbaikan yang ketara sejak pelancaran awalnya pada 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19. Membuka semula pintunya secara rasmi kepada orang ramai, premis yang kini berwajah baharu itu dihiasi dengan unsur-unsur yang diinspirasikan dari wilayah Victoria. Ruangnya yang diubah suai menempatkan sebuah bilik mesyuarat, ruang acara pelbagai guna dan meja terbuka, mengembalikan memori pengunjung kepada daya tarikan unik Melbourne dan tempat-tempat ikonik di wilayah Victoria.

Lebih daripada sekadar sebuah ruang fizikal, Study Melbourne Hub Kuala Lumpur merupakan pusat untuk mendapatkan sumber dan maklumat tentang kursus di luar negeri bagi pelajar-pelajar Malaysia yang memilih untuk belajar dan tinggal di Victoria. Ia juga merupakan tempat khusus untuk memupuk hubungan, menghubungkan pelajar dan alumni yang berkongsi latar belakang sama dalam aspek pendidikan di Victoria. Hab ini juga berfungsi sebagai ruang komuniti yang dinamik, menyediakan alumni, bakal pelajar dan pelajar sedia ada dengan persekitaran yang menarik dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan mereka.

Acara pelancaran yang berlangsung dihadiri oleh rakan kongsi utama, ejen pendidikan, pihak-pihak berkepentingan, pegawai kerajaan dan wakil dari sektor pendidikan, diadakan untuk meraikan kejayaan penting inisiatif Study Melbourne Hubs yang merupakan rangkaian global hab-hab di Victoria, Shanghai, Ho Chi Minh City, Asia Selatan dan Amerika Latin. Victoria terus menjadi rakan kongsi pendidikan dan latihan utama di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara, di samping kekal komited kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang berminat untuk belajar di wilayah tersebut.


Ketua Pos Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Victoria Asia Tenggara, Georgina McCann, berkata, “Study Melbourne Hub Kuala Lumpur mengukuhkan iltizam teguh Kerajaan Victoria terhadap strategi pendidikan antarabangsanya. Ia menandakan usaha sama untuk mengeratkan hubungan antara institusi dan mengukuhkan lagi kedudukan Melbourne dan Victoria sebagai destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa.”

“Melbourne ialah bandar pelajar utama Australia dan hab ini memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kekitaan dan menyediakan maklumat yang berguna untuk pelajar-pelajar antarabangsa”, katanya.

Pembukaan semula hab di Kuala Lumpur ini menandakan permulaan usaha yang mengujakan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Victoria. Tetamu-tetamu dan pihak berkepentingan yang hadir menzahirkan keyakinan mereka terhadap potensi hab ini dalam meningkatkan kerjasama silang budaya, mengukuhkan hubungan pendidikan dan menyumbang kepada pengantarabangsaan sektor pendidikan Victoria.

"Australia dan Malaysia akan meraikan 70 tahun kehadiran diplomatik Australia di Malaysia pada 2025. Dalam hal ini, Australia mempunyai hubungan yang panjang dan mendalam dengan Malaysia yang merangkumi bidang perniagaan, pendidikan dan manusiawi. Dengan rekod kerjasama dan pertukaran budaya yang kaya, inisiatif Study Melbourne Hub ini menjadi komitmen bersama kami dalam menggalakkan peluang pendidikan dan hubungan kebudayaan. Kami mengiktiraf sumbangan besar alumni institusi pendidikan Australia di Malaysia kepada hubungan dua hala yang terjalin selama ini. Oleh itu, kami bertekad untuk terus memupuk komuniti yang berkembang maju ini dan menjalinkan hubungan berkekalan antara negara kita,” kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Puan Yang Terutama Danielle Heinecke.

"Kami memuji usaha sama Study Melbourne Hub KL untuk mengadakan kerjasama global dan memupuk perkongsian antarabangsa melalui ruang fizikal ini. Perkongsian berterusan kami dengan institusi Victoria yang dihormati menyerlahkan komitmen kami untuk menyediakan peluang pendidikan bertaraf dunia kepada pelajar kami. Study Melbourne memainkan peranan penting dalam memudah cara kerjasama ini, mengukuhkan hubungan rakyat kedua-dua negeri, di samping mencapai kecemerlangan pendidikan,” kata Pengarah Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Selangor, Prof. Madya Dr. Astri Yulia.

Sementara itu, McCann turut menggalakkan ejen pendidikan serta wakil-wakil universiti untuk meneroka peluang kerjasama dan mengukuhkan lagi usaha sama sedia ada yang selari dengan strategi pendidikan antarabangsa Study Melbourne.

Study Melbourne Hub Kuala Lumpur boleh dimanfaatkan oleh institusi pendidikan Victoria dan penyedia latihan, pihak berkepentingan sektor, pendidik dan syarikat-syarikat Victoria (termasuk syarikat teknologi pendidikan) untuk menjadi tuan rumah dan menganjurkan aktiviti serta acara untuk menyokong libat urus dalam kalangan pelajar dan rakan kongsi antarabangsa.

Hub ini yang beroperasi semula pada 1 Mac 2024, membuka tempahan untuk bilik dan ruang acara bermula 15 Mac 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai Study Melbourne Hub Kuala Lumpur, lawati https://www.studymelbourne.vic.gov.au/Hubs/Kuala-Lumpur

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SEBARKAN KASIH SAYANG DAN KEBAIKAN DENGAN VOLUNTOURISM