"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES


Berikut adalah beberapa fakta serius tentang pradiabetes. Satu-dalam-10 orang yang mempunyai pradiabetes berkemungkinan besar menghidap diabetes dalam tempoh setahun, manakala tujuh-dalam-10 boleh menghidap penyakit yang sama dalam jangkamasa 10 tahun. Di samping itu, individu-individu ini juga berisiko untuk mengalami penyakit kardiovaskular, kehilangan penglihatan, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang kronik, bahkan sebelum menghidap diabetes.

Dianggarkan kira-kira 3.5 juta orang dewasa di Malaysia mungkin menghidap pradiabetes. Oleh sebab penyakit ini lazimnya tidak menunjukkan simptom, kebanyakan orang tidak sedar akan keadaan mereka. Malah, mereka juga berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.

Sebagai usaha untuk membantu mereka yang berkemungkinan terkesan, program 'Stand Against Prediabetes; Don’t Sugarcoat It’ (SAPd) telah melancarkan kempen promosi kesihatan awam besar-besaran hari ini, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Lukanisman bin Awang Sauni.

Bertemakan, ‘Check, Confirm, Consult and Change’, atau dalam bahasa Melayunya, 'Saring, Sahkan, Runding dan Ubah', kempen ini bertujuan untuk mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan risiko peribadi mereka, menjalani ujian saringan dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan untuk menguruskan pradiabetes demi kesihatan mereka.

PROGRAM STAND AGAINST PREDIABETES

Menurut Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Nurain Mohd Noor, program Stand Against Prediabetes (SAPd) bermula pada tahun 2022. Beliau berkata, "MEMS telah memulakan SAPd dan menjemput usaha sama daripada tujuh persatuan perubatan dan kesihatan lain, serta penglibatan Kementerian Kesihatan Malaysia."

Persatuan-persatuan yang terlibat adalah termasuk Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) dan Bahagian Patologi Kimia & Perubatan Metabolik, Kolej Ahli Patologi, Akademi Perubatan Malaysia (CPath AMM). SAPd disokong oleh Merck Malaysia.

Dr Nurain berkata bahawa SAPd berjaya memperoleh beberapa pencapaian penting dalam tempoh dua tahun ini. Beliau menjelaskan, “Pertama, kami telah berjaya mempromosikan penggunaan nilai keputusan ujian glukosa darah pradiabetes piawai di lebih 200 rangkaian makmal swasta, persendirian dan makmal hospital, serta lebih 2,000 klinik kerajaan dan 100 hospital kerajaan. Menerbitkan nilai-nilai keputusan ini dalam laporan ujian makmal akan memudahkan pakar penjagaan kesihatan dan pesakit mereka untuk mengesahkan pradiabetes, sekiranya ada.”

“Kedua, kami telah melatih lebih 2,000 pakar penjagaan kesihatan termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan pakar diet untuk meningkatkan keberkesanan mereka dalam pengurusan pradiabetes. Kami juga telah menerbitkan panduan klinikal untuk rujukan mereka, dan untuk orang awam pula, kami telah mencipta laman web pendidikan, buku kecil dan juga risalah berkenaan pradiabetes.”

KEMPEN 4C

Menurut Pengerusi SAPd, Profesor Emeritus Dr Chan Siew Pheng, pradiabetes boleh diurus dan dirawat. Inilah mesej utama kempen 'Check, Confirm, Consult and Change' yang dilancarkan hari ini. Untuk memberikan perspektif yang lebih baik tentang empat C, beliau berkongsi beberapa hasil daripada tinjauan kesedaran pradiabetes ke atas lebih 5,000 orang awam yang dijalankan oleh pasukan SAPd pada tahun 2023.

#1 CHECK (SARING) Risiko Pradiabetes Anda
  • 76% responden tidak pernah disaring dan tidak pasti sama ada mereka mempunyai pradiabetes.
  • Namun, 40% daripada kumpulan ini mempunyai faktor risiko pradiabetes yang lazim ditemukan, iaitu berat badan berlebihan, sejarah keluarga penghidap diabetes dan gaya hidup yang tidak aktif secara fizikal.
Profesor Chan berkata, “Langkah pertama adalah menyaring sama ada anda mempunyai risiko menghidap pradiabetes. Kami menggalakkan orang ramai untuk menggunakan penyemak risiko dalam talian di laman web SAPd (https://standagainstprediabetes.my/). Sekiranya keputusan menunjukkan bahawa anda mempunyai risiko, sila jalani ujian glukosa darah tusukan jari di farmasi komuniti anda, klinik GP swasta atau klinik kesihatan kerajaan.”

Menjelang akhir Mei, SAPd akan mendapatkan kerjasama daripada 700 farmasi komuniti di seluruh negara untuk menyediakan ujian glukosa darah tusukan jari secara percuma, sumbangan daripada Roche Diagnostics.

#2 CONFIRM (SAHKAN) Kehadiran Pradiabetes
  • 60% responden tinjauan tidak tahu akan julat glukosa darah untuk pradiabetes.
Profesor Chan menegaskan, “Ujian tusukan jari tidak dapat mengesahkan sama ada anda menghidap pradiabetes atau tidak. Oleh itu, jika keputusan anda menunjukkan paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal, anda perlu menjalani ujian darah yang betul di makmal, klinik atau hospital.” Berikut ialah jenis-jenis ujian yang tersedia dan nilai keputusan masing-masing.

Ujian

Normal

Pradiabetes

Diabetes

HbA1c

<5.7%

<39 mmol/mol

5.7%-6.2%

39-44 mmol/mol

≥6.3%

≥45 mmol/mol

Glukosa Plasma Puasa

<3.9-6.0 mmol/L

6.1-6.9 mmol/L

≥7.0 mmol/L

Ujian Toleransi Glukosa Oral

<3.9-7.7 mmol/L

7.8-11.0 mmol/L

≥11.1 mmol/L



#3 CONSULT (RUNDING) Dengan Pakar Penjagaan Kesihatan Anda
  • Menurut tinjauan awam, 35% responden tidak pasti atau tidak bersetuju bahawa pradiabetes memerlukan rawatan atau intervensi. Terdapat kurang kesedaran umum bahawa pradiabetes adalah serius tetapi boleh dipulihkan.
  • Kebanyakan responden berpendapat bahawa pakar penjagaan kesihatan (doktor, diikuti oleh pakar diet, jururawat dan ahli farmasi), adalah sumber maklumat dan nasihat yang boleh dipercayai tentang pradiabetes.
Profesor Chan berkata, “Anda mungkin berasa bimbang jika ujian darah anda mengesahkan bahawa anda mempunyai pradiabetes. Anda mungkin tidak pasti tentang tindakan yang perlu diambil seterusnya. Sebab itulah pentingnya untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan pakar penjagaan kesihatan. Mereka akan menentukan pendekatan terbaik untuk anda menguruskan pradiabetes melalui intervensi gaya hidup dan ubat-ubatan, jika perlu. Dengan menghadiri lawatan susulan, pakar penjagaan kesihatan anda akan dapat memantau kemajuan anda dan terus memberikan sokongan untuk mencapai hasil yang anda inginkan."

#4 CHANGE (UBAH) Demi Kesihatan Anda

Terdapat lima tonggak dalam pengurusan pradiabetes – mengurangkan berat badan berlebihan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat; meningkatkan aktiviti fizikal dan senaman; mengamalkan tabiat gaya hidup yang sihat (iaitu mendapatkan tidur berkualiti yang cukup, menguruskan tekanan dan berhenti merokok, menghisap vape, mengambil alkohol dan menyalahgunakan bahan lain); mengambil ubat seperti yang ditetapkan; dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan.

Menurut Profesor Chan, penghidap pradiabetes boleh mendapatkan maklumat praktikal untuk menguruskan perubahan ini dengan berkesan di laman web SAPd (www.standagainstprediabetes.my). Di laman tersebut, anda juga boleh memuat turun e-buku (https://standagainstprediabetes.my/static/sapd-booklet-bm.pdf) yang meringkaskan cadangan utama yang terdapat di laman web.

Profesor Chan membuat kesimpulan, “Dengan pengetahuan dan sokongan yang betul, individu boleh mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan mereka dan mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2. Perubahan yang kecil dalam gaya hidup boleh membawa kepada peningkatan yang ketara dalam kesihatan."

 

Comments

Popular posts from this blog

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

ASTRO ORIGINALS PERSEMBAHKAN ‘FRAMED’ GANDINGAN MEERQEEN DAN MIMI LANA BERMULA 3 MEI DI ASTRO PREMIER

MUAZ DAN BELLA BERCINTA? SAKSIKAN LAKONAN MANTAP MEREKA MENERUSI DRAMA TERBAHARU