ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!


Pameran Kafe & Minuman Antarabangsa (ICBS) 2024, pameran terulung bagi produk makanan, minuman dan kafe artisan, akan kembali ke Kuala Lumpur Convention Centre dari 23 hingga 25 Mei 2024. Pengunjung boleh meninjau dan meneroka tawaran terbaharu daripada industri kafe dan kopi, mengunjungi Roasters Village (Perkampungan Pemanggang Kopi) yang kembali sekali lagi, menyertai kelas pakar, menjalani latihan kemahiran barista dan menyaksikan pertandingan membuat produk bakeri yang diadakan buat julung kalinya.

Christopher McCuin, Pengarah Urusan Montgomery Asia, penganjur pameran berkata, “Kami teruja untuk melihat sambutan daripada rakan niaga, penaja dan peserta pameran. Berbekalkan hasil maklum balas daripada pameran tahun lepas, kami telah menambah ruang pameran sebanyak 60% untuk menerima lebih banyak pempamer, peserta dan pengunjung. Semua ruang pameran telah diisi menjelang Mac tahun ini!”

ICBS 2024 menghimpunkan 450 jenama dari lebih 40 negara, dengan 1,500 pemilik kafe dan lebih 1,000 barista dijangka hadir. Acara ini merupakan platform yang menghubungkan peserta di Malaysia dan pasaran sekitar dengan pembekal dan bakat dari dalam dan luar rantau ini.

“Kami mencapai mercu jaya penting pada 2024 apabila mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Sokongan ini membolehkan syarikat-syarikat yang berdaftar dengan MATRADE memohon Geran Pembangunan Pasaran (MDG) sebagai pempamer ICBS,” tambah McCuin.

Sementara itu. Roasters Village yang popular dan menjimatkan kos akan kembali ke ICBS 2024, membolehkan syarikat-syarikat pemanggang kopi kecil untuk mengetengahkan perisa kopi unik masing-masing kepada pengunjung ICBC. Pada tahun ini, pavilion tersebut akan menempatkan syarikat-syarikat pemanggang kopi dari Malaysia, Jepun, Singapura dan Vietnam. Malah ICBS juga menyediakan ruang kepada syarikat-syarikat dari China, Itali, Hong Kong, Indonesia, Thailand, di samping pavilion rasmi dari Singapura dan Taiwan.

ICBS 2024 dijangka menarik lebih daripada 12,000 pengunjung dari Malaysia dan luar negara sepanjang tiga hari, iaitu khas untuk pengunjung perdagangan pada 23 – 24 Mei, dan pengunjung awam dan perdagangan pada 25 Mei yang merupakan hari terakhir acara.

Pameran ini memberi tumpuan kepada kopi istimewa, minuman, produk F&B, gaya hidup kafe, serta perabot, reka bentuk dan teknologi kafe. Malah pertandingan separuh akhir dan akhir Kejohanan Kopi Istimewa Malaysia anjuran Persatuan Kopi Istimewa Malaysia (MSCA) akan turut diadakan. Pengunjung pameran akan dapat melihat barista Malaysia yang sedang meningkat naik bersaing dalam Kejohanan Barista Malaysia, Piala Pemanggang Kopi Malaysia dan Kejohanan Seni Latte.

Barista yang menang akan bersaing dalam Kejohanan Kopi Dunia 2024. Juara Seni Latte Malaysia di ICBS pada 2023 telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan menduduki tempat ke-4 di Kejohanan Kopi Dunia baru-baru ini di Taipei – sekali gus mencerminkan status dan kemahiran barista Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan dalam dunia kafe dan kopi global.

ICBS akan menganjurkan pertandingan akhir BakinLove Next Top Baker buat kali pertama pada 25 Mei. Selepas proses pemilihan yang teliti, seramai 6 peserta akhir terbaik telah dipilih daripada sekumpulan pesaing yang layak. Pertandingan ini menyediakan platform untuk pembuat roti dan kek menyerlahkan kemahiran, bakat dan kreativiti masing-masing. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Unox kerana menaja ketuhar yang diperlukan untuk pertandingan.

Beberapa kursus latihan menarik anjuran Barista Guild Asia (BGA) menanti para barista profesional. Antaranya termasuk kelas kaedah memanggang, sains memanggang, protokol “cupping” (merasa dan menilai) kopi dan perkembangan kerjaya barista.

Rakan kerjasama penting lain bagi ICBS 2024 termasuk Persekutuan Kopi ASEAN, Barista Guild Asia, Persatuan Pengeksport dan Industri Kopi Indonesia, Persatuan Barista Thailand, Persatuan Hotel & Restoran Filipina, Lembaga Kopi Filipina, Persatuan Kopi Lao, Persatuan Kopi Myanmar, Persatuan Kopi Singapura, Persatuan Kopi Istimewa Indonesia, Persatuan Kopi Thai dan Persatuan Kopi Koko Vietnam.

McCuin merumuskan, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas sokongan mereka kepada ICBS 2024. Sokongan mereka amat penting untuk menjayakan penganjuran acara, dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan mereka, industri kafe dan kopi Malaysia dan juga penggemar kopi ke pameran ini.”

Pameran ini akan diadakan di Dewan 1 & 2 Kuala Lumpur Convention Centre, dengan pengunjung perdagangan dan industri menjadi tumpuan pada dua hari pertama (23 dan 24 Mei – 10.00pg hingga 6.00ptg). Hari ketiga dan terakhir (Sabtu, 25 Mei – 10.00pg hingga 5.00ptg) terbuka kepada pengunjung industri dan juga orang awam, yang boleh menikmati aroma dan kelazatan kopi dan pelbagai produk luar biasa selain menyaksikan pertandingan akhir BakinLove Next Top Baker dan Kejohanan Kopi Kebangsaan Malaysia. Sesiapa yang berminat untuk mengunjungi atau menjadi peserta pameran di ICBS 2024 boleh melayari www.intl-cbs.com untuk mendapatkan semua berita dan maklumat terkini.



Comments

Popular posts from this blog

KL WELLNESS CITY PERUNTUKKAN RM25 JUTA UNTUK MENANGANI ISU KEKURANGAN JURURAWAT DI MALAYSIA

“NGESOT”: KISAH SURVIVAL THRILLER LAKONAN ZUL HUZAIMY YANG MENGGETARKAN HATI